Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TOKOH SUKAN DALAM TUMPUAN

Satria silat bangkit dari kesedihan... siap turun gelanggang

Jul 03, 2022 | 08:22 AM



KEHIDUPAN perlu diteruskan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.



Lebih sebulan selepas pemergian jurulatih silat negara, Allahyarham Mochammad Ichsan Nur Romadhon, pada 28 Mei lalu, pasukan silat Singapura bangkit meneruskan perjuangan mereka dalam memburu lebih kejayaan di pentas antarabangsa.



Allahyarham, yang berasal dari Indonesia dan telah berkhidmat bersama Persisi selama lapan tahun, meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya di Bali. Kemalangan itu berlaku sekitar dua minggu selepas persembahan cemerlang pasukan silat negara dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam Mei lalu.



Allahyarham merupakan salah seorang daripada empat jurulatih negara yang bertanggungjawab ke atas persiapan pesilat negara yang bertanding di Sukan SEA itu.



Di Hanoi, pasukan silat Singapura meraih empat pingat emas, tiga perak dan empat gangsa - pencapaian terbaik mereka di temasya sukan tersebut sejauh ini.



"Meskipun Allahyarham ialah warga Indonesia, jiwanya Singapura. Dia rasa gembira di sini sebab dia diberi peluang untuk bantu membangunkan silat Singapura dan menjadi duta kepada sukan ini," kongsi Sheik, ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Dewan 4 dalam OCBC Arena, baru-baru ini.



"Kami semua di sini sangat terkesan dengan pemergiannya, termasuk saya sendiri.



"Allahyarham sangat rapat dengan jurulatih lain dan para atlet. Tapi, saya memberitahu mereka bahawa kita telah melakukan yang terbaik untuknya, mengadakan tahlil dan memberi sumbangan wang kepada keluarganya, dan harus melangkah ke depan," tambah beliau sambil menahan sebak.



Pasukan silat Singapura sedang giat membuat persiapan menjelang Kejohanan Pencak Silat Sedunia pada hujung bulan ini.



Edisi ke-19 pertandingan tahap tertinggi pencak silat itu dijadual berlangsung pada 24-31 Julai di Melaka, Malaysia.



Sebagai persiapan, seramai 40 pesilat negara menginap di OCBC Arena sejak 7 Jun lalu bagi menjalani satu kem latihan intensif.



Mereka berlatih sehingga tiga kali sehari dari Isnin hingga Sabtu, dengan Ahad adalah hari bebas dan mereka dibenarkan pulang.



Menurut Sheik, kem latihan sebegini pernah dikelolakan, namun hanya untuk seminggu.



Kali ini, ia diadakan selama kira-kira sebulan setengah sehingga 22 Julai, sehari sebelum pasukan silat negara bertolak ke Melaka.



"Jika mereka bersekolah atau dalam Perkhidmatan Negara, lepas habis komitmen itu mereka harus datang ke sini dan terus berlatih silat. Bagi yang tiada komitmen di luar, mereka perlu tinggal di sini," jelasnya.



"Saya ingin para atlet bersatu dan sama-sama fokus pada silat. Inilah peluang untuk mereka berusaha gigih dan mencuba nasib untuk menang di Kejohanan Pencak Silat Sedunia nanti," kata beliau.



Makanan, tukang urut sukan dan jurulatih mental, antara lain, turut disediakan kepada atlet, tambah Sheik.



Mengenai sasaran pingat di Kejohanan Pencak Silat Sedunia ini, Sheik berkata adalah sukar untuk mengatasi pencapaian tujuh emas yang digondol negara dalam edisi lalu pada 2018 di gelanggang sendiri.



Empat emas adalah sasaran realistik, kata Sheik kepada BM.



Ini berdasarkan kemenangan empat emas dalam Sukan SEA Hanoi baru-baru ini, yang dirangkul Iqbal Abdul Rahman (seni tunggal putera), Sheik Farhan (tanding putera kelas J), Hazim Yusli (tanding putera kelas C) dan Nurul Suhaila Saiful (tanding puteri kelas E).



"Secara realistik, saya tidak dapat menandingi tujuh emas di Singapura. Saya maklum bahawa pasukan negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Malaysia juga kuat.



"Tapi saya inginkan empat emas. Iqbal, Farhan, Suhaila dan Hazim ada keupayaan menjadi juara," ujarnya.




TEKAD, HARAPAN SHEIK MENJELANG KEJOHANAN PENCAK SILAT SEDUNIA 



FOKUS UNTUK MENANG



"Jika mereka bersekolah atau dalam Perkhidmatan Negara, lepas habis komitmen itu mereka harus datang ke sini dan terus berlatih silat. Bagi yang tiada komitmen di luar, mereka perlu tinggal di sini.



Saya ingin para atlet bersatu dan sama-sama fokus pada silat. Inilah peluang untuk mereka berusaha gigih dan mencuba nasib untuk menang di Kejohanan Pencak Silat Sedunia nanti.''




MAHU EMPAT EMAS



"Secara realistik, saya tidak dapat menandingi tujuh emas di Singapura. Saya maklum bahawa pasukan negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Malaysia juga kuat.



Tapi saya inginkan empat emas. Iqbal, Farhan, Suhaila dan Hazim ada keupayaan menjadi juara."




PENGHARGAAN BAGI BEKAS JURULATIH ALLAHYARHAM ICHSAN 



"Meskipun Allahyarham ialah warga Indonesia, jiwanya Singapura. Dia rasa gembira di sini sebab dia diberi peluang untuk bantu membangunkan silat Singapura dan menjadi duta kepada sukan ini.

Kami semua di sini sangat terkesan dengan pemergiannya, termasuk saya sendiri.

Allahyarham sangat rapat dengan jurulatih lain dan para atlet. Tapi, saya memberitahu mereka bahawa kita telah melakukan yang terbaik untuknya dan harus melangkah ke depan."

- Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, CEO Persekutuan Silat Singapura (Persisi).

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >