
PENTAS Kejohanan Asia Tenggara, Asia dan Dunia telah mereka takluki pada 2022, kini gelaran juara Sukan SEA 2023 pula menjadi milik mereka.
Pasukan seni wanita Singapura mencipta sejarah dalam Dewan E Pusat Konvensyen Chroy Changvar di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad apabila menjadi trio pertama memenangi emas negara dalam acara itu dalam Sukan SEA.
Singapura diwakili oleh Iffah Batrisyia Noh, Ashikin Zulkifli dan Amirah Sahrin.
Persembahan Singapura yang bertenaga dan mantap serentak, dinilai 9.955 mata - cukup untuk menewaskan pasukan Brunei, yang meraih 9.925 mata.
Pingat perak dalam Sukan SEA 2015 di Singapura adalah prestasi terbaik negara bagi acara itu.
Ditemui media Singapura selepas kemenangan mereka, Amirah, 20 tahun, berkata:
"Pencapaian ini akan menjadi penguat semangat untuk kami, dan terutamanya sukan ini.
"Kami berharap emas pertama kami dalam pertandingan ini akan mendorong rakan sepasukan lain untuk beraksi lebih cemerlang dan meraih pencapaian sama."
Pada penampilan sulung mereka di Sukan SEA lalu, yang diadakan Hanoi pada Mei 2022, trio itu hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa.
Iffah, 20 tahun, pula berkata kemenangan mereka memberikan acara regu seni pengiktirafan yang selayaknya.
"Ia sangat bermakna untuk menang emas ini kerana ia bukan mudah mengumpulkan tiga pesilat dan mencari keserasian dalam pergerakan," kongsi beliau.
"Pasukan seni wanita negara sebelum ini hanya berjaya mendapat perak. Jadi, ia mengujakan untuk kami mencapai tahap baru bagi acara ini."
Dengan emas mereka di Kemboja, trio itu telah menjadi perintis dan membuka laluan kejayaan untuk srikandi seni Singapura pada masa akan datang.
Baru-baru ini, mereka juga telah dianugerahkan biasiswa Kecemerlangan Sukan (Biasiswa Spex) - iaitu pasukan seni silat pertama memperolehinya.
Biasiswa itu menyediakan sokongan kewangan dan program latihan untuk membantu atlet berjaya dalam kejohanan utama.
Ashikin, 23 tahun, menambah: "Kami berasa sangat bangga kerana Sukan SEA adalah temasya sukan yang amat besar. Pingat emas ini sangat, sangat berharga buat kami.
"Pastinya, kami akan berlatih lebih bersemangat selepas ini."
Kemenangan mereka pada petang Ahad adalah pingat emas pertama silat dalam Sukan SEA 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg