Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tsurenko alami serangan panik, terlepas beraksi di pusingan ketiga

Mar 15, 2023 | 5:30 AM
TARIK DIRI: Lesia Tsurenko berkata sebab di sebalik serangan paniknya ialah perbualan mengenai tindak balas tenis terhadap pencerobohan Russia. - Foto EPA-EFE
TARIK DIRI: Lesia Tsurenko berkata sebab di sebalik serangan paniknya ialah perbualan mengenai tindak balas tenis terhadap pencerobohan Russia. - Foto EPA-EFE -

INDIAN WELLS: Pemain kelayakan Ukraine, Lesia Tsurenko terlepas beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga di Indian Wells menentang pemain kedua terbaik kejohanan, Aryna Sabalenka selepas mengalami serangan panik menyusuli perbualannya bersama ketua eksekutif WTA, kata beliau pada Isnin.

Tsurenko, yang menewaskan Donna Vekic dari Croatia 2-6 6-2 6-2 pada Jumaat, menarik diri dari kejohanan sejurus sebelum perlawanannya menentang Sabalenka yang dijangka bermula pada Isnin, atas sebab peribadi, kata penganjur.

"Sebab untuk penarikan diri itu adalah serangan panik," kata Tsurenko kemudian kepada laman web, Big Tennis Ukraine pada Isnin.

"Secara rasmi, ia akan ditulis sebagai 'sebab peribadi', tetapi sebenarnya ia adalah masalah pernafasan dan, boleh dikatakan, histeria."

Pemain berusia 33 tahun itu berkata sebab di sebalik serangan paniknya adalah perbualannya bersama pegawai eksekutif WTA, Steve Simon mengenai tindak balas tenis mengenai pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

"Saya benar-benar terkejut dengan apa yang saya dengar. Dia memberitahu saya bahawa dia sendiri tidak menyokong peperangan, tetapi sekiranya pemain dari Russia dan Belarus berbuat sedemikian, maka ia hanyalah pandangan mereka sendiri, dan pandangan orang lain tidak sepatutnya mengecewakan saya," kata beliau.

"Pada masa yang sama, dia menyatakan bahawa jika ini telah berlaku padanya dan dia berada di tempat saya, dia akan rasa gusar."

Menjawab permintaan Reuters untuk mengulas perkara ini, WTA berkata: "WTA telah secara konsisten mencerminkan sokongan penuh kami kepada Ukraine dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang telah dibuat oleh pemerintah Russia.

"Dengan ini, prinsip asas WTA kekal ...yang memastikan bahawa atlet individu boleh mengambil bahagian dalam acara tenis profesional berdasarkan merit dan tanpa sebarang bentuk diskriminasi, dan tidak dihukum kerana keputusan yang dibuat oleh kepimpinan negara mereka."

Tsurenko menambah bahawa bos WTA itu menyatakan keyakinannya terhadap atlet Russia dan Belarus kembali bersaing dalam Sukan Olimpik. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg