LONDON: Liverpool memikul tugas berat untuk kekal dalam Liga Juara-Juara setelah dibelasah 5-2 oleh Real Madrid dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir pada Rabu.
Menurut BBC, Real pasukan pertama menjaringkan lima gol di stadium Anfield, walaupun ketinggalan 0-2 dalam 20 minit pertama.
Penyerang Liverpool Darwin Nunez meletak tuan rumah di hadapan selepas empat minit dan Mohamed Salah menjaringkan gol kedua 10 minit kemudian.
Real kemudian menggandakan asakan dan pada minit ke-21 mendapat gol pertama melalui sepakan kencang Vinicius Junior.
Kesilapan penjaga gawang Liverpool Alisson Becker dalam kotak penalti pada minit ke-36 dimanfaatkan Vinicius sekali lagi, lantas menyamakan kedudukan.
Real mendahului perlawanan sejurus selepas babak kedua bermula menerusi tandukan Eder Militao daripada hantaran sepakan percuma Luka Modric.
Karim Benzema menambah duka Liverpool dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-55 dan ke-67.
Sorakan gemuruh penyokong tuan rumah - yang pada mulanya lantang dan kuat dengan slogan 'UEFA Pembohong' sebelum permulaan perlawanan dek tidak puas hati mereka dipersalah atas kekecohan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim lalu - lambat laun disenyapkan oleh gol Real.
Sungguhpun Liverpool membuka tirai perlawanan dengan tempo tinggi dan berjaya menjaringkan dua gol, mereka melakukan beberapa kesilapan di kawasan pertahanan yang membuka peluang untuk dimanfaatkan Real, seperti semasa gol penyamaan hasil jaringan Vinicius.
Tandukan gol Militao daripada sepakan percuma juga disebabkan pemain Liverpool kurang mengawal pemain lawan.
Lantaran itu, pengurus Liverpool Jurgen Klopp memerlukan keajaiban, seperti yang berlaku pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2019 apabila Liverpool mengalahkan Barcelona 4-0 pada perlawanan kedua setelah tewas 0-3 pada perlawanan pertama.
Jika Liverpool dapat melakar keajaiban itu, ia akan menjadi salah satu pencapaian terbaik dalam sejarah mereka.
Penyudahan berbisa Real Madrid di hadapan gawang kelihatan bak tiada tandingannya dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Apabila peluang tersaji bagi penyerang mereka menjaringkan gol, ia sering disempurnakan - prestasi Vinicius yang konsisten dan berbisa di hadapan gawang antara kuncinya.
Ini di samping bimbingan dan kebijaksanaan jurulatih Real, Carlo Ancelotti.
Selain itu, kebanyakan pasukan biasanya memperlahankan tempo apabila sudah mendahului, tetapi Real terus mengasak untuk menambah gol.
Ancelotti terlalu berpengalaman untuk membiarkan pasukannya bersikap puas hati, tetapi beliau tahu ini adalah satu keputusan cemerlang bagi sembarang pasukan lawan di Anfield.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg