Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Tujuan Nabi Muhammad saw jalani peristiwa Israk Mikraj

Apr 07, 2019 | 05:30 AM



PERJALANAN kekasih Allah yang mempunyai kaitan dengan salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah hidup nabi serta umat Islam ialah Israk dan Mikraj.



Kisah perjalanan Rasulullah saw bersama malaikat Jibril dan Mikail boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu Israk dan Mikraj.



Israk bermaksud perjalanan Nabi Muhammad saw menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.



Mikraj pula ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh.



Ustaz Muhd Khairani Basiran dalam ceramah sempena Israk Mikraj di Masjid Muhajirin mengupas pengertiannya bagi umat Islam kerana Nabi Muhammad saw sendiri dijemput oleh Allah.



PERISTIWA SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ



Menurut Ustaz Muhd Khairani terdapat beberapa peristiwa yang berlaku sebelum perjalanan Israk Mikraj iaitu kehilangan orang-orang yang disayangi Nabi Muhammad saw.



Baginda telah kehilangan bapa saudaranya iaitu Abu Thalib dan isteri tercintanya iaitu Saidatina Khadijah serta pemboikotan pihak Quraisy.



PEMERGIAN ABU TALIB DAN SAIDATINA AISYAH



Pemergian insan-insan itu memberi kesan yang amat besar kepada Rasulullah, kata Ustaz Muhd Khairani.



Ini kerana kedua-duanya menjadi tunggak kepada dakwah rasul dalam bentuk moral dan rangsangan kepada nabi untuk menyampaikan dakwah.



Contohnya, nabi diselimutkan oleh Saidatina Khadijah setelah baginda mendapat wahyu yang pertama.



Beliau membantu Nabi Muhammad bertenang dan memberikan kata-kata semangat kepada baginda.



Abu Thalib juga memberikan sokongan yang padu walaupun beliau tidak beriman.



Beliau sentiasa melindungi Nabi Muhammad daripada segala ancaman dan bahaya, tambah Ustaz Muhd Khairani.



PEMULAUAN DARIPADA ORANG QURAISY



Setelah pemergian mereka berdua, berlaku peritiwa kekejaman orang-orang kafir Quraisy terhadap keluarga rasul.



Selama lebih kurang setahun mereka menghalang dakwah rasul, mereka juga memboikot umat Islam, yakni mereka tidak berinteraksi dengan nabi dan umatnya.



Umat Islam dan umat bukan Islam tidak boleh berbicara atau berdagang antara satu sama lain. Saudara-mara tidak dibenarkan bertemu satu sama lain dan suami isteri pula dipisahkan.



Pemboikotan berlaku setelah Abu Thalib berjaya menyatukan keluarganya agar sama-sama berjanji untuk memberikan perlindungan kepada Nabi Muhammad saw.



Bapa saudara baginda itu tidak akan membenarkan sesiapapun melakukan perkara buruk terhadap rasul. Perbuatan Abu Thalib tidak disukai oleh orang Quraisy, maka mereka memboikot umat Islam.



Namun begitu, pemergian isteri dan bapa saudara nabi telah membuka ruang kepada orang kafir Quraisa untuk menyeksa dan menyakiti Nabi Muhammad saw.



TUJUAN ISRAK DAN MIKRAJ



Allah swt mengarahkan Nabi Muhammad saw agar menjalani peristiwa Israk Mikraj dengan tujuan tertentu.



Pertama, Allah ingin menggembirakan hati Nabi setelah pemergian dua orang insan yang amat disayangi baginda.



Kedua, ia menjadi satu tanda penghormatan terbesar kepada Nabi Muhammad saw kerana peristiwa itu tidak pernah berlaku kepada para rasul dan nabi yang lain.



Ketiga, peristiwa ituu menjadi bukti bahawa Allah menghargai dan mengangkat darjat para nabi. Ini kerana para nabi dikurniakan mukjizat yang berlainan dan eksklusif.



Peristiwa Israk Mikraj dikhaskan untuk Rasulullah saw sahaja.



Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa nabi telah bertemu dengan zat Allah swt.



Namun, ada juga yang berpandangan bahawa rasul hanya berbicara secara langsung tetapi tidak bertemu secara langsung.



Pendapat ini berkaitan dengan kisah kegigihan Rasulullah berulang-alik naik ke langit dan bertemu Allah dan Nabi Musa as berkenaan perintah Allah mengenai solat.



Kesungguhan Nabi dalam meminta telah menyebabkan Allah swt mengurangkan solat daripada 50 kali kepada lima kali sehari.



Nabi juga telah menyaksikan kerajaan Allah dengan mata baginda sendiri.



Baginda diberikan penghormatan untuk berjalan ke alam malaikat, alam ghaib atau alam akhirat.



PENGALAMAN RASULULLAH DI ALAM GHAIB



Rasulullah saw telah dibawa naik ke langit. Hal ini membuktikan bahawa kekuasaan Allah tiada batasnya. Rasulullah saw telah dibawa ke dalam satu perjalanan yang amat jauh dalam masa yang terlalu singkat.



Oleh itu, kita diseru agar mempercayai kehebatan Allah swt yang berkuasa ke atas yang dikehendaki-Nya.



Setelah terbuka pintu langit yang pertama kepada Rasulullah, baginda telah melihat pelbagai perkara yang sangat ajaib.



Antaranya Rasulullah saw melihat seorang lelaki yang tinggi. Apabila lelaki itu berpaling ke kanan dia tersenyum dan apabila dia berpaling ke kiri dia menangis.



Rasulullah saw bertanya kepada Jibril: "Siapakah itu?" Kata Jibril: "Itulah Adam as."



Apabila dia melihat ke kanan dia melihat umatnya yang masuk syurga, lalu tersenyumlah dia. Apabila dia memandang ke kiri dia melihat umatnya yang masuk ke neraka, maka menangislah dia."



Selain itu, Rasulullah saw ada melihat orang-orang yang berenang di dalam lautan darah.



Apabila mereka sampai ke tepi, mereka membuka mulut mereka lalu malaikat melontar api-api neraka ke dalam mulut mereka.



Rasulullah saw bertanya Jibril: "Siapa mereka ini?"



Kata Jibril: "Merekalah orang-orang yang memakan harta anak yatim. Mereka telah diseksa di sini terlebih dahulu sebelum mereka diseksa di akhirat nanti."



Rasulullah juga turut melintasi sekumpulan lelaki yang berhadapan dengan dua jenis makanan. Satu yang lazat dan bersih dan satu lagi yang buruk dan busuk.



Namun, Rasulullah hairan apabila mereka makan makanan yang buruk dan busuk itu. Rasulullah sempat bertanya:



"Siapakah mereka wahai Jibril?"



Kata Jibril: "Merekalah orang-orang yang berzina. Mereka mempunyai isteri yang halal, tetapi mereka tetap mencari perempuan yang haram."



PERINTAH SOLAT



Terdapat banyak peristiwa yang sangat ajaib disaksikan oleh Nabi Muhammad. Namun begitu, kelebihan terbesar baginda adalah apabila baginda berjaya sampai di Sidratul Muntaha yang menjadi tempat pertemuan yang sangat luar biasa.



Pada ketika itu, Allah telah menyampaikan perintah sembahyang kepada Rasulullah saw dan umat baginda.



Kebiasaannya, seluruh syariat yang lain disampaikan melalui Jibril kepada nabi sendiri, tetapi kali ini, Rasulullah saw telah menerima perintah sembahyang secara langsung daripada Allah.



Demikianlah, betapa agungnya perintah untuk mendirikan solat di sisi Allah swt.



PENGAJARAN



Menurut Ustaz Muhd Khairani, setiap kebaikan yang diberikan oleh Allah pastinya akan dimulakan dengan ujian terlebih dahulu.



Hal ini bermaksud, setiap musibah dan ujian yang kita hadapi dalam kehidupan pasti akan disertai dengan kesenangan atau kebaikan.



Jadi, jangan ragui ujian daripada Allah. Walaupun kebaikan tidak datang serta-merta, kita perlu sentiasa bersabar dan bersangka baik terhadap ujian Allah.



Dalam surah Al-Insyirah, ayat 5 dan 6 yang bermaksud:



"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."



Surah ini jelas menegaskan tentang kewujudan kebaikan dalam setiap kesukaran.



Israk dan mikraj adalah peristiwa bersejarah dimana kita perlu mengambil pengajaran tersebut dan cuba menerapkannya dalam kehidupan. Israk Mikraj dilihat sebagai satu nikmat, tetapi sebelum nikmat itu sampai, pasti ada ujian di sebaliknya.



Ujian adalah sesuatu yang bersifat lumrah. Sekiranya Rasulullah SAW yang istimewa juga



ditimpa ujian, apatah lagi kita hamba yang kerdil ini? Maka, banyakkan bersabar dalam melaksanakan amal soleh demi mencapai keredhaan Allah swt, ujar Ustaz Ustaz Muhd Khairani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >