Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib Manchester United sejauh ini dalam semua kejohanan.
Tidak cukup dengan kekalahan terkini 1-2 di tangan West Ham United pada 28 Oktober, pengurusnya Erik ten Hag dipecat kurang 24 jam selepas perlawanan itu, yang berakhir dengan penalti kontroversial bagi West Ham, yang disifatkan ten Hag sebagai “tidak adil”.
Pelucutan jawatan ten Hag bermakna pengurus yang bakal mengambil alih akan menjadi yang kelapan bagi United sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan peranan itu pada 2013.
Kekalahan itu adalah yang keempat dalam sembilan perlawanan Liga Perdana England (EPL) United, sekali gus menempatkannya di tangga ke-14 liga dengan 11 mata – jumlah kedua terendah dalam sejarah Red Devils.
United juga terkial-kial dalam kempen Liga Europa musim 2024/25, dengan memungut hanya tiga mata daripada tiga perlawanan pertama.
Bekas bintang Red Devils yang sebelum ini antara kakitangan kejurulatihan kelab itu, Ruud van Nistelrooy, menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua jurulatih sementara.
Beliau menjadi jurulatih salah satu kelab utama Eropah, PSV Eindhoven, dalam liga utama Belanda musim 2022/23, dengan kelab itu menjadi naib juara.
Sungguhpun pernah menyarung jersi United dan menjadi bintang penyerang yang disanjungi suatu ketika dahulu, gaya EPL kali ini berbeza dan Nistelrooy perlu bijak mengatur strategi di belakang tabir sementara menanti pengurus tetap kelab itu.
Yang lebih penting bagi Nistelrooy ialah menyuntik semangat dan keyakinan dalam diri setiap pemain, memandangkan ada desas-desus bahawa beliau tidak begitu digemari dalam bilik persalinan PSV disebabkan kaedah yang diterapkannya ketika mengurus pasukan itu.
Menurut laporan media tempatan United Kingdom, pengurus semasa Sporting CP daripada Liga Portugal, Ruben Amorim, disebut-sebut sebagai pengganti tetap ten Hag.
Sekalipun Amorim menggantikan tempat ten Hag, Red Devils tidak mempunyai banyak ruang untuk bernafas kerana perlu menumpukan perhatian apabila menyambut Chelsea di Old Trafford pada 4 November.
Nistelrooy perlu mengasah ketumpulan di hadapan gawang lawan, memandangkan United mempunyai banyak peluang untuk memboloskan jaringan ketika menentang West Ham tetapi gagal melakukannya.
Malah pada minit ke-32, pemain sayap United, Diogo Dalot, berjaya menggelecek bola melewati penjaga gawang West Ham, Lukasz Fabianski, di luar petak penalti dan disajikan gawang yang terbuka luas.
Namun, Dalot gagal memanfaatkan peluang yang terbentang itu apabila rembatannya tersasar jauh.
Peluang seperti itu tidak boleh disesiakan United apabila menghadapi The Blues kerana anak didik jurulatih Enzo Maresca itu lincah dan tangkas mengatur serangan balas.
Ini ditekankan oleh pengulas bola sepak yang juga bekas pemain United, Gary Neville, yang berkata Chelsea mempunyai ketajaman di “beberapa bahagian di padang”.
Dalam satu temu bual bersama media tempatan United Kingdom, beliau berkata: “Saya rasa mana-mana pasukan yang bagus, yang gigih dan ada mutu – Chelsea ada aspek itu di beberapa bahagian di padang – maka United berada dalam bahaya.
“Sekarang ia sudah sampai ke satu tahap bahawa ada kebimbangan nyata… kerana keputusan perlawanan (United sejak kebelakangan ini), kekurangan jaringan gol, prestasi hambar yang bertimbun setiap minggu. United terus-menerus terlepas peluang (di hadapan gol).”
The Blues memenangi lima daripada sembilan perlawanan EPL-nya sejauh ini, dengan tonggak serangannya, Nicolas Jackson, menjadi ancaman nyata di barisan hadapan setelah mencatatkan sembilan jaringan dalam semua perlawanan EPL itu.
Pemain asal Senegal itu menduduki tangga kelima di carta penjaring gol terbanyak EPL sejauh ini.
Malah, selain menjaringkan gol, Jackson menjadi jentera dalam mengatur gerakan kerana bijak memberi hantaran kepada pemain sayap semasa menyerang, seperti yang dilihat semasa perlawanan menentang Newcastle baru-baru ini, yang dimenangi Chelsea 2-1.
Dalam perlawanan itu, Jackson menjadi pemain yang menyalurkan bola ke sayap atau ke dalam kawasan penalti bagi mengancam kubu lawan.
United juga perlu membendung kebijaksanaan Cole Palmer bertindak di bahagian tengah disebabkan visinya dalam memberi hantaran tepat, sekali gus menembusi barisan pertahanan lawan.
Selain menjadi pemain yang mempunyai ‘assist’, atau bantuan menyokong jaringan, kedua terbanyak dalam musim semasa EPL, iaitu lima, Palmer tangkas di hadapan gawang. Beliau telah menjaringkan tujuh gol dalam EPL sejauh ini – menduduki tangga ketiga dalam senarai gol terbanyak dalam EPL.
Perlawanan United menentang Chelsea akan menjadi satu perlawanan berciri serangan timbal balas, dan jangkaannya ialah ia akan berakhir dengan seri 1-1.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg