LEBIH 1,200 peserta telah menyertai acara triatlon TriFactor - yang menggabungkan sukan berlari, berenang dan berbasikal - yang diadakan buat kali pertama sejak pandemik melanda lebih dua tahun lalu.
Acara yang diadakan di pantai East Coast Ahad lalu dibuka kepada peserta pelbagai usia, termasuk kanak-kanak berusia antara enam dengan 12 tahun.
Peserta dewasa pula bertanding dalam beberapa kategori berbeza termasuk dalam acara jarak jauh dan pecut.
Atlit triatlon negara, Luke Chua, muncul juara kategori elit lelaki kejohanan nasional dan telah mencatatkan masa sejam 26 saat. Sementara itu, peserta Filipina, Raven Alcoseba, meraih juara dalam kategori elit wanita dengan masa sejam enam minit 46 saat.
Chua, 20 tahun, berkata kejayaannya itu merupakan hasil latihan yang dilakukan bersama rakan atlet triatlon lain termasuk Bryce Chong dan Cedric Chua.
"Berlatih dengan orang lain biasanya lebih baik daripada berlatih sendiri dan yang terbaik adalah apabila kita dapat berlatih bersama rakan atlet lain.
"Triatlon ini memang sukan individu tetapi sebenarnya ia memerlukan kerjasama sepasukan juga," katanya.
Ketiga-tiga atlet tersebut menggunakan acara lumba tersebut, antara lain, untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan SEA di Kemboja tahun depan, jika mereka layak dan terpilih untuk bertanding.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg