RANCANGAN untuk mengadakan pertandingan bola sepak serantau yang melibatkan kelab-kelab elit di Eropah telah dikecam oleh pihak yang tidak terlibat dalam perancangannya, termasuk tokoh politik.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata rancangan menubuhkan Liga Super Eropah (ESL) itu amat merosakkan bola sepak dan Presiden Perancis berkata beliau menyokong keputusan kelab-kelab dari Perancis untuk tidak menyertai liga baru itu.
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) telah mengeluarkan kenyataan bersama dengan Persatuan Bola Sepak (FA) England, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol dan La Liga, serta Persekutuan Bola Sepak Italy dan Serie A.
Kenyataan itu menekankan komitmen pihak-pihak tersebut untuk menggunakan apa sahaja dalam bidang kuasa mereka untuk menghentikan penubuhan ESL.
Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA), dalam kenyataannya berkata ia menentang dengan keras penubuhan ESL, sementara Persatuan Penyokong Bola Sepak berkata rancangan menubuhkan ESL itu hanya berpandukan sifat tamak.
Dalam kalangan bekas pemain profesional pula, bekas pemain Liverpool dan Tottenham Danny Murphy berkata rancangan itu berpandukan keuntungan, sementara bekas kapten Manchester United Gary Neville berkata beliau meluat apabila mendengar rancangan ESL.
Rakan sepasukannya Rio Ferdinand berkata rancangan itu akan menjejas penyokong secara lebih teruk.
Kumpulan-kumpulan penyokong yang berhubung kait dengan enam kelab Liga Perdana England yang menjadi anggota pengasas ESL - Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester United, Manchester City dan Tottenham Hotspur - berkata mereka menentang keras penubuhan ESL.
Spirit of Shankly (SOS) berkata mereka mengutuk keputusan pemilik Liverpool Fenway Sports Group untuk berbuat demikian.
Ia berkata:
"FSG telah mengabaikan penyokong dalam memburu keuntungan. Bola sepak milik kita, bukan milik mereka. Kelab bola sepak ini milik kita, bukan milik mereka."
Chelsea Supporters' Trust berkata langkah itu tidak boleh dimaafkan dan semua penyokong bola sepak di dunia sedang ditipu.
Arsenal Supporters' Trust Penyokong Arsenal pula berkata penyertaan kelab itu dalam ESL menandakan akhir hayat kelab itu sebagai milik peminat.
Kelab Penyokong Rasmi Manchester City berkata pihak yang terlibat dalam perjanjian itu tidak mengendahkan tradisi dan ia bertekad untuk menentangnya habis-habisan.
Manchester United Supporters' Trust berkata ia tidak dapat menerima usulan itu dan ESL bercanggah dengan pendirian kelab tersebut.
Bersependapat, Tottenham Hotspur Supporters' Trust berkata konsep ESL berpandukan sifat tamak dan kepentingan pihak yang terlibat. - Agensi berita.
"Jika ini berlaku, kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa kami … (dan) juga Fifa serta rakan persatuan - akan kekal bersatu dalam usaha kami menyekat projek ini yang dibuat untuk kepentingan sendiri beberapa kelab ketika kita perlu lebih penyatuan berbanding sebelum ini."
- Uefa.