Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Ujian terbesar Daim apabila bersaing dalam F4 China

Siri perlumbaan lebih kompetitif jadi 'batu loncatan' bagi pemandu muda berbakat S'pura tebar sayap
May 13, 2018 | 05:30 AM



TIBA masanya bagi 'ujian' sebenar - masa bagi pemandu muda berbakat Singapura, Daim Hishammudin, membuktikan sama ada beliau benar-benar memiliki bakat memburu cita-citanya menjadi pemandu Formula Satu (F1) suatu hari nanti.



Sebagai langkah ke arah mencapai impian itu, Daim perlu mempamerkan keupayaannya apabila berlumba dalam siri Formula 4 (F4) China tahun ini - medan saingan yang lebih mencabar dan lebih kompetitif sepanjang kerjaya motor sports-nya sejauh ini yang bermula dengan perlumbaan karting ketika usianya baru mencecah tujuh tahun.



Bakal menyambut hari lahirnya yang ke-20 tahun pada penghujung bulan ini dan masih perlu mengimbangi masanya antara sukan kesayangannya ini dengan tanggungjawab Perkhidmatan Negara (NS), Daim ghairah menyahut cabaran yang menantinya dalam perlumbaan sulung F4 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Ningbo, China, pada hujung minggu ini.



"Tentu sekali saya ghairah menghadapi siri perlumbaan terbaru ini... berlumba dalam kereta F4 yang lebih rumit... lebih teknikal... yang menuntut kemahiran yang lebih tinggi daripada saya," ujar Daim semasa dihubungi sebelum berlepas ke China pada Selasa lalu bagi menyertai perlumbaan pembukaan F4 China ini.



"Cabaran terbesar ialah saya belum pernah memandu kereta lumba F4 yang sebenar sejauh ini... sebelum ini saya berpeluang menjalani dua sesi ujian di (Litar Antarabangsa) Zhuhai tetapi ia dengan memandu kereta Formula Renault, bukan kereta F4 yang akan digunakan bagi siri perlumbaan di China ini.



"Jadi cabarannya ialah menyesuaikan diri secepat mungkin dengan ciri-ciri unik kereta F4 ini... satu lagi cabaran ialah cuba memahami dan menguasai selok- belok litar perlumbaan yang serba baru.



"Jika sebelum ini saya lebih selesa berlumba di (Litar Antarabangsa) Sepang (di Malaysia), kini saya perlu keluar daripada zon selesa dan menguji keupayaan berlumba di litar di serata China yang agak asing bagi saya.



"Semua ini belum lagi mengambil kira tahap perlumbaan yang lebih tinggi dan lebih sengit dalam F4 ini... dengan ada di kalangan peserta yang berpengalaman menyertai siri ini sebelum ini dan tentunya berada dalam kedudukan lebih baik.



"Rata-rata setiap pemandu mempunyai matlamat yang sama seperti saya... semuanya mahu membuktikan prestasi dan kecekapan dengan harapan siri F4 ini menjadi batu lompatan ke F3 (Formula 3) dan F2 (Formula 2)... seterusnya mencapai cita-cita menjadi pemandu F1 dunia suatu hari nanti," tambah Daim, yang menaruh harapan menjadi jaguh F1 pertama Singapura sejak mula mengukir namanya dalam arena karting apabila menjuarai Kejohanan Rotax Max Asia sebanyak empat kali (2009, 2011, 2012 & 2013) dan perlumbaan Piala SL Yamaha dua kali (2008 & 2010).



Pencapaiannya itu turut menyaksikan Daim diiktiraf Anugerah Pencapaian Cemerlang daripada Persatuan Sukan Motor Singapura (SMSA) sebanyak tiga kali. Beliau juga pernah dipilih sebagai Atlit Terbaik Bulanan akhbar The Straits Times (ST) dua kali - dengan kali pertama pada 2012 yang menjadikan Daim sebagai penerima termuda anugerah itu dan yang pertama bagi sukan motor sports.



Tahun lalu, anak kedua dalam keluarga tiga beradik ini membuktikan bakatnya yang besar apabila memenangi kesemua 10 perlumbaannya semasa menjuarai siri Motorsport Caterham Prince Lubricants 2017 - sekalipun tampil buat pertama kali dalam siri perlumbaan berprestij itu selain dalam kesibukannya membahagi-bahagikan masa antara kalendar perlumbaan dengan NS-nya.



Lebih hebat lagi ialah kejayaan itu dicapai selepas Daim, yang pernah dilantik duta sukan bermotor program 'Dare to Dream' syarikat AirAsia, 'berehat' sekitar dua tahun daripada sukannya itu kerana menumpukan perhatian kepada peperiksaan peringkat 'A' dan kemudian Latihan Asas Polis (BPT).



"Matlamat saya tentu sekali mahu menang tetapi saya perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan dinamik kereta F4... serta litar yang serba baru ini.



"Ini pengalaman baru bagi saya... tetapi saya berharap dapat menikmati seluruh pengalaman ini dalam usaha menjadi seorang pemandu yang lebih baik lagi," ujar Daim lagi yang akan mewakili pasukan BlackArt Racing dalam siri F4 China ini selain mendapat tajaan Mdonster Energy - syarikat minuman tenaga gergasi dari Amerika Syarikat yang turut menaja beberapa superstar sukan lain termasuk juara dunia F1, Lewis Hamilton, dan jaguh motoGP, Valentino Rossi.



Daim bagaimanapun boleh mengharapkan bimbingan 'kelas dunia' sepanjang meniti cabaran barunya ini dengan pelantikan bekas pemandu F1 dunia dari Malaysia, Alex Yoong, sebagai pengurusnya tahun ini.



Semasa dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini, Alex memuji potensi besar yang dimiliki anak didiknya itu untuk terus membuktikan bakatnya di peringkat perlumbaan yang lebih tinggi itu.



"Daim begitu berbakat sekali... beliau membuktikannya dalam siri perlumbaan Caterham tahun lalu... sekalipun dengan latihan dan pengalaman yang sedikit, beliau berjaya memenangi kesemua perlumbaan yang disertainya dan menjuarai siri itu.



"Tidak syak, F4 China lebih kompetitif tetapi jika Daim dapat menyesuaikan diri dengan kereta barunya itu... juga dengan litar baru... saya tidak fikir pemandu berbakat seperti Daim akan menghadapi masalah besar untuk menyerlah," ujar Alex, 41 tahun, yang merupakan pemandu pertama Malaysia dalam F1 apabila berlumba dengan pasukan Minardi di Grand Prix Italy pada 2001.




JADUAL F4 CHINA



12/13 Mei:

Litar Antarabangsa Ningbo



2/3 Jun:

Litar Antarabangsa Zhuhai



21/22 Julai:

Litar Antarabangsa Chengdu



1/2 September:

Litar Antarabangsa Ningbo



22/23 September:

Litar Antarabangsa Shanghai



13/14 Oktober:

Litar Antarabangsa Ningbo




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >