Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK SETEMPAT

Ulang-alik S'pura-KL beraksi dalam Liga Super Wanita

Feb 17, 2023 | 05:30 AM



DALAM tempoh 24 jam, banyak perkara yang boleh dilakukan.



Untuk dua pemain Singapura, Ernie Sontaril dan Izzati Rosni, masa itu menyediakan mereka peluang berentap di padang asing ketika berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur demi mengembangkan potensi mereka dalam bola sepak.



Sejak awal Februari, duo itu telah menyarung jersi kelab Malaysia, FC SWAT untuk bersaing dalam Liga Super Wanita (WSL) Persatuan Bola Sepak (FA) Selangor 2023.



Mereka ialah warga Singapura pertama untuk beraksi dalam liga peringkat negeri itu, yang buat julung kalinya membenarkan pasukan membawa masuk pemain import sejak ia dilancarkan pada 2021.



FC SWAT mendekati Ernie, 33 tahun, dan Izzati, 23 tahun, melalui media sosial, dengan kelab asal Shah Alam itu membiayai penerbangan dan penginapan mereka.



Edisi kedua WSL berlangsung sejak 8 Februari hingga 18 Mac. Dua perlawanan dijadualkan setiap minggu - pada pertengahan minggu malam dan setiap Ahad petang.



Disebabkan Ernie dan Izzati mempunyai komitmen kerja serta latihan pasukan nasional dan kelab di Singapura, mereka harus membuat perjalanan ke seberang Tambak dua kali seminggu.



Mereka akan berlepas ke Kuala Lumpur beberapa jam sebelum perlawanan dan kemudian pulang ke tanah air pada pagi keesokan paginya.



Ketika dihubungi Berita Harian pada Rabu, kedua-dua pemain kelab Singapura Lion City Sailors (LCS) itu sedang berada di Lapangan Terbang Changi untuk ke Kuala Lumpur.



"Bohong jika saya kata saya tidak berasa penat. Tetapi, kami tidak boleh menunjukkannya sebab inilah yang kami pilih," kata Izzati, yang dinobat Penjaring Gol Terbanyak dan Gol Terbaik dalam Liga Perdana Wanita (WPL) Singapura pada tahun lalu.



"Sekiranya anda suka bola sepak, anda tahu peluang ini adalah pendedahan baik. Kita tolak tepi soal keletihan. Buat masa ini, kami harus kuat secara mental," kata jurulatih bebas bola sepak itu.



WSL merupakan penampilan sulung Izzati dalam liga luar negara. Dalam tiga perlawanan sejauh ini, Izzati telah menjaringkan dua gol termasuk satu gol dalam aksi pertamanya untuk FC SWAT.



FC SWAT kini menduduki tangga ketiga daripada enam pasukan dalam Kumpulan A WSL. Liga itu mempunyai dua kumpulan.



"Saya fikir ia perkara baik untuk keluar daripada zon selesa saya. Di tanah air, kami hanya bergantung pada pertandingan nasional untuk menentang satu sama lain. Jadi, peluang bermain dalam liga ini telah membuka mata saya," ujar penyerang itu.



"Liga ini menguji tahap mental dan fizikal. Di Singapura, anda mungkin pemain terpantas. Tetapi, di sana, ia bukan hanya tentang kepantasan sebab pemain mempunyai kemahiran teknikal yang bagus. Ia membuat anda terfikir bagaimana untuk mengatasi lawan," tambah beliau.



Dengan mereka hanya berada di Kuala Lumpur kurang 24 jam setiap kali ke sana, ini bermakna Izzati dan Ernie tidak dapat menyertai latihan FC SWAT.



Bagaimanapun, Ernie, kapten Singa dan pemain wanita dengan penampilan antarabangsa terbanyak untuk negara, yakin "bahasa bola sepak" dapat membantu mencari keserasian dalam pasukan.



"Sejujurnya, pada awalnya, ia sukar. Tetapi, bola sepak adalah bahasa biasa yang kami gunakan apabila di atas padang. Kami menggunakan pengetahuan bola sepak untuk memahami posisi dan gerakan masing-masing," kata beliau, yang boleh bermain dalam pertahanan dan midfield.



Ernie, yang pernah menjalani percubaan bersama kelab di Jepun, turut menyerlah dalam WSL ketika dipilih sebagai Pemain Bintang dalam perlawanan menentang SA United minggu lalu. Beliau juga tersenarai dalam Pasukan Terbaik dalam minggu kedua perlawanan.



Meskipun terkejut dipilih, Ernie lebih kagum anugerah sedemikian yang berbentuk plak diberikan kepada pemain bagi setiap perlawanan.



"Ini menunjukkan yang para penganjur benar-benar menonton dan menganalisis perlawanan. Mereka benar-benar mengiktiraf usaha pemain, yang hanya akan mendorong pemain untuk bekerja lagi keras dan juga meningkatkan mutu perlawanan," kata penolong jurulatih Akademi Bola Sepak Sekolah di bawah projek Unleash the Roar! itu.



Ernie menambah bahawa bola sepak wanita di Malaysia juga menerima banyak liputan media dan penajaan. "Mungkin, kami dapat membawa budaya ini ke Singapura suatu hari nanti," ujar beliau.



Selain itu, Ernie juga merancang untuk menarik kelab Malaysia untuk bermain dalam WPL di Singapura atau membawa LCS bersaing di Malaysia. "Ia baik untuk bola sepak kedua-dua negara," tambahnya.



LCS ialah juara WPL 2022 dan membawa pulang hadiah tunai $25,000 tajaan Deloitte. Musim 2023 WPL dijangka melibatkan sembilan pasukan - naik daripada tujuh tahun lalu - walaupun tarikhnya masih belum diumumkan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >