Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undian pusingan kalah mati genjot, diadakan dua kali; Chelsea diundi lawan Lille manakala PSG akan temu Real

Dec 15, 2021 | 5:30 AM
465fa36a-a33b-44e0-9fbe-345b98e17b57
-

LONDON: Juara bertahan Chelsea akan bertemu pasukan dari Liga Satu Perancis Lille dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Ini menyusuli proses pemilihan menggunakan komputer yang terpaksa diadakan sebanyak dua kali - susuli masalah teknikal dengan undian bagi semua perlawanan yang ditentukan dalam pemilihan pertama dibatalkan.

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) berkata ia tidak dapat membatalkan sebahagian sahaja pemilihan dan terpaksa membatalkan keseluruhan pemilihan pertama.

Undian kali kedua itu turut menyaksikan juara England, Manchester City, akan menentang Sporting Lisbon dari Portugal, sementara pemenang enam kali Liverpool akan berentap dengan Inter Milan untuk merebut tempat di suku akhir.

Manchester United pula, yang dalam pemilihan awal dipadankan dengan Paris Saint-Germain, kini diundi bertarung dengan Atletico Madrid.

Sebaliknya, PSG akan bersaing dengan Real Madrid - juara 13 kali - dalam pertemuan yang menemukan dua kelab gergasi Eropah.

Dalam laporannya, BBC berkata United pada mulanya telah dipadankan dengan Villareal, tetapi mengikut peraturan Uefa, kededua kelab tidak boleh bertemu di peringkat kalah mati pertama kerana mereka melayakkan diri ke pusingan tersebut dari kumpulan yang sama.

Uefa berkata pemadanan ini tidak seharusnya berlaku dan mempersalahkan sistem komputer yang digunakan.

Justeru, Villareal, juara Liga Europa musim lalu, kemudian dipadankan dengan City.

Namun, kekeliruan bertambah apabila United dikecualikan daripada pemilihan bagi lawan Atletico, sementara Liverpool disertakan sebagai antara pilihan.

Namun, Liverpool tidak seharusnya bertemu Atletico di peringkat kalah mati kerana kededua pasukan telah melayakkan diri ke pusingan itu dari kumpulan yang sama.

United pula seharusnya layak dipilih menentang Atletico.

Dalam kenyataannya, Uefa berkata:

"Ekoran satu masalah teknikal yang melibatkan sofwe yang disediakan oleh penyedia khidmat luar, undian pertama dibatalkan dan akan diulangi.

Difahami, sofwe itu memadankan secara automatik pasukan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan seharusnya mengecualikan beberapa pasukan dalam sebahagian senario mengikut syarat yang telah dimuatkan dalamnya.

Namun perkara itu tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan.

Perlawanan pertama bagi pusingan kalah mati akan berlangsung pada 15-16 Februari dan 22-23 Februari ini, sementara pertemuan kedua dijadualkan pada 8-9 Mac dan 15-16 Mac.

Chelsea satu-satunya pasukan Liga Perdana England (EPL) yang akan beraksi perlawanan pertama di padang sendiri manakala dengan tiga pasukan lain - Liverpool, City dan United - bertandang ke padang lawan.

Satu perubahan utama bagi musim ini adalah pengguguran peruntukan yang memberi kelebihan bagi gol yang dijaringkan di stadium lawan.

Final musim ini dijadual berlangsung di St Petersburg, Russia, pada 28 Mei. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg