Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKU AKHIR PIALA FA

United, Leicester buru tempat ke separuh akhir

Mar 21, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Dalam persaingan Liga Perdana England (EPL), jurang antara Manchester United dengan Leicester City tidak jauh berbeza.



United kini berada di tangga kedua dengan 57 mata, sementara Leicester menduduki tangga ketiga - dengan satu mata memisahkan mereka selepas 29 perlawanan.



Oleh itu, kemenangan dalam persaingan peringkat suku akhir Piala FA malam ini mampu memberikan dorongan tambahan kepada pasukan yang muncul pemenang.



UNITED PERLUKAN TROFI UNTUK BUKTI UNGGUL



Dengan kedudukan empat pasukan teratas hampir pasti, sasaran seterusnya bagi Manchester United musim ini adalah untuk menjulang trofi pertama di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.



Kelebihan sembilan mata berbanding West Ham di tempat kelima, dengan baki sembilan perlawanan, bermakna kelayakan untuk bersaing di Liga Juara-Juara telah pun terjamin, kecuali jika United rapuh di tengah jalan.



Jadi perhatian sekarang beralih kepada kemampuan Solskjaer memimpin United ke kejayaan di Liga Europa atau Piala FA musim ini dan memastikan penantian piala kelab tidak berlanjutan hingga empat tahun.



Sekiranya itu berlaku, ia merupakan penantian terpanjang United untuk menjulang piala sejak 1989.



Ketika itu, usaha pembinaan semula pasukan di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, menghasilkan Piala FA pada tahun berikutnya, sekali gus melancarkan era kejayaan sebuah kelab England yang belum pernah berlaku sebelum ini.



Trofi terakhir yang dimenangi United adalah Liga Europa pada 2017 di bawah kendalian Jose Mourinho.



Sejak itu, mereka berjaya mara ke satu perlawanan final dan empat perlawanan peringkat separuh akhir, namun kecundang setiap kali.



Pada jangka masa yang sama itu, Manchester City telah memenangi enam piala, dan berkemungkinan mampu merebut kesemua empat piala yang masih mereka pertandingkan musim ini.



Liverpool juga berjaya memenangi dua piala dalam tempoh tersebut.



Namun, menjuarai Piala FA tidak memberi jaminan bahawa kejayaan lain akan menyusul.



Lihat sahaja pada nasib Arsenal.



Meskipun berjaya menjuarai Piala FA musim lalu di bawah kendalian pengurus baru, Mikel Arteta, kelab itu kini terkial-kial di tangga ke-10 liga.



Namun begitu, memperolehi piala pertama adalah langkah seterusnya untuk United dalam mewujudkan mentaliti positif selain memberi semangat dalam kalangan anak didik Solskjaer dengan kepercayaan bahawa mereka mampu menjadi antara pesaing utama merebut piala EPL musim depan.



Itulah sebabnya perlawanan United malam ini di Stadium King Power amat penting.



Menang perlawanan tersebut, dan musim kemajuan United dapat diteruskan. Kalah, dan peluang mereka dalam merebut takhta akan tergugat.



Walaupun United mencatat keputusan yang luar biasa apabila bertandang di padang lawan dalam saingan liga, dengan rekod tanpa kalah sepanjang 22 perlawanan, mereka berdepan cabaran besar apabila menentang pasukan Brendan Rodgers.



Selepas empat kekalahan berturut-turut di pusingan separuh akhir, tekanan semakin dapat dirasakan Solskjaer untuk mengambil langkah seterusnya dan menunjukkan bahawa beliau mampu membawa pulang trofi untuk para peminat kelab itu.



Sementara itu, legenda United, Gary Neville mendakwa baru-baru ini bahawa bekas pasukannya itu harus mengakhiri kemarau piala musim ini.



"Piala FA menjadi kritikal untuk kelab bola sepak musim ini," katanya di podcast sendiri.



"Piala Liga dan Piala FA telah menjadi titik permulaan pasukan Manchester United sejak 15 hingga 20 tahun terakhir.



"Sekiranya Ole Gunnar Solskjaer ingin menjadi antara pengurus yang berjaya di kelab ini, beliau tidak sekadar hanya perlu menduduki tempat kedua di EPL, tetapi juga memenangi trofi.



"Itu akan dilihat sebagai satu kemajuan. Hanya kemudian anda dapat menarik pemain baru musim depan untuk mencuba dan memberi saingan lebih sengit kepada Manchester City."



LEICESTER TIDAK GENTAR HADAPI CABARAN



Sementara itu, beraksi menentang Manchester United di pusingan suku akhir piala mungkin kelihatan seperti satu perlawanan besar bagi mana-mana pasukan.



Ini lebih-lebih lagi apabila prestasi pasukan Red Devils itu semakin bertambah baik.



Bagaimanapun, ia sedikitpun tidak menjadi keprihatinan Leicester City, yang turut melakarkan persembahan terbaik mereka sejak dinobat juara EPL pada musim 2015-16.



Tidak seperti musim lepas, pengurus pasukan, Brendan Rodgers berkata beliau dapat merasakan satu ketenangan bersama skuadnya.



Ditanya jika pasukannya lebih kuat berbanding tahun lalu, Rodgers berkata:



"Ya, saya tidak meragukannya. Kami mempunyai pemain yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan rentak perlawanan kami hancur. Ia sukar bagi kami.



"Saya tidak boleh mengeluh, terdapat ketenangan yang nyata dalam pasukan ini, dan anda telah melihat kualiti bola sepak kami.



"Ketenangan itu penting pada setiap tahap musim ini."



Namun Rodgers akur bahawa mereka tidak akan terbawa-bawa, terutamanya selepas membenam Sheffield United 5-0 pada hujung minggu lalu dalam aksi liga dan kini bersedia mengharungi perlawanan hari ini.



"Kami perlu berusaha gigih untuk mendapatkan keputusan itu, dan anda dapat menyaksikan sendiri kualiti kami. Kami bermain dengan penuh semangat dan kreativiti.



"Perlawanan (menentang Sheffield) sudahpun berlalu, jadi tumpuan kami kini adalah pada perlawanan seterusnya," ujar Rodgers. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >