Topik diikuti
Pergi ke BHku'United terlalu bergantung pada Rashford'
Ten Hag akui lepas penyerang jaring gol tunggal dalam kemenangan ke atas Brentford
'United terlalu bergantung pada Rashford'
MANCHESTER: Pengurus Manchester united, Erik ten Hag, mengaku pasukannya terlalu bergantung pada Marcus Rashford untuk menjaringkan gol.
Ini setelah penyerang England itu menyumbatkan gol tunggal dalam kemenangan United ke atas Brentford di Old Trafford pada Rabu.
Jaringan ke-15 Rashford dalam Liga Perdana England (EPL) itu menbantu Red Devils kembali ke tangga keempat liga, sama mata dengan Newcaste United yang berada di tangga ketiga dengan kelebihan gol.
Dua pasukan itu mempunyai tiga mata lebih banyak daripada Tottenham Hotspur dengan masing-masing mempunyai satu perlawanan dalam tangan dalam usaha melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim akan datang.
Gol itu juga bermakna Rashford telah menyumbang 28 gol kepada United dalam semua pertandingan musim ini.
Peri penting Rashford kepada pasukan itu tidak boleh dinafikan, kata ten Hag, yang menambah bahawa pemain lain juga boleh menjaringkan gol.
"Ya benar sekali. Tapi kami tahu pemain lain boleh menjaringkan gol juga. Bruno (Fernandes) boleh menjaringkan gol juga.
"Kami mempunyai ramai pemain dalam skuad ini yang berupaya jaringkan gol," kata ten Hag apabila ditanya apakah United terlalu bergantung pada Rashford untuk menjaringkan gol.
Sejauh ini hanya Victor Osimhen daripada Napoli yang telah menjaringkan lebih banyak gol daripada Rashford dalam lima liga domestik terunggul di Eropah sejak pertandingan domestik disambung selepas Piala Dunia Qatar.
Rashford menjaringkan 10 gol kemenangan dalam EPL musim ini, iaitu jumlah paling banyak dijaringkan oleh pemain Manchester United dalam semusim sejak Wayne Rooney pada musim 2009-2010.
Dari sudut lain, ia juga respons yang diperlukan daripada United selepas ia tewas kepada Newcastle pada Ahad lalu.
"Apa yang kami lakukan pada Ahad tidak boleh diterima. Hari ini, itulah prestasi yang saya jangkakan dan tuntut," ujar ten Hag.
Brentford, yang turut mengejar kelayakan ke Liga Juara-Juara, hanya tewas dua kali dalam 17 perlawanan terakhir EPL.
Scott McTominay dan Antony hampir menjaringkan gol bagi United selepas Rashford menyumbatkan gol dari jarak dekat dengan bantuan tandukan Marcel Sabitzer, selepas Brentford gagal memastikan bola keluar dari zon bahaya menyusuli satu sepakan penjuru United.
Brentford, yang bermain kurang menyerlah pada separuh masa pertama, bermain lebih baik selepas rihat dan United boleh menarik nafas lega apabila wisel penamat ditiup.
Penjaga gawang United, David de Gea, perlu mendapatkan rawatan selepas menyelamatkan bola daripada satu percubaan Kevin Schade.
Brentford kekal di tangga kesembilan, tiga mata di belakang Brighton di tangga keenam.
Sementara itu, Newcastle mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga selepas membelasah West Ham United 5-1 di padang lawan pada Rabu.
Callum Wilson dan Joelinton masing-masing menjaringkan dua gol dalam 13 minit pertama perlawanan, sebelum Kurt Zouma membalas dengan satu gol buat West Ham.
Satu lagi gol Newcastle dijaringkan Alexander Isak.
West Ham kini di tangga ke-15 dengan 27 mata dan masih dalam kedudukan kurang selesa.
Pasukan lain dengan 27 mata termasuk Everton, Nottingham Forest dan Bournemouth. - Agensi berita.