MENTERI Budaya, Masyarakat dan Belia Edwin Tong bakal membentang usulan di Parlimen bulan depan untuk meraikan pencapaian atlet Singapura di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang berakhir baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media kelmarin, kementerian beliau menyatakan bahawa atlet negara, melalui sukan, telah memberi inspirasi kepada warga Singapura untuk berusaha mencapai kecemerlangan, dan bahawa "semangat waja mereka untuk berjaya bagi negara" menyatukan rakyat dan menanam rasa bangga.
"Kami mengucapkan tahniah kepada atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik Team Singapore kita, terutama Cik Yip Pin Xiu, pemenang lima pingat emas Sukan Paralimpik kita, bagi pencapaian mereka di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo."
Encik Tong juga akan berucap mengenai bagaimana pelaburan pemerintah dalam sistem prestasi tinggi menyokong dan mencipta peluang untuk semua warga Singapura yang memiliki bakat dan minat untuk bersaing di tahap elit sukan.
Atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik Singapura, dan wakil serta pegawai utama yang menyokong atlet negara sepanjang Sukan Tokyo, akan diundang ke sidang Parlimen.
Dalam satu posnya di Facebook kelmarin, Encik Tong menjanjikan ia akan menjadi "acara yang istimewa".
Beliau akur bahawa pandemik Covid-19 telah membuat persiapan bagi Tokyo mencabar.
"Namun, jelas bahawa kesukaran seperti itu hanya mendorong mereka untuk melakukan yang lebih baik lagi," katanya, sambil menambah mengenai rekod nasional, keputusan terbaik peribadi dan ranking baru yang dicatat di temasya sukan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg