Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Villa lantik Unai Emery sebagai pengganti Gerrard

Oct 26, 2022 | 5:30 AM
- Foto AFP
- Foto AFP -

LONDON: Aston Villa telah melantik Unai Emery (gambar) sebagai pengurus pasukan bagi menggantikan Steven Gerrard yang dipecat.

Emery, yang pernah memimpin Arsenal dalam Liga Perdana England (EPL) sebelum ini, memimpin kelab La Liga Sepanyol, Villareal, dan akan mengambil alih kepimpinan di Villa pada 1 November.

Villa telah membayar Villareal £5.2 juta ($8.36 juta) untuk mendapatkan khidmat Emery, 50 tahun.

Jurulatih sementara, Aaron Danks, akan ditugaskan memimpin pasukan itu yang bertandang ke Newcastle United pada hujung minggu ini, selepas Gerrard dipecat, menyusuli kekalahan 0-3 kepada Fulham.

Villa berkata Emery, yang kontraknya di Villareal luput pada musim panas depan, akan memulakan tugas minggu depan, selepas permit kerjanya diluluskan.

Kelab itu, dalam kenyataannya, berkata:

"Aston Villa amat gembira untuk mengumumkan pelantikan Unai Emery sebagai ketua jurulatih kelab.

"Beliau ialah seorang pengurus yang berpengalaman di peringkat tertinggi dan pernah menguruskan lebih 900 perlawanan. Unai juga berpengalaman memimpin pasukan di England, bersama Arsenal dan pernah memimpin pasukan itu ke final Liga Europa.

"Beliau juga menikmati kejayaan semasa di Sevilla dan Paris St-Germain. Di Seville, beliau memenangi tiga kejuaraan Liga Europa antara 2013 dengan 2016, sebelum berpindah ke Perancis di mana beliau memenangi dua Piala Perancis, dua Piala Liga Perancis dan dua trofi Liga.

Emery menyertai Villareal pada 2020 dan memimpin pasukan itu menjuarai Liga Europa pada musim 2020-21, apabila ia menewaskan Manchester United di final.

Kelab La Liga itu juga melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, sebelum ia tewas 2-5 melalui kiraan agregat kepada Liverpool.

Pelantikan Emery di Villareal berlaku hanya 18 bulan selepas beliau dipecat oleh Arsenal pada November 2019, ekoran kekalahan dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Beliau juga memimpin Arsenal ke final Liga Europa pada 2019, di mana ia tewas kepada Chelsea. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg