PADA ketika aturan global menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada hubungan tegang geopolitik, penolakan terhadap integrasi ekonomi dan perang Russia-Ukraine yang berterusan, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan telah menyeru Asia dan Eropah untuk bekerjasama bagi manfaat bersama.

Formula bagi globalisasi dan integrasi ekonomi, yang telah berhasil selama lebih 60 tahun lalu untuk menjana pertumbuhan dan membawa ramai keluar daripada kemiskinan, kini menghadapi risiko, kata beliau.

Bercakap pada ulang tahun ke-25 Yayasan Asia-Eropah (Asef) di ibu pejabatnya di Pasir Panjang, Dr Balakrishnan pada Rabu memuji kerja baik yang dilakukan yayasan itu untuk menggalak persefahaman bersama melalui pertukaran intelektual, budaya dan antara warga negara masing-masing.

Asef, yang bermula pada 1997, adalah pertubuhan bukan mencari keuntungan antara pemerintah dengan pelbagai peranan, termasuk bertindak untuk mendekati masyarakat sivil dalam Mesyuarat Asia-Eropah (Asem).

Asem adalah forum antara pemerintah yang ditubuhkan pada 1996 untuk menangani isu politik, ekonomi dan sosiobudaya serta mewujudkan peluang kerjasama dalam kalangan 53 rakan kongsinya.

Dr Balakrishnan mengakui bahawa tidak semestinya negara akan bersatu dengan rela hati untuk bekerjasama antara satu sama lain.

"Perkara ini tidak berlaku secara spontan. Berbuat sedemikian memerlukan kepercayaan dan persefahaman bersama. Di sinilah platform seperti Asem memainkan peranan yang tidak ternilai," katanya.

"Inilah sebabnya kerja Asef, yang melengkapkan proses Asem dan menjadikan agendanya kepada program yang boleh dilaksanakan, memang nyata, bukan sahaja penting, tetapi amat diperlukan."

Oleh itu, beliau berkata Asia dan Eropah perlu menggandakan dan mendekati satu sama lain dengan lebih rapat, terutamanya dalam perdagangan.

Menyifatkan Eropah dan Asia sebagai rakan kongsi semula jadi dan penyokong yang mempunyai naluri untuk penyertaan berbilang hala, beliau berkata kedua-dua blok itu harus membina perjanjian seperti Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Singapura (EUSFTA) dan Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif Asean-EU.

Mengenai FTA Asean-EU, beliau menggesa agar perjanjian itu dibuat dengan segera.

Rundingan dimulakan pada 2007, tetapi selepas perbincangan digantung pada 2009, EU meneruskan perjanjian perdagangan dua hala secara individu dengan negara anggota Asean.

EU kekal bimbang tentang beberapa anggota Asean termasuk Kemboja dan Myanmar, yang telah dikenakan sekatan kerana pencabulan hak asasi manusia mereka.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti