MANCHESTER: Kapten Manchester City, Kyle Walker, berkata kelab itu akan terlepas peluang menjadi juara Liga Perdana England (EPL) jika pemainnya tidak memberi yang terbaik sedang mereka menyasarkan matlamat mencatat rekod memenanginya buat kali kelima berturut-turut.
Beliau berkata demikian beberapa hari sebelum musim baru EPL bermula pada 17 Ogos.
City merupakan kelab pertama yang memenangi empat kejuaraan EPL berturut-turut dan akan mulakan kempen EPL baru dengan mempertahankan kejuaraan mereka pada 18 Ogos apabila mereka bertandang ke Chelsea.
Dalam satu sesi wawancara bersama saluran media BBC Radio 5 Live pada 12 Ogos, pemain pertahanan itu berkata:
“Saya tidak bercakap atas dasar ego, tetapi kami melakukannya sebanyak empat kali berturut-turut – kami akan gagal untuk meraih trofi ini sekiranya kami tidak melakukan yang terbaik.
“Memang pasti, apabila anda melihat pada lengan anda dan anda mempunyai lencana emas (di lengan jersi) yang tidak dimiliki orang lain, anda berasa baik. Semoga perasaan baik ini berterusan.”
Di bawah pimpinan pengurus Pep Guardiola, kemenangan sudah menjadi perkara biasa untuk City.
Namun, untuk kekal bermotivasi bagi kempen EPL baru bukanlah mudah.
“Untuk kami memenangi empat EPL berturut-turut, serta mendapat treble, ia adalah satu pencapaian yang hebat.
“Selain itu, kami memenangi Piala Super dan Piala Kelab Dunia, jadi adalah sangat penting untuk kami bangkit dan lakukannya sekali lagi.
“Jadi, mengapa kami tidak boleh memenangi EPL lima kali berturut-turut? Mengapa kami tidak boleh melakukan sesuatu yang saya rasa mungkin tidak akan dilakukan lagi? Itulah motivasi yang perlu kami wujudkan sebagai satu kumpulan, dan daripada saya sebagai kapten,” tambah Walker, 34 tahun.
Guardiola merupakan pendorong utama di sebalik tekad kuat City memenangi trofi, dan beliau memastikan pemain sepadan dengan tahap dedikasinya.
Walker mengakui kelabnya mahukan kejayaan segera dan oleh itu, beliau dan rakan sepasukannya perlu menyampaikan kejuaraan dan trofi.
“Saya fikir jika anda tidak rasa terdorong untuk menang, beliau (Guardiola) tidak mahu anda di kelabnya. Keinginan untuk menang merupakan sebahagian besar DNA-nya.
“Lihat sahaja kelab yang beliau pernah urus dan pemain yang dibimbingnya. Jika anda tidak memberi usaha terbaik, beliau tidak segan dan tidak takut untuk beritahu anda,” jelas Walker.
Mengimbas kempen Euro 2024 England dalam episod terbaru You’ll Never Beat Kyle Walker, beliau berkata England, yang menjadi naib juara, merasai tekanan besar sepanjang kejohanan itu.
Setelah menewaskan Serbia 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, England mendapat kritikan apabila mereka hanya mampu seri dengan Denmark dan Slovenia.
Walker mendedahkan bahawa skuad England membincangkan kritikan terhadap mereka daripada media semasa berada di Jerman, di mana Euro 2024 dilangsungkan.
“Saya berbohong jika saya kata kami tidak berbincang tentang kritikan itu. Kami semua manusia dan semua orang mahu disukai, terutama untuk pekerjaan yang anda lakukan dengan penuh semangat dan cintai,” ujar beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg