PARIS: Hanya beberapa bulan lalu, bintang bola sepak Maghribi Achraf Hakimi disanjung sebagai antara wira yang membantu pasukan bola sepak negaranya u mengukir sejarah melangkah ke separuh akhir Piala Dunia di Doha, Qatar.

Kini, sejarah indah itu tercalar, selepas pihak pendakwaraya Perancis memulakan siasatan ke atas Achraf berhubungan tuduhan merogol.

Mengesahkan perkara itu, seorang pegawai pejabat hakim di Paris berkata Achraf, yang menyarung jersi kelab Paris Saint-Germain (PSG), memberitahu agensi berita AP, siasatan tersebut dipimpin oleh pejabat pendakwaraya di Nanterre.

Namun, beliau enggan memberi sebarang butiran mengenai tuduhan atau mengulas mengenai sebarang laporan media berhubung perkara yang berlaku kerana tidak mempunyai kebenaran berbuat demikian.

Achraf, yang dilahirkan di Sepanyol, tetap hadir di acara Anugerah Fifa yang berlangsung Selasa.

Beliau juga mendapat penghormatan apabila dipilih menanggotai kesebelasan utama Piala Dunia, atau World XI.

Namun, sehingga artikel ini dicetak, Achraf belum lagi memberi respons terhadap tuduhan merogol itu.

Pegawai PSG juga tidak memberi respons.

Achraf tidak beraksi dalam perlawanan terakhir PSG pada hujung minggu lalu apabila kelab mewah Perancis itu menewaskan Marseille.

Tuduhan Achraf terlibat dalam kes rogol ditimbulkan media di Eropah minggu lalu, yang menyatakan kejadian itu berlaku pada 25 Februari.

Seorang wanita berusia 23 tahun memberitahu polis beliau telah dirogol oleh seorang pemain bola sepak PSG, tetapi tidak ingin membuat aduan.

Sebaliknya, beliau sekadar ingin membuat satu kenyataan.

Namun pendakwaraya Perancis tetap memulakan siasatan ke atas kes yang dianggap serius itu.

Menurut akhbar Le Parisien, Achraf, 24 tahun, mula berbual-bual dengan wanita itu di Instagram pada 16 Januari.

Beliau mengundang wanita itu ke rumahnya di Boulogne pada 25 Februari, semasa isterinya Hiba Abouk dan dua anak lelaki mereka sedang bercuti di Dubai. - Agensi berita.