Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yip rangkul emas dengan rekod baru kejohanan

Jun 16, 2022 | 5:30 AM
UNGGUL: Pemenang pingat emas, Yip Pin Xiu (tengah), bergambar dengan pemenang perak, Fabiola Ramirez Martinez dari Mexico (kiri) dan pemenang gangsa Angela Procida dari Italy selepas menerima pingat masing-masing. - Foto SDSC
UNGGUL: Pemenang pingat emas, Yip Pin Xiu (tengah), bergambar dengan pemenang perak, Fabiola Ramirez Martinez dari Mexico (kiri) dan pemenang gangsa Angela Procida dari Italy selepas menerima pingat masing-masing. - Foto SDSC -

SRIKANDI renang-para Singapura, Yip Pin Xiu, memulakan saingan Kejohanan Renang Para Dunia 2022 di Madeira, Portugal, dengan cemerlang selepas beliau berjaya mengekalkan gelaran juara dunia bagi acara 100 meter kuak lentang S2 wanita kelmarin.

Juara Paralimpik lima kali itu menyentuh tembok di Kompleks Renang Olimpik Penteada dengan cacatan rekod baru - 2 minit 15.16 saat - di hadapan perenang Mexico, Fabiola Ramirez Martinez (2:33.20) dan Angela Procida dari Italy (2:36.46).

Ini merupakan pingat emas keempat perenang berusia 30 tahun itu di pentas kejohanan dunia.

Pada edisi terakhir kejohanan itu pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda, Yip memenangi acara 100m kuak lentang S2 wanita dan 50m kuak lentang S2 wanita.

Beliau merangkul gelaran dunia pertamanya pada 2010 apabila berjaya menguasai perlumbaan 50m gaya bebas di Eindhoven, Belanda, di mana beliau bertanding dalam kelas S3.

Dengan keputusan itu, Yip telah mencipta rekod kejuaraan baru, berjaya memperbaiki masanya (2:18.61) yang dicapai dalam acara yang sama di Kejohanan Allianz Renang-Para Dunia 2019 dan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (2:16.61).

"Pingat emas ini amat bermakna bagi saya... menjadi juara dunia selepas tiga tahun.

"Tempoh dua tahun yang lalu benar-benar sukar bagi saya dengan Covid-19 dan kekurangan persaingan serta kem latihan.

"Tahun ini terasa lebih normal. Saya akan cuba mendapatkan semula konsistensi saya dan berlumba dengan sebaik mungkin.

"Ia akan mengambil masa tetapi itulah matlamatnya... untuk dapat mencapai tahap yang dikehendaki secara konsisten.

"Untuk dua setengah tahun akan datang, saya berharap dapat memperbaiki masa saya agar dapat beraksi dengan baik di Sukan Paralimpik Paris 2024," kata Yip.

Ini merupakan emas pertama Singapura di Kejohanan Renang-Para Dunia Madeira tahun ini.

Selain Yip, kontingen Singapura turut diwakili tiga perenang lain - Colin Soon, Sophie Soon dan Wong Zhi Wei.

Secara kolektif, empat perenang negara ini akan mengambil bahagian dalam 11 acara, dengan Colin Soon bakal beraksi dalam acara 100m kuak dada SB12 lelaki, Sophie Soon (100m kuak dada SB12 wanita) dan Yip (50m gaya bebas S3 wanita) hari ini.

Kejohanan Dunia Renang-Para 2022 ini berlangsung dari 12 hingga 18 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg