Topik diikuti
Pergi ke BHkuYoung Lions 'tajamkan kuku’ dengan pemain import, senior baharu
Jika musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 menyaksikan Young Lions diperkukuh dengan beberapa pemain import dari Brazil dan dua pemain senior tempatan, musim baharu 2026/27 pula bakal menyajikan wajah yang lebih segar.
Walaupun kumpulan pemain import tersebut gagal membawa Brazilian flair ke SPL pada musim lalu, skuad pembangunan itu kini dipacu kehadiran beberapa tonggak import asal Jepun.
Antaranya ialah bek tengah berpengalaman dari Tampines Rovers, Shuya Yamashita, 28 tahun; serta dua pemain dari Liga J3, Jepun.
Mereka ialah penyerang, Miyu Sato, 26 tahun dari FC Ryukyu Okinawa, dan pemain tengah, Kagami Toi, 27 tahun dari Thespa Gunma.
Langkah itu, yang turut diikuti kehadiran beberapa muka senior tempatan baharu, bertujuan menyuntik kestabilan serta tahap profesionalisme yang lebih tinggi dalam latihan, kongsi ketua jurulatih Young Lions, Firdaus Kassim kepada Berita Harian (BH).
Walau akur mengenai cabaran sengit yang menanti, Firdaus ingin melihat anak buahnya dahaga untuk membuktikan keupayaan, terutama selepas kempen musim lalu yang mengecewakan, di mana mereka menduduki tangga kedua dari bawah.
Beliau percaya kejayaan beberapa tonggak muda seperti penyerang dan kapten, Nathan Mao, serta pertahanan, Luth Harith, yang menembusi skuad kebangsaan bagi Piala ASEAN Hyundai 2026, mampu membakar semangat rakan sepasukan lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Bercakap kepada BH, Firdaus enggan meletakkan sebarang sasaran khusus bagi musim baru SPL.
Sebaliknya, beliau memilih untuk mengambil pendekatan fleksibel mengikut perlawanan demi perlawanan.
“Kejayaan Mao dan Luth dipanggil ke skuad nasional adalah ganjaran dan bukti hasil kerja keras kami. Apa yang penting ialah kami tumpukan satu demi satu perlawanan.
“Keputusan musim lalu memang tidak cukup baik, namun, tumpuan utama kami kekal sama – lahirkan lebih ramai pemain untuk sarung jersi negara secara konsisten.
“Itulah asas kepada kerja keras kami setiap hari,” ujar Firdaus.
Menjelang perlawanan pertama SPL menentang FC Jurong pada 13 September di Stadium Jalan Besar, Young Lions terpaksa merintangi cabaran di peringkat awal.
Beberapa tonggak utama seperti Luth, Andy Reefqy dan Danial Herwan dipanggil menyertai skuad bawah 20 tahun kebangsaan bagi saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027.
Kumpulan pemain tersebut sedang berada di Bhutan untuk menentang pasukan tuan rumah, Macau, dan Chinese Taipei dari 25 Ogos hingga 6 September.
Menurut Firdaus, mereka hanya akan kembali menyertai pasukannya pada tiga hingga empat hari sebelum perlawanan pembukaan SPL.
Cabaran pasukan turut ditambah dengan komitmen harian para pemain yang perlu membahagikan masa antara pengajian dan Perkhidmatan Negara (NS), tambahnya.
“Mereka bukan pemain sepenuh masa. Selepas seharian berada di sekolah atau menjalankan tugas NS, mereka perlu datang berlatih dan mengerah tenaga ke tahap maksimum.
“Ia tidak mudah untuk diulang semula seawal pagi keesokannya,” kata Firdaus.
Namun, beliau menganggap kekangan itu sebagai ruang buat pemain lebih muda berusia 16 hingga 17 tahun untuk mempamerkan keupayaan diri.
“Ini satu peluang buat pemain yang lebih muda untuk mengejutkan kami.
“Buat masa ini, kami turut menaikkan beberapa pemain berusia 16 hingga 17 tahun dari skuad kedua untuk berlatih bersama bagi menilai sejauh mana mereka mampu bersaing,” tambahnya.
Dengan cabaran yang dilalui, pemain import dan senior tempatan diharapkan dapat memberikan suntikan tambahan bagi mereka.
Selain daripada trio pemain Jepun, Young Lions dipacu dengan pemain tengah kelahiran Wales, United Kingdom, Kai Whitmore, 25 tahun, yang berpotensi menyarung jersi Singapura disebabkan datuknya yang lahir di sini.
Pemain sayap veteran, Hafiz Nor dari Lion City Sailors dan pemain tengah dari Tampines, Joel Chew, turut menjadi muka baru Young Lions.
Sementara itu, status dua pemain senior musim lalu – penjaga gawang Izwan Mahbud dan bek tengah Abdil Qaiyyim – masih belum dipastikan sama ada kekal bersama pasukan atau sebaliknya.
Berkongsi mengenai pemain import yang dipilih pasukan muda itu, Firdaus berkata:
“Yang paling penting adalah profil pemain itu mesti memenuhi keperluan pasukan dan bukan sekadar cukup syarat.”
Menurutnya, keempat-empat tonggak import Brazil musim lalu – pasangan bek tengah, Enrico Silveira dan Joilson Lucas; serta pasangan penyerang, Abner Vinicius dan Sergio Mendonca telah dilepaskan.
Pemain tengah bertahan, Lucas Agueiro – yang dipinjamkan ke Young Lions dari Lion City Sailors – meninggalkan kelab itu pada pertengahan musim untuk kembali ke pasukan utamanya.
Menurut laman statsitik bola sepak, Transfermarkt, Mendonca hanya menjaringkan lapan gol dalam 19 penampilan, sementara Vinicius, dua gol dalam 18 penampilan.
Lucas dan Silveira pula masing-masing membuat hanya sembilan dan 11 penampilan.
Apabila ditanya mengenai keputusan pemindahan pemain tersebut, Firdaus menegaskan ia “dilakukan atas sebab bola sepak semata-mata.”
“Selepas musim lalu berakhir atau sebelum itu lagi, kita sudah kenal pasti keperluan pasukan dan apa yang diperlukan oleh pemain muda (tempatan) untuk tingkatkan keupayaan mereka ke tahap seterusnya.
“Musim lalu, terlalu banyak bebanan yang diletakkan di bahu mereka, dan ini tidak sepatutnya berlaku kepada pemain muda kerana mereka baru berusia 18 atau 19 tahun.
“Kita mahu mereka berjaya musim ini tanpa memikul bebanan yang tidak sepatutnya,” kongsi Firdaus.
Selain itu, kehadiran pemain senior tempatan seperti Hafiz dan Chew turut diharapkan dapat bertindak sebagai mentor di dalam dan luar padang.
“Pembangunan pemain muda tidak hanya bergantung pada minit permainan, namun, mereka juga perlukan sokongan yang baik di sekeliling mereka.
“Kami mahu pemain senior bimbing, tingkatkan intensiti latihan dan jadi contoh profesionalisme buat pemain muda,” tambah Firdaus lagi.
Sekilas jadual perlawanan Young Lions:
September 2026
- 13 Sep lawan FC Jurong di Stadium Jalan Besar
- 19 Sep lawan Geylang International FC di Stadium Jalan Besar
Oktober 2026
- 11 Okt lawan Lion City Sailors FC di Stadium Jalan Besar
- 18 Okt lawan Tampines Rovers FC di Our Tampines Hub
- 24 Okt lawan Balestier Khalsa FC di Stadium Jalan Besar
- 31 Okt lawan Hougang United FC di Stadium Bishan
November 2026
- 21 Nov lawan Tanjong Pagar United FC di Stadium Jalan Besar
- 29 Nov lawan Lion City Sailors FC di Stadium Jalan Besar
Februari 2027
- 14 Feb lawan Tampines Rovers FC di Our Tampines Hub
- 20 Feb lawan FC Jurong di Stadium Jurong East
- 27 Feb lawan Balestier Khalsa FC di Stadium Jalan Besar
Mac 2027
- 7 Mac lawan Tanjong Pagar United FC di Stadium Jurong East
- 13 Mac lawan Hougang United FC di Stadium Jalan Besar
- 20 Mac lawan Geylang International FC di Our Tampines Hub
April 2027
- 3 Apr lawan Balestier Khalsa FC di Stadium Bishan
- 11 Apr lawan Tampines Rovers FC di Stadium Jalan Besar
- 18 Apr lawan Lion City Sailors FC di Stadium Jalan Besar
- 25 Apr lawan FC Jurong di Stadium Jurong East
Mei 2027
- 2 Mei lawan Tanjong Pagar United FC di Stadium Jalan Besar
- 9 Mei lawan Geylang International FC di Our Tampines Hub
- 16 Mei lawan Hougang United FC di Stadium Jalan Besar
