Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaiful Nizam dari Geylang menang 'Golden Glove' SPL pada usia 35 tahun

Oct 27, 2022 | 5:30 AM
PENGHALANG PENYERANG: Penjaga gol Geylang International, Zaiful Nizam, meraih anugerah Golden Glove Liga Perdana Singapura dengan gawangnya tidak dibolosi dalam sembilan daripada 25 perlawanan. - Foto THE PICTURE SUITE
PENGHALANG PENYERANG: Penjaga gol Geylang International, Zaiful Nizam, meraih anugerah Golden Glove Liga Perdana Singapura dengan gawangnya tidak dibolosi dalam sembilan daripada 25 perlawanan. - Foto THE PICTURE SUITE -

LEBIH setahun lalu, Zaiful Nizam mencapai titik terendah dalam kerjaya bola sepaknya selepas dipecat Balestier Khalsa kerana enggan masuk padang sebagai pemain gantian menentang Young Lions.

Bulan depan, penjaga gol berusia 35 tahun itu akan menyambut musim ke-17 beliau sebagai pemain profesional dengan meraih anugerah Golden Glove pertamanya.

Zaiful menamatkan musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2022 dengan rekod bersih terbanyak - gawang Geylang International yang dijaganya tidak dibolosi dalam sembilan daripada 25 perlawanan.

Persembahannya yang boleh diharapkan juga membantu Geylang bangkit daripada permulaan musim yang teruk - hanya satu kemenangan dalam 12 perlawanan pertama mereka - untuk menduduki tangga keempat di bawah Albirex Niigata, Lion City Sailors dan Tampines Rovers.

Zaiful antara pemenang di Anugerah Liga Perdana Singapura 2022 AIA, yang akan diadakan pada 8 November.

"Saya berasa dirahmati. Saya mempunyai kerjaya agak panjang, tetapi tidak pernah menjangka akan memenangi anugerah ini, terutama dengan permulaan lembap kami musim ini.

"Seperti penyerang yang mahu menjaringkan gol, penjaga gol juga mempunyai sasaran gawangnya tidak dibolosi sebelum setiap perlawanan.

"Perbezaannya ialah lebih mudah menjaringkan gol daripada mengekalkan rekod tidak dibolosi kerana penyerang hanya memerlukan satu saat baik untuk menjaringkan gol, tetapi satu kesilapan boleh membatalkan semua kerja baik seorang penjaga gol."

Kerjayanya bukan tanpa cabaran kerana ketinggian Zaiful, iaitu 1.74 meter, boleh menjadi satu kelemahan apabila menjaga gawang berukuran 7.32 meter kali 2.44 meter.

"Rasanya penjaga gol lebih rendah perlu bekerja dua kali lebih keras dari segi pergerakan berbanding penjaga gol lebih tinggi, tetapi akhirnya sukan ini ialah mengenai keyakinan dan keberanian.

"Saya mendapat inspirasi daripada penjaga gol lebih rendah seperti Jorge Campos dan Yazid Yasin, yang tidak gentar walaupun menentang penyerang besar," ujar Zaiful.

Beliau terus menempa kerjaya senior mantap. Sorotannya termasuk memenangi Piala Liga 2013 dan Piala Singapura 2014 bersama Balestier dan bermain dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia bersama kelab itu.

Tetapi titik terendahnya ketika bersama Balestier, lepas dipecat pada Ogos 2021 dek insiden yang dikesalinya sejak itu.

Bapa dua anak itu, yang pernah terpaksa mengatasi kecederaan lutut dan tendon Achilles serius, berkata: "Fikiran saya kosong ketika itu, tetapi saya harus menyara keluarga dan saya percaya pada diri sendiri.

"Berpindah ke Geylang ternyata adalah satu rahmat tersembunyi."

Zaiful percaya beliau masih berupaya bermain beberapa tahun lagi sedang beliau mengejar 16 lagi rekod bersih untuk mencapai jumlah kerjaya senior 100, menurut laman bola sepak Transfermarkt.

"Saya mahu memenangi SPL sekurang-kurangnya sekali, dan memulakan lebih banyak perlawanan bagi pasukan kebangsaan," kata Zaiful, yang telah bermain bagi Singapura tiga kali, terakhir pada 2019.

"Dengan kelajuan bola dan tempo perlawanan semakin meningkat sepanjang beberapa tahun ini, penjaga gol perlu memahami perubahan ini dan menyesuaikan diri.

"Saya suka bekerja keras dan mendorong diri saya sendiri, dan saya juga telah belajar peri prning pemulihan dan diet betul. Dengan sokongan dan kepercayaan keluarga dan rakan-rakan, saya masih boleh terus bermain," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg