MADRID: Zinedine Zidane berkata beliau meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid kerana berasa kelab itu tidak lagi yakin terhadap keupayaannya memimpin kelab itu.
Zidane, yang semasa kerjayanya sebagai pemain dianggap sebagai antara pemain terbaik di Real, meninggalkan kelab itu bagi kali kedua sebagai pengurus selepas gagal memenangi sebarang trofi pada musim 2020-21.
Sebelum ini, Zidane pernah menguruskan Real dari 2016-2018, sebelum kembali ke kelab itu pada Mac 2019.
"Memang saya meninggalkan kelab itu, tetapi ini tidak bermakna saya ingin bersara," kata Zidane, 48 tahun, dalam surat terbuka kepada penyokong Real, yang diterbitkan oleh wadah berita Sepanyol AS.
"Saya meninggalkan kelab kerana saya rasa ia tidak lagi yakin dengan keupayaan saya, dan ia tidak akan memberikan saya sokongan untuk membangun pasukan yang boleh bersaing dengan kelab-kelab lain bagi tempoh pertengahan atau tempoh panjang.
"Saya faham bagaimana bola sepak dimainkan dan saya sedar di kelab sebesar Real Madrid, pengurus harus beredar jika kita tidak menang.
"Tapi lebih daripada memenangi trofi, saya rasa lebih penting lagi adalah orang yang membentuk kelab ini dan orang ini semuanya berperasaan dan berpendapat... dan pendapat mereka tidak semestinya diambil kira.
"Ada kalanya, saya juga telah diberi peringatan kerana cuba memberikan pendapat saya," kata Zidane. - Agensi berita.