MADRID: Zinedine Zidane meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid semalam, berkuatkuasa serta-merta, lapor media Sepanyol.
Ini kali kedua legenda bola sepak Perancis itu meletak jawatan sebagai pengendali Los Blancos, kali pertama sejurus selepas menjulang kejuaraan Eropah 2018.
Menurut wartawan, Zidane memutuskan meninggalkan Real Madrid setelah kelab itu mengakhiri musim ini tanpa memenangi sebarang gelaran. Menyusuli musim sukar itu, Zidane membayangkan beliau berhasrat "memudahkan kelab" berhubung masa depannya.
Masa depan Zidane, 49 tahun, sebelum itu menjadi tanda tanya ekoran Real menutup kempen tanpa sebarang trofi. Real gagal mempertahankan kejuaraan La Liga selepas tewas dua mata kepada Atletico Madrid pada hari terakhir.
Zidane kembali ke kelab pada 2019 selepas penggantinya, Julen Lopetegui dan Santiago Solari, gagal membawa Real ke tahap yang dimahukan.
Kepulangannya membantu mereka menjuarai La Liga selepas mengenepikan musuh ketat Barcelona. Bagaimanapun pada musim ini, Real buat kali pertama dalam lebih 10 tahun gagal menjulang sebarang trofi.
Selain kalah kepada Atletico bagi gelaran La Liga, mereka disingkir oleh Chelsea pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan dimalukan kelab divisyen bawahan CD Alcoyano dalam Copa del Rey.
Tiga nama disebut-sebut sebagai calon pengganti Zidane, diketuai jurulatih berpengalaman Italy Antonio Conte, yang meninggalkan Inter Milan kelmarin selepas menjuarai Serie A. Dua lagi ialah bekas jurulatih Juventus Massimiliano Allegri dan legenda Real serta Sepanyol, Raul Gonzalez. Allegri, bagaimanapun, menjadi calon pilihan untuk menggantikan Conte di Inter. - Agensi berita