Topic followed successfully
Go to BHkuZidane pimpin skuad 'hitam, putih, Afrika Utara' kuasai dunia
Zidane pimpin skuad 'hitam, putih, Afrika Utara' kuasai dunia
Zidane pimpin skuad 'hitam, putih, Afrika Utara' kuasai dunia
Sebagai permulaan siri ikon Piala Dunia kami, Berita Harian (BH) memaparkan kisah bagaimana Zinedine Zidane memimpin pasukan Perancis yang berbilang budaya mencapai kejayaan pada
LONDON: Pada ketika itu, mereka memanggilnya Yaz, seorang budak lelaki berusia 10 tahun dari bangunan tinggi konkrit di utara Marseille yang menyaksikan Perancis gagal dalam Piala Dunia 1982.
Keinginannya juga kecil hanya sebiji bola sepak diperbuat daripada kulit dan basikal, berbanding anugerah Ballon d'Or dan untuk dirinya dikenang sepanjang zaman.
Kita mengenali beliau sebagai Zinedine Zidane, atau Zizou, pemain yang akhirnya merealisasikan impian Piala Dunia Les Blues pada musim panas 1998 dan menghadiahkannya kepada negara yang bersatu oleh kejayaan pasukan bola sepak mereka.
Tetapi, ia tidak selalunya begitu untuk Zidane.
ASAL USUL ZIDANE
Seorang pendatang Algeria generasi kedua, beliau pertama kali bermain bola sepak di estet majlis perbandaran di La Castellane, yang kadar penganggurannya tinggi dan kurang peluang, dan hanya menyertai kelab pertamanya pada tahun sama pasukan kebangsaannya mengalami kekalahan di separuh akhir oleh sepakan penalti, kepada Jerman di Seville.
Ia juga tidak selalunya begitu bagi Perancis. Sebuah negara yang dihimpit masalah ketegangan kaum, ia berpecah belah disebabkan soal imigresen.
Anggota politik sayap kanan seperti Jean-Marie le Pen mencetuskan hujah dengan mendakwa pasukan yang terdiri daripada pemain berlatarbelakang New Caledonia, Sepanyol, Caribbean, Senegal, Ghana, Armenia, Portugal dan Argentina tidak mewakili Perancis itu.
Tetapi dengan lebih sejuta peminat berhimpun di Champs-Elysees untuk meraikan kejayaan wira mereka yang baru dinobatkan pada 1998, wajah yang dipancarkan ke Arc de Triomphe ialah anak lelaki seorang penjaga gudang asal Afrika Utara.
Ia tertulis: "Terima kasih, Zizou." "Presiden Zidane!"
Budak bernama Yaz, yang mengasah kemahirannya di jalanan berdebu projek perumahan Marseille, telah menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Brazil pada perlawanan akhir di Stade de France, menjadikan dirinya selamanya sebagai kesayangan negara - idola bola sepak mereka.
"Walaupun anda bermimpi tentangnya (menang Piala Dunia), fikirkan tentangnya, mahu melakukannya - anda memberitahu diri anda ia tidak mungkin berlaku," kata Zidane. "Dan itulah sebabnya saya berkata selepas itu bahawa dalam hidup saya tiada apa yang mustahil lagi."
FINAL 1998 PERANCIS LAWAN BRAZIL: RONALDO KENA SAWAN
Perancis menentang Brazil adalah perlawanan akhir yang diinginkan ramai, termasuk bekas presiden Uefa Michel Platini yang beberapa tahun kemudian berkata "kami melakukan sedikit penyesuaian" untuk mengelakkan pasukan berada di kumpulan yang sama dalam undian, dan pemain dapat merasakan harapan negara apabila mereka menuju ke stadium.
"Apa yang mengejutkan saya ialah orang ramai di jalanan," kata Zidane. "Orang berkulit hitam, putih, coklat. Saya berada dalam bas, betul-betul di bahagian belakang, saya pusing dan menoleh ke belakang dan melihat ada lebih 500 motosikal mengekori kami. Sungguh luar biasa, benar-benar luar biasa."
Walaupun Zidane mungkin pemain 'poster' negaranya, pasukan Barazil (Selecao) mempunyai bintang global mereka sendiri, Ronaldo, yang sudah menjaringkan empat gol dalam kejohanan itu.
Ronaldo, kemudian dilaporkan, telah mengalami sawan awal hari itu. Beliau bangun tanpa menyedari apa yang berlaku, dan selepas beberapa ujian dan perdebatan Ronaldo diberi "lampu hijau" untuk memulakan perlawanan bagi pasukan Mario Zagallo.
"Dalam permainan seperti ini, margin kecil boleh membuat perbezaan - siapa tahu, jika Ronaldo berada pada 100 peratus tahap kebolehannya dan sihat, mungkin Brazil akan menang?" kata bekas pemain pertahanan Perancis Lilian Thuram kepada BBC Sport.
Ronaldo, 21 tahun, tidak menunjukkan prestasi terbaiknya pada petang itu di pinggir utara Paris Saint-Denis - dan begitu juga Brazil. Tetapi Zidane, mempamerkan aksi terbaiknya dalam kejohanan itu apabila diperlukan - beliau kemudian pada tahun itu dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia dan pemenang Ballon d'Or.
"Menyaksikan Zinedine Zidane yang beraksi begitu baik dalam pasukan adalah sangat penting bagi kami," kata kapten Didier Deschamps kepada Fifa. "Dia seorang pemain yang tegas. Pemain unggul sentiasa membuat perbezaan dalam perlawanan besar."
NASIB ZIDANE BERBEZA DALAM PIALA DUNIA 2006 DI BERLIN
DARI 'hero ke zero'. Begitulah yang terjadi kepada Zinedine Zidane. Sekali lagi beliau menjadi kapten Perancis dalam final Piala Dunia 2006 tetapi kali ini beliau terlibat dalam insiden yang menggemparkan dunia. Zidane menghantuk kepalanya ke pemain Italy Marco Materazzi (kiri) dan dibuang padang.
Italy kalahkan Perancis 5-3 dalam sepakan penalti penentuan selepas kedudukan terikat 1-1 selepas masa tambahan. Bagaimanapaun Zidane dianugerah Kasut Emas sebagai pemain terbaik.
BLACK, BLANC, BEUR' (HITAM, PUTIH, AFRIKA UTARA)
Thuram masih ingat pesta di bilik persalinan yang berterusan hingga mereka menaiki bas pulang ke hotel pasukan, walaupun beliau terpaksa pulang awal untuk menjaga anak lelakinya Marcus pada keesokan harinya.
Wajah Zidane menyalakan Arc de Triomphe dan lebih sejuta orang berkumpul di Champs-Élysées, mengibarkan bendera, duduk di atas kereta yang bergerak dan memanjat tiang lampu menyanyikan lagu, 'I Will Survive' dengan luahan emosi yang sangat besar.
Dua hari kemudian, Zizou dan skuad itu menjadi tetamu di kediaman presiden Perancis untuk pesta taman Hari Bastille, dan dianugerahkan reben Legion of Honor.
Pasukan itu digelar 'Black, Blanc, Beur' (hitam, putih, Afrika Utara) oleh sesetengah orang dan 'Rainbow Team' oleh yang lain kerana gabungan pemain yang pelbagai.
Dan, untuk seketika sekurang-kurangnya, kejayaan mereka menyatukan sebuah negara yang hadapi konflik dalam isu imigresen dan diskriminasi.
"Kemenangan pada 1998 itu membantu memberi orang ramai lebih keberanian dan keinginan untuk menyuarakan tentang kesaksamaan dan ketidakadilan, dan menuntut kesaksamaan yang lebih besar," kata Thuram, yang telah menulis beberapa buku dan membentuk yayasan sendiri untuk mendidik menentang perkauman.
"1998 juga merupakan ulang tahun ke-150 penghapusan perhambaan di tanah jajahan Perancis, jadi ini adalah detik simbolik yang penting dalam cara yang mungkin tidak dapat dilihat pada masa itu." - Agensi berita
"Juara dunia 1998 itu digelar 'Black, Blanc, Beur' (hitam, putih, Afrika Utara) oleh sesetengah orang dan 'Rainbow Team' oleh yang lain kerana gabungan pemain yang pelbagai. Untuk seketika Sekurang-kurangnya, kejayaan mereka menyatukan sebuah negara yang berkonflik dalam isu imigresen dan diskriminasi. Kemenangan pada 1998 itu membantu memberi orang ramai lebih keberanian dan keinginan untuk menyuarakan kesaksamaan dan ketidakadilan. 1998 juga adalah ulang tahun ke-150 penghapusan` perhambaan di tanah jajahan Perancis, jadi ini adalah detik simbolik yang penting."

