Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Karikatur Maradona lukisan Mat Tocang hiasi katalog dunia

Mar 13, 2021 | 05:30 AM



PEMERGIAN ikon bola sepak dunia dari Argentina, Diego Armando Maradona, pada 25 November tahun lalu, meninggalkan kesan mendalam buat kartunis Encik Mohamad Idham Mokaron.



Bagi Encik Mohamad Idham yang lebih dikenali dengan nama pena Mat Tocang, 47 tahun, itulah tokoh sukan dunia yang memiliki kemahiran luar biasa dan larian ligat di padang bola meskipun bertubuh rendah.



Kerana terkesan dengan kehilangan Maradona yang meninggal dunia kerana serangan jantung dan darah beku di otak, beliau mengilhamkan karikatur bintang bola sepak itu sebagai tanda penghormatan.



Kebetulan, lukisannya terpilih bagi katalog Kesatuan Kartunis Sedunia yang menggabungkan puluhan karikatur Maradona dari pelukis serata dunia.



Ini merupakan kali pertama karya seni Encik Mohamad Idham, seorang jurutera, diabadikan dalam katalog dunia kesatuan yang berpangkalan di Turkey dan dianggotai lebih 1,500 anggota.



Sebagaimana jelasnya ketika dihubungi:



"Saya terharu dan gembira kerana inilah kali pertama lukisan karikatur tokoh dunia yang saya hasilkan mendapat tempat dalam katalog antarabangsa. Biasanya, saya lukis gambar orang terkenal buat suka-suka atau tatapan teman-teman di media sosial saya.



"Justeru, pencapaian ini memberi saya semangat menyertai pameran atau peraduan antarabangsa pada masa akan datang."



Antara cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan karikatur Maradona adalah memastikan proses mewarnanya tepat memandangkan foto rujukan yang ada tidak begitu jelas.



Dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, Encik Mohamad Idham yang mendapat pendedahan pada lukisan karikatur setelah menyertai Kelab Coretan Remaja Berita Harian pada usia remaja mendapati dirinya lebih aktif dan produktif berkarya.



Walau kembaranya ke negara penganjur tersekat, karyanya menjelajah pameran dan peraduan serantau dan dunia.



Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 10 acara disertainya. Sebilangannya termasuk yang menjadikan koronavirus sebagai tema untuk dikupas secara kreatif.



Ini termasuk peraduan dan pameran antarabangsa Cintai Warisan Kita di Balai Kartun Rossem di Kelantan, pameran antarabangsa Kartunis Vs Covid-19 di Rumah Kartun & Komik Malaysia, Kuala Lumpur, peraduan El Humor Vs Coronavirus di Cali, Colombia dan peraduan kartun antarabangsa, We Defeat Coronavirus anjuran CartooMag di Iran.



Lukisan Encik Mohamad Idham juga dimuatkan dalam buku Indonesia Melawan Corona ala Kartunis dan Festival Kartun Indonesia yang bertemakan antiolokan, kedua-duanya kendalian Persatuan Kartunis Indonesia (Pakarti).



Selain menghasilkan lukisan tentang perintah berkurung, sekatan kembara, vaksinasi dan keadaan masyarakat yang dibelenggu koronavirus, bapa dua anak remaja ini juga berpeluang memperkasa dirinya dengan pengetahuan tentang budaya sesebuah daerah atau masyarakat.



Misalnya, ada peraduan Lomba Kartun Nasional: Tentang Jambi dan peraduan kartun antarabangsa, Values of Kusadasi (sebuah kota dengan banyak pusat peranginan di Turkey) yang disertai.



"Saya gemar tebarkan minda saya bagi memikirkan isu semasa dan budaya. Apa yang seronok melukis tentang wabak Covid19 ialah saya dapat menyebarkan pesanan dan membuat refleksi diri mahupun menambah ilmu.



"Proses mengkaji subjek yang ingin dilukis itu penting. Bayangkan kalau kita tidak tahu banyak tentang perkara yang ingin dijadikan bahan lukisan atau tidak pernah berkunjung ke negara penganjur. Kartun kita akan menjadi 'kosong' dan tidak bermakna," katanya lagi.



Ditanya mengenai perkembangan dunia karikatur kini, Encik Mohamad Idham yang melihat pelukis karikatur Ambo (Malaysia), Xiding (China) dan pelukis komik J S Campbell (Amerika) sebagai idola, menambah:



"Sejak kebelakangan ini, dunia karikatur kian berkembang pesat. Tokoh yang paling kerap dilukis karikaturnya adalah mantan Presiden Amerika yang memiliki personaliti penuh warna-warni, Encik Donald Trump.



"Karikatur sebenarnya adalah seni yang sudah lama diiktiraf dan mencetus fenomena menerusi majalah MAD di barat dan Gila-Gila di seberang Tambak.



"Ia ibarat budaya seniman jalanan yang sentiasa ada permintaan khidmatnya. Saya pula mengambil tempahan karikatur dari rumah," kongsinya.



Kini, misi Encik Mohamad Idham ialah meneroka pula seni lukisan digital.



Beliau juga baru dilantik sebagai Presiden Bukan Eksekutif (Asean) bagi perwakilan Singapura di Persatuan Seni Digital Asean (Asedas).



"Ada beberapa pameran yang saya nantikan untuk sertakan lukisan saya. Misalnya, pameran Raja Dangdut, M Daud Kilau dan pameran seni digital In Between Lines, kedua-duanya di Malaysia," ujarnya.



Apakah resipi jaya buatnya?



"Jangan berhenti berlatih melukis, ikuti perkembangan semasa, jangan takut timba ilmu baru, berkawan dengan artis antarabangsa bagi kongsi pengalaman dan rajin masuk pertandingan antarabangsa agar anda tahu kedudukan dan mutu kerja seni anda di tahap mana," jelasnya.




"Saya terharu dan gembira kerana inilah kali pertama lukisan karikatur tokoh dunia yang saya hasilkan mendapat tempat dalam katalog antarabangsa.

Biasanya, saya lukis gambar orang terkenal buat suka-suka atau tatapan teman-teman di media sosial saya.

Justeru, pencapaian ini memberi saya semangat menyertai pameran atau peraduan antarabangsa pada masa akan datang."

- Encik Mohamad Idham Mokaron.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >