Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Konflik jerat kehidupan rakyat di rantau Afrika RENCANA

Habsyah, Congo hadapi risiko kebuluran, masalah pelarian
Jul 10, 2021 | 05:30 AM



MEKELE: Konflik di dua negara Afrika - Habsyah dan Congo - terus bergolak dengan puluhan ribu rakyat kini berdepan risiko menjadi mangsa serangan pihak bertelagah.



Di wilayah Tigray, pasukan pemberontak bersenjata telah merampas semula ibu kota, Mekelle, yang menyaksikan sambutan meriah penduduk dan memaksa para pegawai untuk melarikan diri.



Para penduduk ditukil laman berita BBC News sebagai menyatakan ribuan mengibar bendera dan suasana diserikan dengan pancaran bunga api.



Peperangan antara pasukan pemberontak dan pihak pemerintah telah menyaksikan ribuan terkorban manakala 350,000 lagi menghadapi risiko kebuluran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Lebih dua juta rakyat telah kehilangan tempat tinggal.



Pemerintah Habsyah minggu lalu telah mengisytiharkan 'gencatan senjata kemanusiaan' di wilayah Tigray - langkah yang diharapkan dapat mengembalikan keamanan sementara di negara itu.



Tindakan 'dramatik' membabitkan pasukan tentera bawah Perdana Menteri, Encik Abiy Ahmed itu memberi isyarat titik perubahan dalam konflik yang sudah berlarutan hampir lapan bulan di Tigray.



Gencatan senjata berkenaan diumumkan ketika kumpulan pemberontak dipanggil Pasukan Pertahanan Tigray (TDF), memasuki Mekele dengan disambut penduduk, manakala pegawai tempatan dilapor melarikan diri dari bandar itu.



"Gencatan senjata tanpa syarat dan sebelah pihak telah diisytiharkan, bermula 28 Jun," menurut satu kenyataan yang disiarkan oleh media negara, malam 27 Jun lalu.



Menurut kenyataan itu, gencatan senjata terbabit dijadualkan hingga akhir 'musim pertanian' ketika ini bertujuan memudahkan pengeluaran hasil pertanian dan pengagihan bantuan, sementara membolehkan pejuang pemberontak 'untuk kembali ke jalan keamanan'.



Bagaimanapun, TDF tidak memberikan reaksi terhadap pengumuman gencatan senjata oleh Kerajaan Persekutuan, setakat ini.



Sebelum itu, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mahu pemerintah Habsyah segera melakukan siasatan mengenai serangan udara terhadap pasar di sebuah perkampungan di wilayah Tigray, yang mengakibatkan ramai orang awam terbunuh dan cedera, pada 24 Jun lalu.



Sekurang-kurang 64 mangsa dilaporkan terkorban, manakala 180 lagi cedera dalam serangan tersebut.



Pemangku Penolong Setiausaha Agung (Kemanusiaan) PBB, Encik Ramesh Rajasingham berkata, organisasi itu 'sangat terganggu' dengan laporan bahawa tentera negara itu menghalang bantuan kecemasan ke perkampungan Tagoga, 20 kilometer dari bandar Mekele dan meminta pihak berkuasa Habsyah melakukan siasatan segera.



"Serangan yang diarahkan terhadap orang awam dan serangan tanpa mengenal mangsa adalah dilarang sama sekali," katanya.



Serangan udara di pasar yang sibuk di Tagoga, sebuah perkampungan di barat Tigray, wilayah bergolak dengan peperangan antara tentera Habsyah dan bekas parti pemerintah di wilayah utara, Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF), sejak November lalu.



Serangan itu juga berlaku selepas penduduk negara itu keluar mengundi pada pilihan raya kebangsaan pada 21 Jun lalu.



Namun, penduduk di wilayah Tigray tidak berpeluang untuk sertai pengundian pada pilihan raya itu.



Serangan udara itu juga dikatakan ketika munculnya laporan mengenai pemberontak terus menguasai di beberapa bahagian di wilayah utara negara itu.



Sementara itu, seorang pekerja kecemasan di sebuah hospital di Mekele memberitahu agensi berita AFP, kanak-kanak turut menjadi mangsa serangan.



Seorang kakitangan hospital pula mendakwa, pihak tentera menghalang beberapa penduduk yang cedera meninggalkan perkampungan Togoga bagi mendapatkan rawatan.



"Mereka berisiko mati," katanya.



Seorang pemandu ambulans berkata, dia juga turut dihalang untuk memasuki Togoga.



"Saya cuba meninggalkan bandar Mekele empat kali untuk menolong mangsa tetapi tentera tidak membenarkan kami pergi," katanya.



Selain Habsyah, Congo juga dicengkam konflik berdarah.



Satu letupan bom menggegarkan sebuah gereja Katolik di bandar Beni di timur Congo pada 26 Jun lalu, mencederakan dua orang sejam sebelum upacara Pengesahan kanak-kanak dijadualkan berlangsung.



Ketua Polis bandar Beni, Encik Narcisse Muteba Kashale memberitahu agensi berita AFP, letupan berlaku pada 6 pagi waktu tempatan dan pakar misi PBB ke Congo memberitahu 'bom buatan sendiri itu diletakkan untuk tujuan serang hendap'.



Jeneral Beni, Encik Laurent Sondirya menyatakan dua orang cedera dalam letupan itu sebelum orang ramai berkumpul untuk menghadiri upacara Pengesahan.



"Mereka menyasarkan orang ramai kerana upacara berkenaan menghimpunkan kanak-kanak, ibu bapa mereka dan saudara mara mereka," katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa 'perhimpunan tidak akan ditunda'.



Kesan darah dapat dilihat di pintu masuk gereja selepas letupan itu, serpihan kaca bertaburan dan peralatan bunyi musnah, menurut wartawan AFP yang meninjau lokasi kejadian.



Letupan itu adalah yang pertama seumpamanya disasarkan ke gereja Katolik, rumah ibadat terbesar di bandar itu.



Militan Angkatan Demokratik Bersekutu (ADF) dituduh terbabit dengan serangan itu yang mana sehingga kini lebih 6,000 orang terbunuh angkara mereka sejak 2013.



Dua imam di Beni yang terkenal kerana kelantangan mereka menentang keganasan ADF, mati ditembak Mei lalu, seorang ditembak ketika berada di dalam masjid di bandar itu, manakala seorang lagi diserang selepas solat waktu malam.



ADF adalah antara kumpulan militan utama daripada kira-kira 120 kumpulan pemberontak bersenjata yang berkeliaran di timur negara di tengah benua Afrika yang kaya dengan mineral.



Kebanyakan pemberontak itu adalah serpihan kumpulan militan daripada dua perang wilayah dari 1996 hingga 2003.



Berdasarkan catatan sejarah, kebanyakan pemberontak adalah serpihan kumpulan Islam Uganda yang bersembunyi di Republik Demokratik Congo sejak 1995.



ADF dituduh membunuh ratusan orang awam sejak melancarkan serangan di sebuah pangkalan di sekitar Beni pada November 2019.



Pada Mac lalu, Amerika Syarikat menyatakan ADF dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh, atau juga dikenali sebagai ISIS. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >