Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Maya Gallery pindah minda dan lokasi dalam pandemik

Balai seni milik anak Melayu bakar semangat pelukis agar terus berkarya dalam pameran 'Reflection'
Jun 23, 2021 | 05:30 AM



Walaupun pandemik Covid-19 memberi tamparan hebat pada dunia seni visual dengan pameran fizikal payah menarik kedatangan pengunjung, semangat pemilik balai seni dan pelukis berikut tidak pudar. BERITA HARIAN melaporkan di sebalik pameran 'Reflection' kendalian Maya Gallery. 



SELEPAS enam tahun beroperasi di Oxley Bizhub 2 sekitar kawasan perindustrian Ubi, balai seni Maya Gallery milik pasangan suami isteri, Encik Jeffrey Wandly dan Cik Masturah Sha'ari berpindah ke ruang lebih besar di 57 Genting Lane, baru-baru ini.



Pemindahan dari tapak tersebut benar-benar tepat pada masanya apabila pameran Reflection diadakan antara 8 Mei dengan 28 Mei lalu.



Kerana pelaksanaan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang berkuat kuasa 16 Mei lalu sedikit sebanyak menjejas kunjungan pelawat ke pameran itu, ia dilanjutkan selama sebulan lagi hingga 28 Jun ini bagi membolehkan ramai meninjau karya 10 pelukis dari pelbagai kaum dan agama.



Mereka terdiri daripada Encik Sarkasi Said, Dr Suriani Suratman, Encik Idris Ali, Cik Valerie Ng, Cik Jaleela Niaz, Encik Mohd Samad Afandie, Encik Terence Tan, Encik Mohamad Tirani, Encik Jeffrey dan Cik Masturah sendiri.



Ketika dihubungi, Cik Masturah, 52 tahun, selaku pengasas bersama dan pengarah Maya Gallery, berkata:



"Ini adalah tahun kesembilan kami beroperasi. Selepas enam tahun di Oxley Bizhub 2, kami menemui ruang alternatif yang membolehkan kami bekerja lebih baik lagi sebagai sebuah balai seni. Lokasinya lebih baik, mudah untuk dikunjungi orang ramai dan mempunyai cahaya semula jadi bagi paparan kerja seni.



"Dengan ruang lebih besar ini, kami dapat memuatkan dan mempromosikan lebih banyak karya pelukis Singapura.



"Alhamdulillah, berkat doa keluarga dan sahabat karib yang membantu kami berpindah ke lokasi baru ini, semua berjalan lancar sedang kami memberi tumpuan pada pembukaan semula galeri baru kami ini untuk orang awam."



Apabila lokasi baru itu dikongsi di media sosial Maya Gallery, mulalah tetamu dalam kalangan pelukis, pengumpul kerja seni dan peminat seni datang bertamu ke balai seni itu.



Konsultan makanan, cef, pelukis dan pereka barang kemas kostum, Cik Aziza Ali, yang baru-baru ini menerima Anugerah Sepanjang Hayat di Anugerah Gourmet Sedunia 2021, berkata:



"Saya sebenarnya terkejut dan gembira. Saiz galeri ini, ruang putihnya dan suasananya mengingatkan saya pada beberapa balai seni yang pernah saya kunjungi di New York, Vancouver dan Montreal, Canada."



Pakar batik dan pemenang Pingat Budaya 2020, Encik Sarkasi Said pula menambah:



"Suasana balai seni ini nyaman dan nampak terang sahaja kerana cahaya semula jadinya. Kerja seni yang dipamerkan juga dipasang pada jarak yang membolehkan pengunjung lebih dapat menghargainya."



Mengenai pameran Reflection pula, Encik Jeffrey, 57 tahun, berkata tajuk itu dipilih tepat bagi menggambarkan pemindahan lokasi Maya Gallery di tengah-tengah pandemik Covid-19.



"Kami mula mengadakan pameran ini pada bulan Ramadan apabila umat Islam berpuasa.



"Ia juga bulan di mana kita menjalankan refleksi diri terhadap perbuatan kita, mengenang semula kenangan bersama orang tercinta dan mengingati nasib golongan kurang berkemampuan.



"Pada masa yang sama, ia adalah masa di mana kita berkongsi keceriaan dan inspirasi khususnya dalam tempoh sukar seperti pandemik ini," katanya.



Apabila pameran disambung pada Syawal pula, ia petanda kesyukuran dan usaha memperkukuh silaturahim antara keluarga dengan sahabat handai.



"Kami berharap pameran ini dapat memancar cahaya pada perjalanan suram lagi sulit yang diharungi ramai dalam tempoh wabak yang berlarutan," tambah Cik Masturah pula.



Pameran yang membakar semangat pelukis berbilang kaum agar terus berkarya ini meliputi seni kaligrafi Islam, lukisan masjid, landskap tempatan dan luahan rasa abstrak meliputi pelbagai medium daripada lukisan minyak, akrilik, cat air, batik, foto, tembikar dan media campuran.



"Kebanyakan daripada pelukis ini masih terus berkarya walaupun menghadapi kesulitan sepanjang pandemik.



"Sebagai sebuah balai seni, kami terus menyediakan wadah bagi seniman kita ini menampilkan karya mereka buat tatapan orang ramai.



"Malahan, kita perlukan seni lukis, baik dalam tempoh senang mahupun sukar khususnya dalam waktu mencabar dan traumatik ini.



"Kuasa kreativiti dan imaginasi membolehkan kita menghargai kehidupan kita menerusi kerja seni pencetus inspirasi dan menggali hikmah di sebalik krisis kesihatan ini, lebih daripada setakat mengeluh dek tempoh sukar yang diharungi ini," ujar Cik Masturah lagi.



Dr Suriani, 62 tahun, pakar antropologi budaya dan pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), yang menghasilkan tembikar bertajuk Fragile Earthscape bagi Reflection, berkata:



"Kerja seni saya ini adalah renungan betapa rapuhnya bumi kita ini. Ia adalah panggilan buat kita menjaga kediaman kita dan memperbaiki segala kerosakan yang telah kita buat pada bumi ini.



"Ia adalah peringatan bahawa kita semua terjalin dalam satu ikatan dengan setiap daripada kita memiliki tanggungjawab mengekalkan keseimbangan ciri kelembutan dan kerapuhan bumi kita.



"Bumi ini dikongsi bersama. Siri tembikar saya ini membuka peluang buat kita mengimbas semula cara kita memelihara bumi kita, berkongsi cerita dan pengalaman bagaimana kita menjimat air dan mengelakkan sisa serta melindungi sekitaran kita," kata Dr Suriani.



Lukisan batik Encik Sarkasi, 81 tahun, dalam pameran Reflection pula meraih inspirasi daripada lawatannya ke Hawaii di mana beliau menikmati keindahan melihat ikan dan hidupan laut yang lain.



"Saya cuba menyertakan warna-warni dan ciri-ciri terperinci terumbu karang dalam lukisan batik saya.



"Saya juga sedih dengan kehilangan kecantikan alam semula jadi kerana kesan perindustrian terhadap sekitaran di Singapura," jelasnya.



Anda boleh menyaksikan pameran Reflection dalam talian www.mayagallery.com.sg. Namun, anda juga boleh berkunjung ke Maya Gallery di #05-00, 57 Genting Lane sebelum pameran tamat pada 28 Jun ini.



Galeri dibuka dari Selasa hingga Sabtu, 12 tengah hari hingga 6 petang. Janji temu perlu dibuat dengan menghubungi talian 62412-455 atau 9674-6050 mahupun e-mel art@mayagallery.com.sg.



Dalam usaha menyokong industri makanan dan minuman yang terjejas dengan pandemik ini serta mendekatkan masyarakat dengan seni, Maya Gallery juga akan terlibat dalam pameran pelukis Singapura di Restoran Sultan Gate di Kampong Gelam.



Satu pameran sempena Hari Kebangsaan pada Ogos juga akan diadakan di Maya Gallery. Ia menampilkan tiga karyawan dalam industri persekitaran binaan yang memberi respons pada pupusnya warisan visual Singapura. Mereka akan meneroka masa depan negara ini menerusi lukisan, fotografi dan seni digital.



Melahirkan harapannya, Encik Jeffrey berkata:



"Kami berharap dalam masa beberapa bulan mendatang, lebih ramai orang dibenarkan menikmati interaksi di acara atau pameran seni.



"Walaupun acara dalam talian perlu dalam tempoh pandemik, ia tidak dapat menggantikan pengalaman meninjau sendiri dan menghargai pelukis serta kerja seni mereka."




SENI KHAT PAPAR HARAPAN MASA DEPAN CERAH



"Seni bagi saya adalah kegiatan yang menenangkan. Saya nikmati setiap proses bertafakur dalam menyiapkan karya seni.

Allah dan Allahu Akbar adalah karya khat yang menggunakan warna terang dan 'berani' serta berlogam di samping dihiasi rekaan lukisan inai gaya India dan Parsi.

Dalam tempoh suram di mana penduduk dunia mengharungi pandemik, kita masih mempunyai harapan segalanya akan kembali seperti sediakala menerusi solat kita dan sikap yang positif.

Masjid berwarna-warni di belakang khat bertajuk Amal pula melambangkan masa depan yang cerah. Kerja seni khat saya mengingatkan diri tentang kuasa Allah Yang Maha Besar. Semua cabaran dapat kita atasi dengan sentiasa mengingati Allah."

- Cik Jaleela Niaz, 44 tahun, pelukis kontemporari yang dilahirkan di India tetapi berpangkalan di Singapura kini. Beliau yang telah memenangi pelbagai anugerah dan mempamerkan kerja seninya merata dunia termasuk di Belanda, Hungary, Nepal, Sweden, Argentina, Ukraine, Perancis, Kemboja, Uganda dan Korea Selatan, dikenali kerana lukisan media campuran tiga dimensi (3D).




KARYA TEBAR DAMAI, PERINGATI IHSAN



"Karya saya Seal of the Prophet menggambarkan kesempurnaan perjalanan kerohanian setiap umat Islam yang berpaksikan keihsanan dan cinta terhadap junjungan mulia kita yang sudah meninggalkan kita 1,400 tahun lalu, Nabi Muhammad saw, wahyu terakhir yang diterimanya dalam bentuk ayat suci Al-Quran dan pesanan kedamaian yang dimateri.

Karya yang dihasilkan dengan ini melambangkan pesanan kedamaian yang disisipkan dalam kepulan awan cat akrilik persis kapas dan kristal Swarovski yang memukau, mengelilingi kerja seni Seal of the Prophet yang diperbuat daripada tembaga teroksida.

Satu lagi karya saya bertajuk 7 Basmallah yang dihasilkan pada malam yang tenang dalam keadaan saya menitiskan air mata meminta ihsan daripada-Nya. Ramai yang percaya dengan mengucapkan zikir 'Bismillah' sebanyak tujuh kali, ia akan meredakan sakit atau penyakit. Huruf 'Ba' berwarna hitam, terapung-apung dan melindungi kita dari api neraka."

- Pelukis dan pelakar ilustrasi, Encik Mohd Samad Afandie, 57 tahun, yang kali pertama mempamerkan kerja seninya di pameran 'Maiti Nepal, The Fight Against Human Trafficking pada 2012' di Ion Orchard. Pameran itu kendalian aktivis sosial Nepal, Anuradha Koirala, yang menyelamatkan 12,000 wanita daripada menjadi mangsa dagangan seks.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >