Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

AMIR MANSOR

Penggubah muda buat lagu senaman pantas 'tabata'

May 05, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI pemuzik, penyanyi dan penggubah lagu muda, Amir Mansor tidak pernah menduga beliau berpeluang mencipta muzik iringan senaman gerak pantas tabata yang kian diminati ramai.



Tabata, sejenis latihan kecergasan lasak terbahagi kepada lapan set senaman lasak yang dikendalikan selama 20 saat bagi setiap set.



Dari masa ke masa pula, akan ada waktu rehat selama 10 saat.



Senaman ini mula dicipta pada awal 1990-an hasil kajian saintis Jepun, Dr Izumi Tabata dan pasukannya dari Institut Kecergasan dan Sukan Nasional di Kagoshima, Jepun.



Matlamat mereka adalah bagi meninjau jika beberapa sesi ringkas senaman ligat sebegini disusuli dengan waktu rehat seketika dapat mengkondisi tubuh lebih baik daripada senaman santai berterusan.



Menceritakan proses kreatif menghasilkan lagu iringan senaman tabata bertajuk Abata Tabata itu, Amir, 26 tahun, berkata:



"Sebenarnya, idea menghasilkan lagu ini datang daripada Ustaz Bahrul Ulum dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



"Bagi menyisipkan senaman tabata dalam wadah YouTube, Pergas TV, maka saya diminta mencipta lagu bagi senaman itu tetapi berkonsepkan ciri-ciri muzik keislaman dengan menggabungkan unsur moden dan Nusantara.



"Lagu ini bermula dengan 'Bismillah' dan diakhiri dengan 'Alhamdulillah'. Ia berbeza daripada lagu iringan senaman tabata lain yang bernadikan konsep kebaratan.



"Ini adalah kali pertama lagu senaman tabata dicipta dengan unsur-unsur keislaman."



Ditanya mengenai cabaran mencipta lagu ini, Amir menjelaskan ia merupakan eksperimen pertamanya menghasilkan lagu buat senaman.



"Saya perlu banyakkan kajian dan tinjau lagu iringan senaman tabata lain demi mendapatkan idea menghasilkan karya ini.



"Saya agak teruja menerima projek ini tetapi pada masa yang sama risau jika semuanya dapat diterima atau 'menjadi'.



"Walau apa pun, saya melakukannya kerana ingin menyahut cabaran baru walaupun tidak pernah melaksanakan sebarang projek seunik ini," kata finalis peraduan Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0 itu.



Abata Tabata kini boleh didengar di wadah digital Spotify dan Apple Music.



Sebelum ini, Amir sudah merakam lagu Kasih Dua Hala yang merupakan sebahagian misi kemasyarakatan dan memupuk kesedaran tentang keluarga bermasalah.



Misi ini dikendalikan firma guaman Abdul Rahman Law Corporation dan Syukran.com.



Dalam pada itu, Amir, lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang beralih pada kerjaya sebagai pengendali sistem bunyian melihat kerjaya seninya kian diberi pendedahan selepas Suara 2.0.



Semalam, beliau turut diberi peluang menyanyikan lagu Kembali Merindu, Kepadamu Kekasih dan Fatwa Pujangga dalam siri digital WGS, Suara Sensasi.



Lagu ikonik R. Ismail dan Rafeah Buang, Gurindam Jiwa, turut didendangkan Amir bersama penyanyi undangan, Yanni Bakri.



"Kembali Merindu menceritakan tentang seorang insan yang merindui insan yang dicintai.



"Kepadamu Kekasih menceritakan tentang luahan hati seorang hamba terhadap Sang Pencipta cinta hakiki. Saya amat menyukai lagu ini kerana makna lagunya yang sangat mendalam," katanya.



Beliau juga diuji dengan lagu-lagu malar segar Fatwa Pujangga dan Gurindam Jiwa.



Di ambang Lebaran, Amir terkesima mendengar lagu Khairil Johari Johar, Sepasang Kurung Biru.



"Bagi saya, ia lagu yang mengingatkan saya pada mereka yang tidak dapat menyambut Hari Raya dengan seseorang yang sangat dirindui baik ibu bapa yang sudah tiada lagi atau pasangan masing-masing," ujarnya.



Dengan pandemik Covid-19 masih lagi belum reda, Amir juga rindu detik manis berkumpul beramai-ramai dengan rakan-rakan siswa UIA di Kuala Lumpur.



"Tidak seperti yang diharapkan, kita perlu akur pada perintah jarak selamat dan beraya dengan berhati-hati kerana wabak yang belum luput sepenuhnya.



"Namun, saya tetap ingin menikmati Hari Raya dengan biskut chocolate chip dan emping jagung madu, dua kuih Raya yang saya minati sejak kecil," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >