BERDASARKAN kisah yang dikumpulkan, Naib Pengerusi Masjid Hussain Sulaiman (MHS), Encik Abdul Rahman Zainol, berkata:
"Pada sekitar 1902, seorang yang bernama Hussain bin Sulaiman mula mengumpul dana ikhlas daripada penduduk kampung sepanjang Pasir Panjang dengan hasrat untuk membina sebuah masjid.
"Dengan izin Allah swt, dana tersebut diguna untuk membeli sekeping tanah dengan harga lebih kurang $2,000 atau $3,000.
"Lantas, tanah yang beralamat 394, Pasir Panjang Rd itu dibuka dan diwakafkan sebagai tapak tanah surau untuk orang-orang kampung berdekatan.
Hanya pada era 1940-an, barulah ia dinaik taraf sebagai sebuah masjid.
"Ketika hari pembukaan tanah wakaf untuk pembinaan masjid ini, para penduduk mengadakan rundingan dan kemudiannya dengan sebulat hati menamakan masjid sebagai Masjid Hussain Sulaiman, sempena nama pengasas yang menginspirasikan projek murni ini.
Untuk sekian tahun, MHS telah menyantuni jemaah yang pada mulanya terdiri daripada orang-orang kampung dari Batu 6 sehingga Batu 9 (dari Zehnder Road, Pasir Panjang Road sehingga ke West Coast Drive).
Selain jemaah dari perumahan yang berdekatan, rumah Allah yang sangat sederhana ini turut dikunjungi jemaah dari Universiti Nasional Singapura (NUS) serta mereka yang bekerja di kawasan pelabuhan berdekatan.