Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

2020 - tahun menguji kesepaduan politik dan ekonomi Malaysia

Jan 01, 2020 | 05:30 AM



SATU masa dahulu, 2020 tahun yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.



Semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pertama (1981-2003), beliau menjadikan Wawasan 2020 visi negara. Sasaran pemerintahan beliau ialah menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun tersebut.



Namun sasaran tersebut tidak mungkin tercapai kerana masih banyak masalah membelenggu negara itu, dan ini diakui kepimpinan sedia ada.



Malah Wawasan 2020 seakan-akan telah disemak semula dan diolah menjadi sesuatu yang lebih realistik, iaitu Visi Kemakmuran Bersama 2030.



Berdasarkan wawasan baru ini, kerajaan tidak menggarisbawahkan pertumbuhan ekonomi atau pendapatan negara (GDP) sahaja, bahkan pengagihan kekayaan yang lebih tuntas, adil dan saksama.



Visi ini juga ingin memastikan bahawa setiap kaum dan wilayah meraih manfaat daripada kekayaan negara, dan ini adalah teras bagi penyatuan rakyat.



Visi baru berlandaskan tujuh teras utama itu tidak menekankan jalinan ekonomi dan industri sahaha, bahkan aspek sosial seperti modal insan, kesejahteraan sosial, dan pekerja.



Kerajaan Malaysia ada masa 10 tahun lagi untuk merealisasikan Visi 2030 ini.



Bagaimanapun, tumpuan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sekarang harus diberikan pada cabaran masa kini. Tahun 2020 tahun genting kerana ia akan memastikan apakah Malaysia berada di landasan tepat bagi agenda pembaharuan yang ingin dilakukan.



CABARAN PERTUMBUHAN EKONOMI LEMAH



Isu ekonomi isu penting buat penakatan kerajaan PH. Pada pilihanraya 2018, PH melakukan satu kejutan apabila ia berjaya merampas kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).



PH berjanji akan membersihkan negara yang terpalit kes rasuah dan salah guna kuasa, yang menjadi punca masalah ekonomi, itu.



Beberapa pemimpin BN dituduh terlibat dalam skandal dana kerajaan 1MDB, termasuk mantan perdana menteri Najib Razak.



Kes ini masih berjalan di mahkamah dan Najib belum didapati bersalah.



Setakat ini, belum ada petanda bahawa masalah ekonomi Malaysia dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Misalnya, Pemodalan Nasional Bhd (PNB) baru-baru ini mengumumkan dividen lebih rendah berbanding tahun lalu.



Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali juga menyatakan kerajaan masih mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menyelamatkan syarikat penerbangan nasional Malaysia atau Malaysia Airlines.



Pada tahun hadapan, keluaran dalam negeri kasar (GDP) Malaysia dijangka meningkat sebanyak 0.1 peratus sahaja, iaitu daripada 4.7 peratus tahun ini kepada 4.8 peratus.



Malaysia juga masih berdepan dengan nilai mata wang yang masih lemah.



CABARAN POLITIK PECAH BELAH



Usaha memulihkan ekonomi Malaysia tidak dapat dilaksana dengan sepenuhnya jika masalah politik tidak diselesaikan.



Tahun 2019 merupakan tahun mencabar bagi kerajaan PH setelah ia mengalami kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.



Baru-baru ini, PH kalah teruk pada pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor. Ada yang mengatakan bahawa ini adalah bukti rakyat sudah tidak menyokong kerajaan pimpinan Dr Mahathir lagi, walaupun hakikatnya ialah keputusan pilihan raya ini belum tentu mencerminkan sentimen seluruh negara.



Sepanjang 2019, isu peralihan kuasa antara perdana menteri Mahathir kepada presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, menjadi buah mulut orang, hingga menimbulkan spekulasi bahawa ia tidak akan berlaku.



Ini disangkal Mahathir sendiri yang mengatakan beliau akan menunaikan janjinya.



Ada pula desas-desus yang mengatakan akan ada kerajaan pintu belakang hasil ahli Umno dan PH lompat parti.



Jelas, isu peralihan kuasa ini akan terus membelenggu sesetengah rakyat Malaysia, mentelah jika sokongan rakyat terhadap kerajaan sekarang semakin merudum.



Mahathir pula memberi isyarat bahawa beliau tidak akan berundur dalam masa terdekat dan akan kekal sebagai perdana menteri hingga selesai mesyuarat Apec (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) November 2020.



Ini bermakna peralihan kuasa yang dijangka berlaku dua tahun setelah pilihan raya 2018 - walaupun ramai menyangkal jangka waktu peralihan kuasa telah ditetapkan - tidak akan berlaku, dan Anwar harus menunggu.



Masalahnya, Anwar berdepan dengan satu lagi kes salah laku moral bersama seorang bekas pembantu penelitinya, Yusoff Rawther. Laporan polis telah dibuat terhadap beliau, dan kini kes masih dalam siasatan.



Tergantung sejauh mana siasatan akan dijalankan, ini akan melambatkan lagi proses peralihan kuasa.



Namun, isu lebih memberatkan beliau ialah perpecahan dalam PKR. Pada kongres tahun lalu, keretakan antara penyokong beliau dan timbalannya Azmin Ali amat ketara.



Oleh itu, 2020 tahun penting bukan buat Malaysia sahaja, bahkan Anwar Ibrahim. Selain berdepan kes pribadi (seperti ulangan kes salah laku pada 1997 yang menyebabkan beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri), beliau kini menghadapi krisis kepimpinan dalam partinya sendiri.



Ramai mungkin bertanya, jika Anwar sudah hilang kepercayaan dalam partinya sendiri, bagaimana nak menjadi pemimpin negara?



POLARISASI DALAM NEGARA



Cabaran ekonomi dan politik ialah antara isu yang boleh menjejas keupayaan kerajaan PH kekal berkuasa.



Tidak dinafikan, dua aspek ini harus diperkukuh demi meraih semula kepercayaan daripada rakyat.



Apabila kerajaan boleh menangani isu pokok ini, barulah ia boleh berusaha ke arah menyelesaikan masalah lain yang meruncing, umpamanya polarisasi dalam masyarakat.



Tahun 2019 menyaksikan beberapa isu kontroversi, seperti usaha kerajaan memperkenal tulisan khat Jawi di sekolah, termasuk sekolah vernakular, yang ditentang hebat oleh sebahagian pejuang pendidikan.



Kemudian, isu penyatuan ummah antara Umno dan Parti Islam se-Malaysia (PAS), yang semakin popular dalam kalangan masyarakat MelayuIslam, boleh menyebabkan rasa curiga rakyat bukan Islam.



Sungguh popular usaha tersebut hingga Perdana Menteri juga hadir dalam satu Kongres Maruah Melayu bersama beberapa pemimpin PAS dan Umno.



Ini menunjukkan isu etnik dan kaum akan terus membelenggu Malaysia dan menghambat usaha memulihkan kesejahteraan rakyat seperti yang diharap akan tercapai pada menjelang 2030.



  • Dr Norshahril Saat Zamil Institut ISEAS-Yusof Ishak. Beliau penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press 2018)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >