Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Aduhai... mochi Melayu... donut Melayu...

Kuih-muih Melayu wajar dapat suntikan segar; bukan sahaja bagi pelestarian warisan budaya, malah sebagai sumber jana ekonomi
Sep 29, 2019 | 05:30 AM



DALAM sambutan majlis hari jadi seorang saudara baru-baru ini, selain hidangan popular biasa seperti piza dan sate, turut dihidangkan beberapa kuih-muih Melayu, antaranya tepung gomak dan kuih keria.



Datang seorang anak muda, golongan milenial, membelek-belek tepung gomak dengan penuh kehairanan. Kemudian dia menggigit sedikit kuih yang diperbuat daripada tepung pulut, berinti kelapa manis dan disaluti tepung kacang hijau itu.



"Apa ni?" tanya beliau.



"Kuih tradisional Melayu ni," jawab saya.



"Oooh... macam mochi. Mochi Melayulah ni..." selamba celotehnya.



Terkejut dan hampir tersembur tepung gomak yang baru singgah ke mulut. Mochi Melayu?



Aduhai... anak muda ini lebih kenali kuih tradisional Jepun berbanding kuih Melayu. Memanglah dari dari segi tekstur, kedua-duanya hampir serupa - mochi diperbuat daripada tepung beras, air, gula dan tepung jagung.



Kemudian ditunjukkan pula kuih keria.



"Yang ini donut Melayu?"



Aduhai...



Tetapi nak salahkan siapa?



Mochi dan donut mudah didapatkan di mana-mana, termasuk di kafe-kafe dan kaunter-kaunter makanan di pusat beli-belah moden hari ini. Boleh didapatkan sederet dengan kaunter makanan mesra generasi masa kini seperti piza, kek cawan, churros dan sebagainya.



Yang menjualnya pula, tampak menarik - lengkap beruniform gaya ala-Jepun yang kelihatan comel dan ceria. Bahkan makanan tradisional Jepun lain seperti tampura atau makanan Cina seperti ta huay dan char kuay pun dijual di mall.



Tetapi tepung gomak dan kuih keria?



Kalau tak ke pasar makanan di Geylang Serai atau pasar yang ramai penduduk Melayu di sekitarannya, mungkin sukar ditemui di tempat lain. Itu pun biasanya tidak boleh beli sekeping, kena ikut pakej - tiga keping untuk $2, contoh harga.



Kuih-muih tradisional Melayu yang dulu popular tetapi jarang didedahkan kepada generasi milenial termasuklah koleh-koleh, naga sari, lompang, serabai, getas-getas, kosui, lempeng pisang, nona manis dan banyak lagi.



Mereka lebih mengenali pencuci mulut Barat seperti pavlova, red velvet, macaroon, croissant, kuning telur masin, kek keju, brownies dan strudel epal.



Jangan kata golongan milenial. Rasanya ibu bapa mereka, dari Generasi Merdeka sendiri mungkin terlupa bahawa di zaman kecil mereka, kuih-muih Melayu sering disajikan di waktu petang, lengkap dengan minuman panas. Tak payah nak tunggu ada tetamu, ibu bapa kita sering mencari apa yang ada di dapur untuk dibancuh, diuli dan dijadikan hidangan petang.



Kalau ada lebihan pisang (yang dulu menjadi bahan serat yang digemari, mungkin kerana harga yang dimampui), pasti dilenyek pisang itu dan diadunkan dengan tepung gandum, kemudian menggorengnya, menjadikan jemput-jemput atau lempeng. Murah bahannya, mudah disiapkan dan enak dimakan.



Kalau ada keledek dan ubi murah di pasar, pasti dibeli untuk dijadikan kuih keria, bingka, getuk ubi atau paling tidak digoreng saja.



Memang ketika itu tak terjangkau pergi ke pusat beli-belah untuk membeli hidangan petang.



Paling tidak, tunggu saja penjual yang keliling flat atau kampung sambil membawa dagangan dalam raga sambil berteriak... "goreng pisang... siapa nak beli goreng pisang panas..."



Kekurangan dokumentasi seperti buku resepi khusus kuih-muih Melayu menjadi antara sebab ilmu masakan tradisional ini kurang diwarisi.



Kesedaran dan minat terhadap legasi manisan ini terhad kepada mereka yang bertuah dapat menimba ilmu daripada orang tua mereka.



Ini berlaku mungkin kerana orang dulu-dulu menyiapkan masakan Melayu tanpa sukatan yang tetap - kebanyakan masa main agak-agak dan ikut sedap rasa.



Namun di sebalik bahan yang mudah, proses penyediaan bagi sesetengah kuih, agak renyah dan perlukan perhatian khusus selain masa yang agak panjang untuk disiapkan demi mendapatkan tekstur terbaik.



Contohnya koleh-koleh.



Nak hasilkan tahi minyak untuk ditaburkan atas talamnya saja mengambil masa berjam-jam.



Sebagaimana warisan Melayu lain seperti seni pementasan, permainan dan kraf tangan masih giat diketengahkan dengan pendekatan yang disesuaikan dengan kehidupan hari ini, kuih-muih Melayu juga wajar mendapat suntikan segar. Ini legasi kita.



Bukan sekadar untuk pelestarian warisan budaya, ia juga boleh menjadi sumber penjanaan ekonomi sebagai mana makanan-makanan Barat dan negara Asia lain terutama dari Jepun diketengahkan di pasaran komersial.



Bahkan tak perlu pergi jauh.. lihat sahaja bagaimana kudapan gorengan seperti epok-epok dan keledek goreng yang dijual Old Chang Kee berkembang di serata Singapura sehingga disenaraikan dalam Bursa Saham.



Kuih-muih Melayu hari ini sebenarnya masih menjadi sumber pendapatan tambahan bagi sesetengah keluarga - yang menerima tempahan untuk kenduri-kendara dan majlis kahwin. Tetapi nama dan rupanya masih tidak dikenali di kalangan anak-anak kita.



Di Malaysia, kuih bahulu merupakan antara yang disungguhkan dalam pasaran komersial sehingga masuk ke pasar raya Singapura - ada bahulu dijual secara tetap di pasar serbaneka seperti Sheng Siong.



Anak muda kita, terutama pelajar, wajar didedahkan pengetahuan demi pemahaman dan menggalakkan penghargaan terhadap seni makanan tradisional untuk jangka masa panjang.



Ini boleh dilakukan menerusi bengkel-bengkel apresiasi mudah di sekolah.



Pertubahan-pertubuhan perniagaan, budaya dan masyarakat juga wajar memikirkan cara memajukan kuih-muih Melayu menerusi festival dan berusaha mencari peluang mengetengahkannya ke pasaran popular termasuk di mall-mall.



Sebagaimana onde-onde boleh dipelbagaikan hidangannya seperti kek dan aiskrim onde-onde, rasanya kuih-muih tradisional lain juga wajar diteroka potensi pengembangannya.



Seperti barang antik lain, benda lama... kalau dijaga, dipelihara dan ditempatkan di kedudukan yang sesuai, pasti dengan sendirinya akan menjadi lebih bernilai.



Hanim Mohd Saleh ialah Penolong kepada Editor BH/BM. Baru-baru ini beliau menulis pandangan bertajuk 'Bahasa pasar bukan kosong-kosong' mengenai bagaimana bahasa mudah seharian boleh menjadi alat efektif dalam berkomunikasi dan 'Selera kita pun rojak' mengenai iktibar yang boleh diambil daripada makanan untuk meningkatkan ukhwah, persefahaman dan penyatuan masyarakat.
Ikuti Hanim di Instagram/Twitter: @hanimsaleh

Facebook: Hanim Saleh




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >