Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Wacana0

BELASUNGKAWA

Anggota pengasas Pergas tinggalkan 'gedung ilmu'

Allahyarham Ustaz Mohamed Idris Ahmad juga antara pengasas penubuhan Madrasah Al-Irsyad
Jul 17, 2019 | 05:30 AM

ALLAHYARHAM Ustaz Mohamed Idris Ahmad merupakan antara pelopor Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) pada tahun 1957 serta antara pengasas penubuhan serta pembangunan Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah.

Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Sabtu, 13 Julai 2019 bersamaan dengan 10 Zulkaedah 1440H, pada usia 93 tahun.

PENCINTA ILMU

Dilahirkan pada 29 Disember 1926, Allahyarham Ustaz Mohamed Idris merupakan anak kelima daripada lapan orang adik-beradik dan dibesarkan oleh sebuah keluarga angkat.

Beliau mendapat pendidikan awal pada tahun 1930-an di Sekolah Rakyat di Masjid Khadijah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu agama.

Berita Popular

Setelah itu, beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Nahdah, Kedah.

Selain belajar di pondok dan di Sekolah Rakyat, beliau juga mengikuti kelas-kelas agama dan mempelajari kitab-kitab dari guru-guru yang terkenal di antaranya Sheikh Abdullah Balfagih, Kiai Fadhlullah Suhaimi, Sidi Abdul Rasyid dan ramai lagi.

Setelah pulang ke Singapura, beliau diberi kepercayaan sebagai penggerak utama penubuhan Madrasah Al-Irsyad selepas disarankan pembinaannya oleh Kiai Ahmad Zuhri Mutamim pada tahun 1947.

Beliau yang mengusahakan mencari dana bagi pembinaan madrasah ini sehingga tertubuhnya Madrasah Al-Irsyad. Beliau juga merupakan guru serta mudir pertama yang mengajar di madrasah ini.

Pada awalnya, madrasah yang merupakan sebuah surau yang didirikan oleh penduduk Kampung Quarry di Bukit Timah hanya didatangi segelintir murid.

Namun, berkat kesungguhan Allahyarham, murid-muridnya kian bertambah.

Selain itu, beliau juga aktif mengajar di tempat-tempat lain antaranya di Sekolah Pendidikan Rakyat di Dairy Farm bersama isterinya, Ustazah Hawa.

Beliau juga antara orang pertama yang mengajar di situ setelah sekolah itu didirikan oleh Encik Yaakob Muhammad, mantan Anggota Parlimen.

Beliau juga mengajar di Lorong Lompang, Batu 10, sebuah surau di Bukit Panjang.

Beliau juga pernah mengajar di 'Boys' Home' di Bukit Batok dan mengajar di Darul Ma'wa semenjak ia dibina di Bartley Road.

Walaupun telah bersara, beliau masih lagi meneruskan aktiviti mengajar di Rumah Tumpangan Orang Tua Darul Takrim, Tampines, secara sambilan.

ANGGOTA PENGASAS PERGAS

Semasa mengajar di Madrasah Al-Irsyad beliau aktif dalam mengasaskan dan membangunkan Pergas.

Menurutnya, beliau bersama dengan Allahyarham Kiai Ahmad Zuhri Mutamim dan yang lain mengasaskan dan menaja pembangunan Pergas.

Ketika itu beliau dapati banyak sekolah rakyat di kampung dan ramai guru yang mengajar.

Dari situlah beliau mendapat ilham untuk menubuhkan sebuah persatuan yang menyatukan guru-guru agama dan mengatur sukatan pelajaran yang lebih teratur bagi sekolah-sekolah tersebut.

Beliau kemudian berjumpa dengan Allahyarham Kiai Zuhri dan setelah mendapat pandangannya, beliau mengadakan mesyuarat pertama dan mengumpulkan anggota dan penaja lain untuk mendirikan persatuan ini termasuklah Kiai Zuhri sendiri.

Beliau merupakan setiausaha pertama di Pergas sejak ia ditubuhkan hingga 1957 dan telah menyiapkan dan mengedarkan borang keanggotaan untuk mencari anggota untuk memajukan Pergas.

Selain Pergas, beliau juga mengasaskan Perdaus bersama-sama beberapa pelopor lain antaranya Allahyarham Ustaz Haji Embek Ali selain pernah menganggotai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari 1968 hingga 1971.

Allahyarham Ustaz Mohamed Idris terkenal dengan sikapnya yang sangat bersungguh-sungguh dan amat berdedikasi di dalam tugasnya.

Beliau sangat aktif dan rajin mencari dana untuk Madrasah Al-Irsyad dan juga Pergas dengan mengayuh basikal dari sebuah kampung ke sebuah kampung lain.

Sikap gigihnya membuatkan beliau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan wang dari sakunya untuk melangsaikan beberapa pembayaran yang melibatkan madrasah dan Pergas.

Selain aktif mengajar dan menguruskan persatuan, Allahyarham Ustaz Mohamed Idris juga pernah menjadi kadi sebelum gelaran itu bertukar kepada naib kadi.

Pada tahun 2005, beliau mendapat penghargaan dari Pejabat Pernikahan Orang-orang Islam Singapura (ROMM).

Beliau pernah menjadi setiausaha Majlis Pertandingan Quran Singapura selama 12 tahun. Beliau adalah setiausaha pertama dan majlis pertama diadakan di Stadium Jalan Besar.

Beliau juga telah ditugaskan oleh Majlis Penasihat Islam sebelum Muis, sebagai ketua amil untuk mengumpulkan zakat di beberapa kawasan di Singapura dan juga di pulau sekitaran Singapura.

Waktu itu tiada tempat yang dikhaskan untuk mengumpulkan zakat, maka amil-amil tertentu telah ditugaskan untuk mengambil zakat dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Kegigihan serta sikap dedikasi beliau yang tinggi seharusnya mendapat pujian dan sudah pasti harus dicontohi oleh asatizah serta generasi pelapis.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya di atas setiap usaha dan sumbangan yang dihulurkan dan menempatkannya di kalangan syuhada' dan solihin, Amin.

  • Belasungkawa ini disumbangkan oleh Pergas.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map