Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Antara cita dan cinta 'Duta' menyubur citra bahasa Melayu

Seramai 40 karyawan dilantik sebagai 'Duta Bahasa' sempena Bulan Bahasa sejak 2010
Sep 26, 2020 | 05:30 AM



SETIAP kali tibanya sambutan Bulan Bahasa, setiap kali itu juga masyarakat akan berpeluang mengetahui siapakah mereka yang dilantik sebagai Duta Bahasa.



Diam tak diam, seramai 40 karyawan dari pelbagai latar belakang telah dilantik Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) menjadi Duta Bahasa sempena Bulan Bahasa.



Antara mereka adalah karyawan dalam bidang agama, perakaunan, perubatan, media, muzik, guaman, guru dan sosiopolitik atau personaliti televisyen atau teater, sukan, jurumasak, penyanyi, penggubah lagu, penulis seni kata dan sebagainya.



Umumnya, Duta Bahasa dilantik bagi memberi galakan kepada orang ramai menggunakan bahasa Melayu dan mereka juga diketahui sebagai pengguna aktif.



Duta Bahasa, yang merupakan satu khidmat masyarakat, mula diperkenalkan pada 2010.



Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, 40 tahun, antara karyawan pertama dilantik.



Tahun ini, Dr Nur Farhan Alami, Dr Norshahril Saat dan Encik Sujimy Mohamad, dilantik.



Merumuskan tentang sumbangan dan peranan Duta Bahasa, Cik Rahayu, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, melahirkan penghargaan atas sumbangan mereka dalam menggalak penggunaan bahasa ibunda, di samping gigih memartabatkan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan, pengembangan wacana, pelestarian warisan dan budaya bangsa.



"Saya kagum setiap kali melihat Duta Bahasa kita berkumpul dengan semangat untuk menyuburkan bahasa... Saya mendambakan sokongan dan sumbangan mereka dalam menggalakkan penggunaan bahasa Melayu," ujarnya.



Menyusur hampir sedekad pelantikannya sebagai Duta Bahasa pada 2011, Dr Jazlan Joosoph, 49 tahun, memberitahu Berita Harian, beliau menerima banyak undangan ke sekolah-sekolah, untuk menyertai bengkel serta sesi perkongsian dalam acara bimbingan kerjaya dan ceramah motivasi.



"Melalui wadah sebegini, saya berusaha untuk memberi rangsangan dan bimbingan kepada generasi Melayu muda kita untuk berjaya dalam kehidupan masing-masing.



"Setiap tahun, sebagai Duta Bahasa, kami membimbing dan menggalak para Rakan Bahasa menjayakan usaha murni ini.



"Rakan Bahasa adalah pelajar sekolah rendah sehingga ke institut pengajian tinggi dan mereka adalah generasi pelapis yang harus kami asuh dengan baik," ujar doktor sakit puan itu yang telah menganggotai Majlis Bahasa dan Jawatankuasa Bulan Bahasa sejak 2014.



Antara kenangan manis beliau sebagai Duta Bahasa?



"Saya dapat menyumbang dalam tugas-tugas berkaitan dengan pengembangan bahasa di peringkat kebangsaan dan pernah menyanyi dengan berdiri bersebelahan penyanyi-penyanyi hebat Datuk Ramli Sarip dan Zaibaktian... Walaupun nyanyian saya sumbang, tetapi saya rasakan macam "I've made it!"," selorohnya.



Namun peranan, amanah dan tanggungjawab yang dipikul seseorang Duta Bahasa bukanlah mudah.



Bagi Cik Asnida Daud, 47 tahun, tugas paling mencabar sebagai Duta Bahasa sebenarnya adalah dalam mengimbangi tuntutan profesional dengan tugas duta.



"Kita harus cekal dan bijak memilih. Saya memilih kegiatan yang dapat membantu saya melaksanakan tugas professional dengan bijak. Contohnya, saya pilih ruang kegiatan yang bantu saya bertemu dengan bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar yang kemudiannya muncul dalam program video pendidikan MOE (Kementerian Pendidikan).



"Tanggungjawab (sebagai Duta Bahasa) ini tiada tarikh luput dan acara melestarikan bahasa Melayu berlangsung sepanjang tahun. Kita harus rajin singsing lengan, masuk gelanggang, jenguk-jenguk dan rewang bersama organisasi yang memerlukan khidmat atau kemahiran kita.



"Ibarat CIP (Projek Penglibatan Masyarakat), ini cara saya sumbangkan tenaga. Saya tekal dan sejauh ini kekal relevan dalam kegiatan yang dianjurkan pada Bulan Bahasa," ujar pendidik selebriti dan penggiat seni itu.



Beliu juga menganggap pengiktirafan sebagai Duta Bahasa mempermudah jaringan kerjasama, jalinan perhubungan dan semangat kekitaan dalam kalangan penggiat dan pencinta bahasa.



Bagi penggiat teater, Aidli "Alin" Mosbit, 47 tahun, tugas atau kerja yang dilaksanakan sebagai seorang Duta Bahasa merangkumi pelbagai aspek kehidupan.



"Tak kira sama ada dalam kerjaya saya dalam bidang pendidikan, karier seni dan juga interaksi melalui media sosial. Dalam semua aspek kehidupan, saya mesti menjadi lebih peka pada penggunaan bahasa Melayu yang baik, berhemah dan indah.



"Sudah pasti cabaran utama ialah memastikan kita menjadi suri teladan yang positif dan berkesan untuk terus melestarikan dan mengekalkan penggunaan bahasa Melayu," ujarnya yang menganggap tugas besar sebagai Pengarah Seni untuk Majlis Pelancaran Bulan Bahasa pada 2018 di Wisma Geylang Serai sebagai kenangan paling manis buatnya.



Bagi seorang usahawan bidang muzik, Cik Nabillah Jalal, 28 tahun, yang dilantik pada 2019, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah sama ada "ingin memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu atau pemahaman bahasa Melayu?"



"Saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penggunaan dan pemahaman Bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak murid saya dan orang di sekeliling saya.



"Ada banyak cabang apabila kita berbual tentang bahasa Melayu jadi saya harus memahami apa yang boleh dirasakan sangat dekat dengan hati saya dan ingin memperjuangkannya," ujar beliau yang mahir bermain piano.



Personaliti yang sudah membuat persembahan sebagai pemain piano solo di serata Eropah, termasuk London, Scotland dan Poland itu tidak segan mendedahkan, antara pengalaman yang sukar dilupakan sebagai 'Duta Bahasa' adalah kekerapan beliau menggunakan perisian penterjemahan 'Google Translate'.



"Ini untuk untuk jawapan-jawapan wawancara saya dan menghantar semua draf penulisan saya kepada yang lebih mahir dalam bahasa Melayu!"



"Dengan cara ini, ia buat saya ingat semula perkataan yang sebenarnya saya kenali, tetapi sudah lama tidak menggunakannya kerana sering berbahasa Inggeris," katanya.



Penyanyi dan pengubah lagu dan penulis seni kata, Encik Aqmal Noor, 36 tahun, yang dilantik sebagai Duta Bahasa pada 2019, diakui gigih menggalak penggunaan bahasa Melayu.



"Sejujurnya, sejak saya selesai pengajian di NIE/NTU (Institut Pendidikan Nasional/Universiti Teknologi Nanyang) pada 2011, saya sudah bertekad, seumur hidup saya, dalam segala kerja yang dilakukan, saya akan cuba sedaya upaya menggalak penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan masyarakat," ujarnya.




DUTA MASYARAKAT



"Saya kagum setiap kali melihat Duta Bahasa kita berkumpul dengan semangat untuk menyuburkan bahasa... Saya mendambakan sokongan dan sumbangan mereka dalam menggalakkan penggunaan bahasa Melayu."
- Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen (Kesihatan), yang juga pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, adalah antara karyawan pertama dilantik sebagai Duta Bahasa pada 2010.




KARYAWAN TEATER



"Sudah pasti cabaran utama ialah memastikan kita menjadi suri teladan yang positif dan berkesan untuk terus melestarikan dan mengekalkan penggunaan bahasa Melayu."
- Aidli "Alin" Mosbit, penggiat teater, Duta Bahasa 2013.




KARYAWAN BAHASA



"Sejujurnya, sejak saya selesai pengajian di NIE/NTU pada 2011, saya sudah bertekad, seumur hidup saya, dalam segala kerja yang dilakukan, saya akan cuba sedaya upaya menggalak penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan masyarakat."
​- Encik Aqmal Noor, penyanyi, pengubah lagu dan penulis seni kata, Duta Bahasa 2019.




KARYAWAN MUZIK



"Saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penggunaan dan pemahaman Bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak murid saya dan orang di sekeliling saya."
- Cik Nabillah Jalal, usahawan bidang muzik, Duta Bahasa 2019.




KARYAWAN PENDIDIKAN



"Tanggungjawab (sebagai Duta Bahasa) ini tiada tarikh luput dan acara melestarikan bahasa Melayu berlangsung sepanjang tahun. Kita harus rajin singsing lengan, masuk gelanggang, jenguk-jenguk dan rewang bersama organisasi yang memerlukan khidmat atau kemahiran kita."
​- Cik Asnida Daud, pendidik, Duta Bahasa 2014.




KARYAWAN PERUBATAN



"Melalui wadah sebegini, saya berusaha untuk memberi rangsangan dan bimbingan kepada generasi Melayu muda kita untuk berjaya dalam kehidupan masing-masing."
​- Dr Jazlan Joosoph, pakar sakit puan, Duta Bahasa 2011.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >