Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Apabila ‘kawan lama’ hubungi saya

Jun 06, 2023 | 05:30 AM



“HELLO... ini Mohammad Noor ya?”

“Saya kawan lama awaklah. Dah lama tak jumpa dan berbual dengan awak. Cuba teka siapa?”

Begitulah awal perbulan saya dengan seorang pemanggil yang nombornya tidak saya kenali semasa saya baru sahaja hendak makan tengah hari.

Saya bertanya: “Tak kenal.. Siapa ni?”

Pemanggil itu menjawab: “Cubalah teka. Kawan lama. Kita dah lama tak jumpa.”

Saya bertanya lagi: “Siapa ni?”. Sekali lagi dia kata, “Cuba teka.”

Saya berasa sedikit hairan.

Pertama, jika pemanggil itu kawan lama, dia tidak akan memanggil saya dengan nama ‘Mohammad Noor’.

Kedua, setelah saya tanya dua kali siapa dia, pemanggil itu masih tidak ingin memberitahu namanya - membuatkan saya jadi kurang sabar sedikit.

Ketiga, saya sudah kelaparan, dan dengan pemanggil masih terus meminta meneka namanya, saya jadi kurang sabar kerana saya sudah katakan saya tidak tahu siapa dia.

Akhirnya, saya bertegas berkata saya sudah lapar dan mahu makan, jika pemanggil itu tidak mahu berikan namanya.

Lalu dia berkata akan telefon semula.

Selepas itu, saya dan anak berbincang mengenai panggilan itu dan kami rumuskan ia kemungkinan besar adalah penipuan ‘kawan lama’.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan (SPEO), Encik Jeffery Chin, mendedahkan bahawa penipuan seperti ‘kawan lama’ itu semakin membimbangkan pihaknya.

Ini kerana trend penipuan itu kian meningkat sejak beberapa bulan lalu.

SPEO diperkenal pada 2023 dalam usaha mendorong usaha pendidikan awam mengenai penipuan dan menghasilkan mesej antipenipuan yang konsisten merentasi pelbagai wadah untuk memastikan orang ramai mendapat maklumat dan mampu bertindak sebelum menjadi mangsa.

Encik Chin berkata: “Ia membimbangkan kerana telah tertanam dalam kebanyakan kita untuk cuba membantu rakan kita apabila kita boleh, tetapi malangnya, penipu memanfaatkannya.”

Beliau menjelaskan, penipuan panggilan rakan palsu biasanya melibatkan penipu yang menghubungi mangsa daripada nombor yang tidak dikenali dan berpura-pura menjadi rakannya.

Penipu akan bertanya kepada mangsa soalan seperti: “Bolehkah anda meneka siapa saya?” dan “Anda tidak ingat saya?”.

Mangsa akan membalas dengan nama rakan yang beliau percaya boleh menjadi pemanggil. Lalu penipu itu akan berpura-pura menjadi salah seorang rakan yang disebut dan mendakwa kehilangan telefon bimbitnya atau menukar nombor telefonnya.

Pada 2020, tiada laporan penipuan panggilan rakan palsu. Namun pada 2021, terdapat 686 kes sedemikian, dan angka ini melonjak 207 peratus kepada 2,106 kes pada 2022.

Penipuan panggilan rakan palsu ialah penipuan jenis kelima yang membimbangkan pada 2022, dengan mangsa kerugian sekurang-kurangnya $8.8 juta pada tahun itu.

Keadaan kian serius. Pada Mac lalu, polis memberi amaran tentang trend berterusan penipuan ini, dengan menyatakan bahawa sejak Januari lalu, sekurang-kurangnya 945 mangsa telah kehilangan sekurang-kurangnya $3.2 juta akibat penipuan tersebut.

Encik Chin berkata orang ramai harus sentiasa curiga apabila mereka menerima panggilan sedemikian atau apabila dihubungi di media sosial oleh orang yang mendakwa sebagai rakan lama.

Apa yang perlu kita lakukan jika kita syaki menerima panggilan ‘kawan lama’ palsu itu?

Pertama, usah terus mempercayai pemanggil itu adalah kawan lama kita. Cuba periksa dengannya (untuk sahihkan dia kawan lama) fakta lain berkaitan anda berdua seperti nama kawan lain, tempat tinggal lama anda, dan jika mahu, nama ibu bapa anda (seperti kadangkala pihak bank melakukannya).

Kedua, bertenang dan berfikir secara mendalam apabila dihubungi ‘kawan lama’. Jika boleh cuba hubungi rakan tersebut melalui saluran lain atau di nombor asal mereka untuk mengesahkan bahawa itu benar-benar mereka.

Memandangkan penipuan semakin bertambah di sini, termasuk panggilan ‘kawan lama’ yang melibatkan kerugian jutaan dolar, adalah sangat wajar bagi kita lebih sedar dan berhati-hati serta tidak mudah untuk terpedaya oleh penipu dan penyangak ini.

Wang simpanan kita adalah jerih payah kita selama berpuluh tahun lama dan bertujuan antaranya untuk menyara kehidupan harian kita semasa kita bersara.

Kita perlu mempertahankan simpanan kita dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu lebih berwaspada selain terus berdoa agar dijauhi dan dilindungi daripada golongan penipu yang tidak berperikemanusiaan dan hanya mengeruk harta orang lain demi kepentingan mereka di dunia.

Menurut alim, satu amalan baik bagi kita terhindar daripada penipuan adalah dengan bersedekah dan menderma secara tekal (istiqamah), agar harta kita menjadi bertambah berkat dan mudah-mudahan tidak hilang begitu sahaja.

Selain itu, tanamkan sikap berhati-hati apabila terima panggilan mencurigakan termasuk mereka yang mendakwa sebagai ‘kawan lama’ kita.

Anak saya dan saya, selepas membincangkan perkara ‘kawan lama’ ini, merumuskan satu kaedah – jika saya sekali lagi dihubungi penipu durjana, saya akan namakan kawan saya yang sudah meninggal dunia.

Jika pemanggil itu mengaku dirinya sebagai kawan tersebut, saya akan berkata: “Sejak bila kau bangkit dari kubur dan nak tipu pula. Jahat betul kelakuan kau!”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >