Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apabila mata kabur, ‘mood’ pun lebur

Jul 6, 2025 | 5:30 AM
penglihatan kabur
Menurut portal HealthHub atau Hab Kesihatan, hampir semua orang akan mengalami perubahan semula jadi dalam ketajaman penglihatan mereka dengan usia yang meningkat.  - Foto ISTOCKPHOTO

Bapa saya bakal menjalani pembedahan mata tidak lama lagi bagi memperbaiki glaukoma yang dialaminya.

Ia bukan pembedahan mata pertama buatnya, dan memandangkan sudah berpengalaman, beliau nampak tenang menjelang tarikh pembedahan.

Tetapi saya pun rasa bapa saya sebenarnya tidak sabar untuk melalui pembedahan tersebut kerana beliau sudah tidak tahan dengan pemandangan tidak jelas yang dialami sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan matanya itu membuat bapa saya banyak meluangkan masa di rumah, sedangkan beliau seseorang yang mempunyai ramai kawan dan suka berjumpa mereka untuk bertanya khabar.

Kebelakangan ini beliau cuma keluar rumah untuk mengambil cucu-cucunya dari tajaka di kolong blok, dan untuk ke masjid bagi solat Jumaat.

Beliau berasa rimas di luar rumah, terutama di tempat sesak dan selalu mahu cepat pulang.

Saya telah melihat bagaimana keadaan mata bapa saya menjejas mutu kehidupan dan kesihatan mentalnya.

Justeru saya cuba mengambil berat tentang pemeriksaan mata bagi kedua-dua orang tua saya, kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Menurut portal HealthHub atau Hab Kesihatan, hampir semua orang akan mengalami perubahan semula jadi dalam ketajaman penglihatan mereka dengan usia yang meningkat.

Apabila seseorang itu memasuki usia 60-an tahun, mereka mungkin mendapati yang mereka memerlukan lebih banyak cahaya untuk melihat dan mengalami kesukaran membezakan antara warna tertentu, terutama rona biru dan hijau.

Mereka juga mungkin mengalami masalah tumpuan mata pada benda yang dekat, dan mengalami kesukaran menyesuaikan mata pada pancaran cahaya terang.

Portal itu megesyorkan warga emas menjalani pemeriksaan mata menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

Warga emas turut dinasihatkan agar mengetahui tentang penyakit mata yang biasa dialami warga emas berumur 60-an tahun dan ke atas.

Ia termasuk katarak dan glaukoma serta degenerasi makula – keadaan kemerosotan menjejas bahagian tengah retina (makula) dan mengakibatkan herotan atau kehilangan penglihatan pusat..

Dalam rencananya pada Disember 2024, Pakar Perunding Kanan Oftalmologi di Klinik dan Pembedahan Mata Lanjutan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth Orchard, Dr Mohamad Rosman Othman, berkata memang lazim beberapa masalah dan penyakit mata berkait rapat dengan pertambahan usia tetapi keadaan itu boleh dikawal jika rawatan awal dilakukan sejurus dikesan.

“Seandainya rawatan dilakukan lewat, pemulihannya mungkin tidak akan memuaskan,” katanya.

Beliau menerangkan bahawa katarak merupakan keadaan mata yang menjejas lensa mata, membuatnya kelam.

Ia menghalang cahaya memasuki mata secara bertahap-tahap dan seseorang itu akan kehilangan penglihatan jika tidak melakukan rawatan secukupnya.

Glaukoma pula adalah keadaan apabila tekanan di dalam bebola mata lebih tinggi daripada biasa.

Mula-mula, ia menjejas penglihatan sekeliling, dan kemudian menjejas penglihatan di bahagian tengah.

Pada Mac 2023, akhbar The Straits Times, melaporkan Profesor Cheng Ching-Yu dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS), sebagai berkata sekitar 180,000 individu berumur lebih 60 tahun mengalami masalah penglihatan.

Dengan penduduk Singapura yang kian menua, angka itu dijangka naik dua kali ganda menjelang 2030 apabila seorang dalam empat warga akan berumur 65 tahun dan ke atas.

Portal HealthHub menasihatkan warga emas yang mengalami kesukaran dengan penglihatan agar membincangkan masalah dan keperluan mereka dengan keluarga atau penjaga agar mereka memahami kesukaran dan keadaan yang dialami.

Dengan bapa saya, saya akur saya kadangkala lupa tentang masalah yang dihadapinya, kerana penyakit yang dialami itu tidak ketara.

Justeru apabila saya membuat rancangan untuk berjalan Raya atau makan di luar dengan keluarga, dan bapa saya tidak mahu turut serta, saya akan menggesanya.

Selalu juga saya hairan mengapa bapa saya tidak jumpa barang yang dicarinya sedangkan barang itu ada di depan mata.

Bapa saya perlu berulang kali mengingatkan saya bahawa beliau tidak berasa selesa berada di luar dan sukar mencari barang, kerana pemandangannya kabur.

Saya dapati pengalaman saya dengan warga emas yang mempunyai penglihatan kurang baik bukan sahaja melibatkan anggota keluarga di rumah, malah di luar.

Sebagai pengguna pengangkutan awam, saya telah beberapa kali diminta menjadi ‘mata’ bagi warga emas yang tidak dapat melihat sama ada perkhidmatan bas yang ingin mereka naiki sudah tiba.

Seorang warga emas yang saya rasa sudah berumur 80-an tahun berkongsi dengan saya bahawa beliau mengalami katarak dan takut menjalani pembedahan untuk memperbaiki keadaan itu.

Saya menasihatkan dan menggalakkannya agar melakukan sesuatu, dan memberi keyakinan bahawa jika bapa saya boleh melakukannya, beliau juga pasti boleh.

Saya harap apabila tiba masanya nanti, saya juga tidak takut menjalani pemeriksaan mata dan mendapatkan rawatan atau pembedahan yang diperlukan agar dapat terus meniti usia senja dengan aktif dan bermakna.

Laporan berkaitan
Tak nampak kerana katarakJul 3, 2024 | 9:30 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg