Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apabila penipuan semakin ‘canggih dan profesional’

Jul 27, 2025 | 5:30 AM
penipuan
Penipuan hari ini lebih ‘canggih dan profesional’, menyasarkan kelemahan serta mengaitkan topik relevan mengikut golongan usia. - Foto ZAOBAO

Saya ingin percaya bahawa orang tersayang dalam hidup saya cukup bijak untuk tidak ditipu. 

Mereka berpendidikan, berpengalaman dan tahu membezakan yang benar daripada yang palsu. 

Namun baru-baru ini, satu kejadian membuka mata saya, bahawa sesiapa pun, tak mengira latar, boleh menjadi mangsa. 

Saudara saya telah melancong ke Yunnan, China, bersama pasangannya baru-baru ini. 

Mereka dibawa ke tempat popular dan salah satunya, sebuah klinik Perubatan Tradisional Cina (TCM) dan menjalani konsultasi kesihatan. 

Pakar perubatan itu berpakaian kot putih dan bercakap dengan penuh keyakinan semasa memberi rawatan. 

Selepas sesi konsultasi, mereka disarankan mengambil bekalan ubat selama enam bulan, untuk memperbaiki tenaga dan menguatkan organ dalaman. 

Harganya? Hampir $3,700 bagi pasangan suami dan isteri itu. 

Saya terkedu.

Apabila ditanya kenapa mereka berbelanja sedemikian, jawapan mereka mudah:

“Ubat tradisional semula jadi, mesti bagus untuk kesihatan.”

Tapi saya rasa ada yang tidak kena.

Sebagai wartawan, saya mula menyiasat. Saya cari produk itu di Internet, tetapi tiada padanan. 

Saya meminta bantuan kawan berbangsa Cina yang turut berasa janggal. 

Bertanya kepada mak ciknya yang sudah menetap di China lebih sedekad, jawapannya tegas:

“Ejaan dan struktur ayat dalam bahasa Mandarin salah dan pembungkusannya seperti produk tiruan yang biasa dijual kepada pelancong, terutama golongan warga emas. 

“Produk bukan sahaja dijual pada harga premium, malah kemungkinan besar ia satu penipuan.”

Apa yang lebih menyakitkan bukanlah wang yang dibelanja, tetapi persoalan dalam hati. 

Bagaimana mereka terpedaya membayar jumlah sebesar itu?

Mereka berpendidikan dan sering mengingatkan orang lain supaya berhati-hati. Tetapi, mengapa kali ini mereka tidak menyemak sebelum membeli?

Akhirnya, saya sedar bahawa penipuan hari ini tidak lagi kelihatan seperti penipuan. 

Ia bersifat peribadi dan menyentuh keprihatinan mangsa. 

Bukan warga emas sahaja mudah terpedaya, anak muda dan dewasa juga tidak terkecuali. 

Seorang lagi kenalan saya hampir tertipu ketika mahu memperbaharui cukai jalan kenderaan. 

Dalam keadaan tergesa-gesa, beliau klik pautan pertama di Google dan membuat pembayaran. 

Namun, beliau hanya menyedari laman tersebut palsu apabila ia membawanya ke khidmat pembayaran parti ketiga, Stripe. 

Lazimnya, agensi pemerintah tidak menggunakan khidmat pembayaran sedemikian dan menggunakan sistem sendiri. 

Sejenak selepas itu, beliau menerima pemberitahuan untuk meluluskan pembayaran berjumlah 1,200 euro ($1,800) daripada aplikasi banknya sebanyak dua kali. 

Mujur beliau tidak leka dan cepat menangkap sesuatu yang tidak kena. 

Saya sendiri hampir terpedaya apabila menerima satu panggilan kononnya daripada syarikat insurans NTUC Income. 

Nada wanita itu meyakinkan apabila memberitahu bahawa saya dalam tempoh percubaan untuk satu pelan dan akan dikenakan bayaran hampir $900 jika tidak membatalkan pelan tersebut. 

Dalam kesibukan kerja, saya hanya tersedar apabila mereka meminta maklumat kad bank.

Jika saya termakan kata-kata penipu dan hampir menjadi mangsa, meskipun mengetahui sindiket sebegini, apa lagi orang lain?

Ini bukan kejadian terpencil.

Pada Februari 2025, Pasukan Polis Singapura (SPF) melaporkan bahawa kes penipuan dan jenayah siber meningkat sebanyak 10.8 peratus pada 2024.

Sebanyak 55,810 kes dilaporkan, ini naik daripada 50,376 kes, berbanding 2023.

Dengan bentuk penipuan sekarang berbeza, ini bukan soal kebodohan. 

Malah, isu ini mendedahkan bagaimana ‘canggih dan profesional’ penipu mengeksploitasi kepercayaan dan kelemahan kita.

Kejadian ini berlaku begitu kerap, hingga kita tidak boleh menganggap ia hanya kesilapan individu. 

Ramai mangsa berasa malu untuk mengaku apabila tertipu.

Tetapi rasa malu inilah yang membuatkan mereka senyap dan menghindar daripada mengongsi. Dan itulah yang penipu inginkan.

Kita perlu lebih terbuka dan mengongsi agar orang lain juga lebih berwaspada kerana pada hakikatnya, penipuan hari ini semakin licik.

Dan kalau belum terkena, itu mungkin hanya kerana belum tiba giliran.

Saya harap kita dapat saling membantu dan saling mengingati agar lebih berwaspada. 

Sikap ambil berat sebegini mungkin dapat menyelamatkan maruah (dan duit) orang tersayang. 

Atau diri kita sendiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg