Walaupun masjid ditutup, amalan agama masih dapat dihidupkan menerusi pelbagai cara dan wadah. Sebagai contoh, masyarakat boleh menonton program televisyen dengan kandungan keagamaan sempena Ramadan ini menerusi satu saluran baru - SalamSG TV - di YouTube yang bakal dilancarkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan kerjasama Berita Harian (BH) serta masjid dan asatizah setempat bermula hari ini. BERITA HARIAN meninjau apakah antara program menarik yang bakal dikongsi asatizah setempat.
NILAI-NILAI murni seperti kesyukuran mungkin sukar untuk kita bayangkan dan menghargainya.
Tetapi dengan terjadinya krisis wabak penularan Covid-19 sekarang, warga lebih sedar tentang pentingnya untuk rasa bersyukur, ini lebih-lebih lagi apabila melihat pengorbanan yang ditonjolkan pegawai di barisan hadapan yang bertungkus-lumus menewaskan koronavirus ini.
Inilah antara nilai yang akan dikongsi dan diketengahkan asatizah setempat, Ustaz Mohammad Tarmizi Abdul Wahid, dalam salah satu video yang akan diketengahkan dalam saluran SalamSG TV yang mula dilancarkan di laman YouTube hari ini.
Dalam klip video sekitar 15 minit itu, Ustaz Tarmizi, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Institute akan mengaitkan aspek kehidupan dan agama di Singapura dengan keadaan krisis koronavirus yang kita hadapi sekarang.
Mengalu-alukan usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengetengahkan platform sedemikian, Ustaz Tarmizi berkata ia diperkenalkan tepat pada masanya.
Menurutnya, sebelum terjadinya krisis wabak Covid-19, terdapat banyak permintaan daripada masyarakat agar pembelajaran agama dan kandungan keagamaan di muat naik ke dalam talian.
Namun, kerana lebih tertumpu kepada acara fizikal di mana dapat berinteraksi secara langsung dengan jemaah, sebahagian besarnya permintaan tidak dapat terlaksana.
"Tanpa disedari sekarang, secara tiba-tiba kandungan keagamaan dalam talian mula mekar kerana tidak mahu masyarakat terputus daripada pembelajaran agama semasa tempoh pemutus litar ini.
"Dengan adanya SalamSG TV juga ia memberi satu aspek visual kepada pembelajaran agama dalam talian," katanya.
SalamSG TV yang merupakan daya usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan kerjasama Berita Harian (BH), masjid dan asatizah bertujuan meningkatkan pengalaman kerohanian masyarakat semasa Ramadan dan meningkatkan daya tahan psikologi masyarakat.
Berita Harian berperanan menyokong menghasilkan kandungan bagi SalamSG TV dan juga aspek promosi.
Daripada kisah Al-Quran kepada rancangan Tanya Pakar dan 'talkshow', orang ramai boleh menjangkakan kandungan yang rencam lagi pelbagai dalam saluran SalamSG TV.
Saluran itu turut mengetengahkan satu daripada mesej utama Ramadan daripada Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, bahawa masyarakat masih boleh meraih Ramadan yang bermakna dengan mengekalkan semangat yang terdapat dalam masyarakat selain kesungguhan untuk terus meriah ilmu menerusi platform alternatif bersama para asatizah secara dalam talian.
Meski masjid ditutup semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan sekarang, Ustaz Tarmizi berharap dengan adanya platform ini, masyarakat akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dan mengongsi kandungan yang diketengahkan bersama ahli keluarga yang lain.
"Meski kita berasa sayu tidak dapat ke masjid untuk solat tarawih bersama ataupun solat Aidilfitri kelak, tetapi kita harus lihat hikmah di sebalik apa yang berlaku.
"Apakah kesan positifnya? Kita kini dapat mendekatkan diri dengan keluarga terutama semasa bulan Ramadan, bersahur, berbuka, berterawih dan bertakbir bersama.
"Peluang sebegini mungkin tidak dapat kita rasakan, misalnya mungkin ada ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak sempat pulang berbuka dengan keluarga sebelum ini
"Justeru usah melihatnya sebagai satu hambatan tetapi sebaliknya sebagai satu rahmat yang terselindung," tambahnya lagi.
Selain SalamSG TV terdapat juga pelbagai wadah lain yang diusahakan Muis dan badan setempat untuk membantu umat Islam melalui Ramadan dan sekatan pemutus litar.
Pejabat Mufti misalnya telah mengeluarkan buku panduan bagi membantu umat Islam memahami persoalan agama berhubung Covid-19 dan panduan melaksanakan ibadah di rumah dalam Ramadan.
Terdapat juga wadah lain bagi masyarakat meningkatkan kerohanian mereka seperti mengaji Al-Quran bersama keluarga di rumah, mendengar podcast keagamaan seperti 'Cakap Masjid' menerusi Spotify atau menimba pengetahuan menerusi laman web Muslim.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg