Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Asean, Timur Tengah perluas kerjasama di tengah-tengah saingan kuasa besar

Oct 19, 2023 | 01:07 PM



Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Sama juga apabila kuasa besar dunia saling bersaing sengit untuk mengukuhkan lagi kedudukan masing-masing, bahang dan tempias kesannya turut dirasakan negara lain di seluruh dunia, lebih-lebih lagi negara kecil.

KERJASAMA ASEAN

Namun apabila negara kecil seperti Singapura bekerjasama dengan negara lain yang rata-ratanya mempunyai matlamat sama, mereka juga dapat menentukan rancangan dan hala tuju demi memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau.

Secara berasingan, negara-negara di rantau ini dalam konteks dunia tidak begitu besar, tetapi apabila digabungkan menerusi Asean, ia lebih berpengaruh termasuk dari segi ekonomi.

Maka, Asean perlu menjadi nakhoda kapalnya sendiri, tanpa menjadi proksi kepada mana-mana kuasa atau rasa terpaksa memilih untuk bersandar kepada satu pihak.

Oleh itu, Asean – yang dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – giat berusaha mempertingkat hubungannya dengan pelbagai rakan kerja dialog seperti Amerika Syarikat, China, India, Jepun dan Australia.

KERJASAMA ASEAN-GCC

Kini, Asean juga sedang berusaha meningkatkan kerjasama dengan Timur Tengah.

Hubungan antara Asean dengan Timur Tengah kian bertambah baik, dengan kesemua enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman – telah menandatangani Perjanjian Keamanan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC).

Hubungan antara Asean dengan GCC akan dipertingkat lagi apabila ketua negara atau pemerintah dari kedua-dua blok serantau itu bertemu buat kali pertama di Riyadh, Arab Saudi, pada Jumaat, 20 Oktober 2023.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang kini berada di Arab Saudi akan menghadiri Sidang Puncak Asean-GCC itu.

Zamil Kanan dan Penyelaras di Pusat Kajian Asean dan Program Perubahan Iklim Asia Tenggara di Iseas-Institut Yusof Ishak, Cik Sharon Seah, berkata peningkatan hubungan daripada perbincangan di peringkat menteri kepada mesyuarat yang dihadiri ketua pemerintah atau negara merupakan detik yang penting dalam hubungan Asean-GCC yang bermula pada 1990.







“Menteri Ehwal Luar daripada kedua-dua Asean dan GCC bertemu setiap tahun di sisi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNGA, di New York sejak 2009.

“Dalam kalangan negara anggota GCC itu, UAE menjadi rakan kerja dialog sektor Asean pada Ogos 2022.

“Namun, kedua-dua pihak (GCC dan Asean) hanya memutuskan untuk mengadakan Sidang Puncak apabila Kuwait menjadi negara Teluk terakhir untuk menandatangani TAC itu pada September 2023,” ujar Cik Seah.

Bagi Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, Sidang Puncak Asean-GCC yang diadakan buat kali pertama selepas lebih tiga dekad GCC dan Asean menjalin hubungan itu mencerminkan sedikit pengabaian tidak sengaja untuk mengembangkan hubungan Asean-GCC, mungkin disebabkan keutamaan mendekati pihak lain, seperti Amerika Syarikat dan China.







“Namun dengan usaha itu dihidupkan kembali, ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak mendapati bahawa ada nilai untuk bekerjasama dengan satu sama lain dalam pelbagai bidang, lebih-lebih lagi dalam bidang tenaga dan ekonomi.

“Dengan negara GCC dan Asean ingin… mempelbagai kerjasama mereka melebihi dengan Amerika dan China, adalah wajar bagi kedua-duanya mempertingkat usaha mendekati satu sama lain kerana kedua-duanya mempunyai sesuatu yang berharga untuk disumbangkan yang saling bermanfaat,” ujar Dr Mustafa.

SIDANG PUNCAK ASEAN-GCC PERTAMA

Menurut penganalisis, sidang puncak itu dijangka akan menghasilkan lebih banyak kerjasama antara Asean dengan GCC termasuk dalam bidang tenaga bersih, kewangan dan perbankan, perdagangan dan pelaburan, dialog silang budaya, pembangunan pendidikan serta teknologi.

Malah menurut Cik Seah, negara yang majoriti penduduknya Muslim serta negara yang mempunyai penduduk Muslim seperti Singapura dan Thailand juga akan meraih manfaat daripada pertukaran yang lebih meluas dalam bidang agama termasuk kemungkinan peningkatan kuota haji serta pembangunan piawaian pensijilan halal dan industri makanan halal.

Zamil penyelidikan di Institut Timur Tengah (MEI) Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Aisha Al-Sarihi, menarik perhatian bahawa kebanyakan negara anggota Asean dan GCC komited menyahkarbon ekonomi mereka dan mencapai matlamat pengeluaran sifar bersih menjelang atau sekitar pertengahan abad ini.







Oleh itu, beliau berkata kedua-dua rantau ini juga boleh saling melengkapi dalam pelbagai cara untuk sama-sama mencapai matlamat tersebut.

“Dasar bagi kerjasama antara negara GCC dengan Asean ada dalam kenyataan mantan Presiden Vietnam, Encik Nguyen Minh Triet, sebelum ini, di mana beliau berkata GCC memiliki apa yang Asean tiada, dan begitu juga sebaliknya,” ujar beliau sambil menambah bahawa dalam ekonomi hijau, negara Teluk dan Asia Tenggara boleh bekerjasama dalam bidang seperti teknologi pemerolehan dan penyimpanan karbon (CCS), pasaran karbon, hidrogen, kewangan serta pertukaran pengetahuan.

Sedang setiap negara mempunyai keutamaan berbeza, Dr Mustafa menarik perhatian bahawa usaha memperkukuh ikatan berbilang hala juga bermanfaat bagi hubungan dua hala.

“Sebagai contoh, semakin kukuh hubungan berbilang hala Asean-GCC, lebih kukuhlah kerjasama dua hala antara Singapura dengan negara GCC secara individu,” ujarnya.

ISU ISRAEL-PALESTIN

Memandangkan sidang puncak ini berlangsung di tengah-tengah konflik Israel-Palestin yang semakin tegang, Dr Mustafa berkata isu itu juga pastinya akan dibincangkan.

Namun, beliau tidak jangka ia akan membayangi sidang puncak itu dan menjadi perhatian utama kerana sidang puncak tersebut mempunyai tumpuan ekonomi.

Menurut Cik Seah, isu itu juga mempunyai kesan pada negara jiran serta keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Konflik itu menjejas banyak negara di kedua-dua rantau termasuk Kemboja, Thailand dan Filipina yang mempunyai rakyat yang terkorban akibat konflik itu. Bagi Singapura, keprihatinannya adalah berhubung bahaya pandangan ekstrem yang meningkat,” ujarnya.

Tambahnya, beliau menjangkakan ada kenyataan bersama yang akan turut dikeluarkan menyusuli sidang puncak itu untuk menangani keprihatinan ini.


PERLUAS KERJASAMA DI TENGAH-TENGAH PERSAINGAN

Di tengah-tengah persaingan antara kuasa besar dunia seperti Amerika dan China, dasar pandang ke luar untuk mempelbagai kerjasama adalah bermanfaat bagi kedua-dua Asean dan GCC, menurut penganalisis.

Dr Aisha menarik perhatian bahawa Sidang Puncak Asean-GCC yang pertama ini diadakan di tengah-tengah pengaruh Amerika yang kian berkurangan di Timur Tengah serta keinginan rantau itu untuk mempelbagai rakan kerja keselamatan dan perdagangan demi mencapai matlamat kepelbagaian keselamatan dan ekonomi mereka.

“Persaingan antara Amerika dengan China menimbulkan cabaran kepada kedua-dua GCC dan Asean untuk memilih bersandar kepada pihak yang mana atau memilih kepentingan nasional.

“Berdasarkan sejarah, kedua-dua rantau ini membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional dan multipolariti (pengaruh daripada pelbagai sumber) merupakan pilihan yang paling wajar bagi kedua-dua rantau di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit antara kuasa besar dunia,” ujarnya.

Dengan bekerjasama dengan satu sama lain, Dr Mustafa berkata GCC dan Asean berupaya memperkukuh semangat serantau yang bermanfaat bagi negara anggota dan rakyat masing-masing.

“Semangat serantau mendorong negara untuk bekerjasama dan lebih saling bergantung. Ini dapat mengurangkan persaingan geopolitik serantau.

“Malah, sifat serantau yang lebih kukuh juga boleh menjadi benteng daripada persaingan antara kuasa besar dunia ini,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >