PANDANGAN: SERANGAN DI NEW ZEALAND

Bahayanya sentimen antiagama kepada perpaduan sosial

Di S'pura, banyak pihak seperti IRO, Pusat Harmoni dan RRG main peranan bantu pertingkat kesefahaman antara agama

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan insiden serangan ganas di dua masjid di Bandar Christchurch, New Zealand.

Serangan yang meragut nyawa 50 orang itu merupakan antara serangan pengganas terbesar yang pernah berlaku tahun ini. Ia disasarkan ke atas Muslim yang sedang melakukan solat Jumaat di kededua masjid di bandar tersebut.

Sebelum ini, pemerintah Singapura membatalkan konsert kumpulan muzik Watain asal Sweden kerana persembahan mereka yang sering menghina agama Kristian dan Yahudi.

Langkah tersebut dianggap perlu demi keharmonian agama dan kaum di sini.

Pada Oktober tahun lalu, 11 orang terkorban dalam serangan ganas yang disasarkan ke atas rumah ibadat orang Yahudi (Saumaah) di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Serangan yang berupa tembakan itu merupakan yang paling dahsyat ke atas masyarakat Yahudi dalam sejarah Amerika Syarikat.

Begitu juga serangan kaum Hindu terhadap kaum Kristian di India di wilayah selatan Kartanaka, Telangana, Andhra Pradesh, Tamil Nadu dan Kerala yang semakin meruncing. Sekurang-kurangnya 60 serangan terhadap kaum Kristian dilaporkan berlaku di wilayah ini sejak 2017.

Selain daripada tempat ini, terdapat banyak lagi insiden di mana konflik antara agama dan kebencian antara pengikut agama berlaku. Begitu juga ramai nyawa yang tidak bersalah terkorban akibat dari konflik dan keganasan ini.

PERSPEKTIF NEGATIF TERHADAP AGAMA

Sejak dua dekad yang lalu, dunia telah menyaksikan banyak insiden konflik, keganasan dan juga peperangan yang dikaitkan dengan agama. Serangan 11 September oleh Al-Qaeda, konflik antara kaum Muslim dan Kristian di Nigeria, Afrika Barat dan Indonesia timur serta konflik antara kaum Buddhist dan Muslim di Myanmar dan Sri Lanka merupakan contoh yang jelas.

Dalam insiden ini, agama dianggap berperanan untuk memberi justifikasi bagi serangan dan keganasan yang berlaku, Malah, konsep dan ajaran agama telah diputarbelitkan oleh mereka yang terlibat dalam konflik dan aktiviti keganasan tersebut.

Disebabkan ini, perspektif terhadap agama mula menjadi negatif. Imej agama yang bertujuan memimpin manusia kepada kesejahteraan hidup dan kedamaian telah dicemarkan oleh pengikut agama yang tidak bertanggungjawab.

Antara kesannya sebagaimana yang kita saksikan ialah sentimen anti agama yang semakin berleluasa di banyak tempat di merata dunia. Sebagai contoh, Islamofobia menjadi satu cabaran besar bagi masyarakat di banyak negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

Isu Islamofobia pada hari ini semakin meruncing. Umat Islam di beberapa negara Eropah seperti Perancis dan Denmark berhadapan dengan masalah yang berkaitan dengan urusan ibadah mereka dan tuntutan Islam seperti pemakaian hijab.

Namun, Islamofobia merupakan satu contoh sahaja di mana perspektif negatif terhadap agama itu berlaku pada hari ini. Begitu juga di waktu yang sama, kita menyaksikan sentimen anti-Kristian, anti-Buddha, anti-Hindu dan anti apa sahaja agama yang juga menjadi kebimbangan.

TUJUAN AGAMA MENYATUKAN BUKAN MEMISAHKAN

Masyarakat dunia yang terdiri dari latarbelakang agama yang berbeza hidup sebagai satu ummah. Kehidupan mereka juga berbeza dengan pelbagai cara dan keadaan. Ada masyarakat hidup sebagai minoriti dan ada juga sebagai majoriti. Ada yang hidup di bawah pemerintahan yang sekular dan ada juga di bawah pemerintahan yang perundangannya berdasarkan sesuatu agama yang tertentu.

Namun, di mana sahaja mereka berada dan di bawah apa sahaja sistem pemerintahan mereka tertakluk, identiti agama seharusnya menyatukan mereka dengan yang lain dan bukan memisahkan.

Contohnya, Muslim yang hidup dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama semestinya memastikan identiti agama ini tidak mengasingkan diri mereka dari masyarakat lain. Agama datang dengan tujuan untuk membaiki diri manusia dan menyatukan mereka dalam keamanan dan kesejahteraan. Tiada konflik atau sengketa antara satu agama dengan agama yang lain sebagaimana tiada percanggahan antara satu bangsa atau budaya dengan bangsa dan budaya lain.

Kepelbagaian itu lumrah alami. Ia adalah ciptaan Tuhan yang harus dihargai dan disyukuri. Seorang Muslim boleh sahaja bercampur gaul dengan masyarakat lain yang berbeza agama dan bangsa. Ini sama sekali tidak menjejas identiti mereka sebagai Muslim dan tidak juga melanggar prinsip dan ajaran Islam.

Begitu juga, Islam menghargai bangsa sebagaimana ia menghargai agama. Seorang berbangsa Cina dan beragama Taois boleh sahaja bergaul dengan keluarganya setelah ia memeluk Islam. Perbuatan ini sama sekali tidak bercanggah dengan ajaran Islam, malah ia sangat digalakkan agama.

USAH PANDANG AGAMA SESUATU YANG MENYUSAHKAN

Agama itu datang bukan hanya untuk tujuan ibadah sahaja tetapi mengajar penganutnya untuk hidup damai dan sejahtera dengan semua lapisan masyarakat.

Tiada satu agama yang menyuruh penganutnya membenci pengikut agama lain.

Dalam urusan sosial, setiap agama mempunyai garis pandu yang harus dilaksanakan pengikutnya. Namun, ini tidak bermakna seseorang itu boleh membenci atau mengasingkan dirinya dari masyarakat lain.

Perbuatan mengasingkan diri dari bercampur dengan penganut agama lain bukanlah tabiat naluri manusia yang dicipta untuk berinteraksi dan saling kenal-mengenali antara satu sama lain.

Sebagai contoh, Islam melarang Muslim untuk minum minuman keras dan memakan daging babi. Seorang Muslim harus patuh dengan perintah ini kerana hukum pengharamannya jelas tercatit dalam Al-Quran.

Namun begitu, ini tidak bermakna seseorang Muslim itu tidak boleh berkawan atau makan semeja dengan mereka yang minum minuman keras dan memakan daging babi.

Secara umumnya, peranan agama itu mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan di kalangan pengikut agama tersebut. Selain dari penyembahan dan ibadah yang telah ditetapkan oleh sesebuah agama, kedamaian juga boleh tercapai melalui suasana hidup yang harmoni. Tiada agama yang menyusahkan pengikutnya untuk mencapai keharmonian ini. Malah sebaliknya, setiap agama menggalakkan pengikutnya berinteraksi dan berlaku baik dengan pengikut agama lain.

MEMASTIKAN PERPADUAN SOSIAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Banyak pengajaran yang boleh diambil dari insiden hitam yang berlaku di New Zealand ini. Antaranya ialah keharmonian agama serta penghormatan terhadap setiap agama itu sangat tinggi nilainya dan harus diambil dengan serius.

Untuk mewujudkan suasana kehidupan beragama yang lebih harmoni, setiap masyarakat harus memainkan peranannya. Pendidikan dari kecil serta program

kesedaran untuk masyarakat tentang peri pentingnya hubungan agama yang positif harus diusahakan oleh setiap golongan agama.

Selain dari itu, kerjasama antara pemerintah dan masyarakat serta pemimpin agama amat ketara sekali dalam soal ini. Ini menjadi lebih penting bagi masyarakat minoriti seperti Muslim di New Zealand, Australia, Eropah dan juga Singapura.

Singapura adalah sebuah negara contoh di mana pemerintah dan masyarakatnya bekerja erat dan berusaha memastikan keharmonian agama di negara ini terus terjamin. Malah, organisasi seperti Pertubuhan Antara Keagamaan (IRO) telah lama ditubuhkan di negara sebelum Singapura mendapat kemerdekaan.

Begitu juga badan agama seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan lain-lain organisasi agama sentiasa mendekati masyarakat dengan program yang menggalakkan perpaduan sosial dan keharmonian agama.

Usaha mempromosikan keharmonian agama turut dipikul Pusat Harmoni.

Kesimpulannya, setiap dari kita berperanan memastikan bangsa dan negara kita terus hidup dalam kerukunan dan saling hormat menghormati. Insiden ganas yang berlaku di New Zealand ini harus dijadikan iktibar.

Ia menunjukkan bahawa keganasan dan kebencian terhadap agama itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan harus ditentang sama sekali.

  • Penulis ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai.