Rakyat Singapura bakal menghadapi harga air dan tambang pengangkutan awam yang meningkat.
Tiada siapa yang suka membayar lebih bagi perkhidmatan penting ini kerana ia menambahkan lagi kos sara hidup dan membebankan tanggungjawab kewangan.
Namun, sukar untuk kita mengelakkan kenaikan tersebut kerana ia dicetuskan oleh kos tenaga dan pengeluaran yang bertambah.
Keadaan ekonomi pula tidak menentu manakala risiko bekalan tenaga dan makanan terus terganggu; persekitaran geopolitik yang tegang pula menyumbang kepada keadaan sukar ini.
Prihatin akan kos yang boleh menjejas kehidupan rakyat, pemerintah segera mengumumkan Pakej Bantuan Kos Sara Hidup bernilai $1.1 bilion.
Di bawah pakej ini, sekitar 2.5 juta rakyat dewasa akan menerima bayaran tunai tambahan sehingga $200 pada Disember, manakala setiap isi rumah menerima baucar tambahan $200 Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) pada 2024.
Bantuan lain termasuk rebat perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) sekali sahaja selama 0.5 bulan pada Januari 2024, dan rebat tambahan U-save $20 setiap suku dari Januari 2024 hingga Disember 2025.
Pakej bantuan lebih tertumpu kepada membantu keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana, dan merupakan tambahan kepada Bajet 2023.
Ia diharap dapat mengurangkan kesan bil utiliti lebih tinggi, yang timbul daripada kenaikan harga air, selain kenaikan cukai karbon.
Pemerintah juga telah mengambil langkah untuk membantu golongan terjejas mengurangkan kesan kenaikan tambang pengangkutan awam.
Misalnya, kadar kenaikan tambang kad konsesi untuk pelajar dan warga emas adalah lebih rendah dan dihadkan sebanyak 5 sen bagi setiap perjalanan.
Ia juga mengurangkan harga pas konsesi bulanan hibrid (bas dan kereta api) untuk Orang Kurang Upaya daripada $64 kepada $58, selain memperkenalkan pas konsesi bulanan hibrid bagi pemegang kad Skim Konsesi Pengangkutan Kerja (WTCS).
Baucar Pengangkutan Awam (PTV) bernilai $50 setiap satu pula disediakan kepada isi rumah berpendapatan rendah pemastautin dengan pendapatan isi rumah bulanan setiap orang tidak lebih $1,600.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pihaknya akui ramai rakyat bimbang tentang prospek ekonomi dan kenaikan harga.
Justeru pemerintah komited untuk membantu rakyat mengharungi masa tidak menentu ini.
Memang sukar bagi kita untuk menerima kenaikan harga, terutama yang melibatkan khidmat penting seperti air dan pengangkutan awam.
Namun, kita juga tidak boleh lari daripada realiti kehidupan – bahawa kos kebanyakan produk dan perkhidmatan meningkat.
Oleh itu, langkah segera pemerintah mengumumkan bantuan bagi golongan terjejas melegakan.
Bantuan tersebut seakan memberi jaminan bahawa kita tidak ditinggalkan begitu sahaja untuk mengharungi beban kos kehidupan.
Sebaliknya, ia diharap dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat dan meringankan beban kewangan mereka.
Selagi kita negara yang bersatu dan saling membantu, selagi itu kita boleh mengatasi segala cabaran termasuk kos sara hidup yang dihadapi sekarang ini.
“
Memang sukar bagi kita untuk menerima kenaikan harga, terutama yang melibatkan khidmat penting seperti air dan pengangkutan awam. Namun, kita juga tidak boleh lari daripada realiti kehidupan – bahawa kos kebanyakan produk dan perkhidmatan meningkat. Oleh itu, langkah segera pemerintah mengumumkan bantuan bagi golongan terjejas melegakan. Bantuan tersebut seakan memberi jaminan bahawa kita tidak ditinggalkan begitu sahaja untuk mengharungi beban kos kehidupan. Sebaliknya, ia diharap dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat dan meringankan beban kewangan mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg