Belia adalah masa depan kita, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:48
Zuhur
12:52
Asar
4:06
Maghrib
6:53
Isyak
8:03
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana0

Belia adalah masa depan kita

Jul 04, 2021 | 05:30 AM

PEMBENTUKAN akhlak yang mulia, budi pekerti yang baik, sifat sopan santun dan berbudi bahasa harus diterapkan kepada anak-anak kita pada usia yang muda.

Dengan akhlak dan hati yang baik, anak-anak kita akan lebih cenderung untuk memilih jalan yang lurus dan yang diajarkan dalam Islam. Ini juga dapat menjauhkan diri mereka daripada terpengaruh kepada kemungkaran seperti penglibatan dalam kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Bak pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Anak-anak kita dan para belia adalah masa depan kita dan merupakan pelapis generasi ini.

Mereka memikul tanggungjawab untuk membentuk masyarakat yang berwibawa dan memastikan kemajuan negara.

Halal Home Based Business
Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Dari itu, kita harus memainkan peranan yang lebih aktif dalam hidup mereka.

Meluangkan masa bersama untuk beriadah, mengadakan perbincangan tentang isu-isu semasa dan membetulkan fahaman salah, terutama mengenai perkara-perkara yang mungkar seperti penyalahgunaan dadah, adalah langkah yang boleh diambil dan amat disarankan.

Cuti sekolah dan hujung minggu memberi peluang untuk mengadakan aktiviti-aktiviti keluarga sebegini supaya dapat mengeratkan hubungan keluarga dan menyelesakan anak-anak kita untuk sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapa mengenai isu-isu sosial, masalah-masalah yang dihadapi mahupun kejayaan yang mereka raih.

Sebagai contoh yang dekat di hati saya adalah hubungan erat isteri saya dan anak perempuan kami.

Sejak usia yang muda lagi, hubungan mereka sangat erat kerana selalu melakukan kegiatan bersama.

Kini, sungguhpun anak perempuan kami berada di luar negeri untuk menyambung pelajarannya, namun dia tetap akan menghubungi kami melalui panggilan video pada setiap hari untuk bertanya khabar, bergurau atau untuk menceritakan kisah harian.

Isteri saya akan selalu melayani beliau kerana kadang kala saya masih bertugas semasa panggilan-panggilan tersebut dibuat.

Namun, saya amat gembira dengan hubungan erat mereka kerana kami dapat bertanya khabar dengan anak kami yang berjauhan dan memberi kata-kata semangat dan nasihat jika perlu.

KADAR PENAGIH BARU

Tanpa keprihatinan keluarga dan meluangkan masa bersama, hubungan kita dengan anak-anak mungkin terjejas dan mula renggang.

Ini akan membawa ke masalah-masalah sosial yang tidak diingini seperti penyalahgunaan dadah yang telah merosakkan banyak keluarga.

Menurut Tinjauan Tanggapan Awam Kementerian Dalam Negeri (MHA) 2018, 80 peratus belia yang ditinjau berpendapat bahawa ganja harus tetap diharamkan di Singapura.

Namun kadar ini adalah lebih rendah daripada 90 peratus yang berusia lebih daripada 30 tahun yang ditinjau dan berpendapat sama.

Dalam tinjauan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada) pada tahun 2019 pula, para belia yang menyokong pendirian tegas Singapura terhadap penyalahgunaan dadah adalah 79 peratus berbanding 84 peratus yang berusia lebih daripada 30 tahun.

Mengikut laporan situasi dadah terkini daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) pula, 62 peratus penyalahgunaan dadah baru yang ditangkap pada tahun 2020 didapati bawah usia 30 tahun.

Golongan anak-anak muda kita mudah terdedah dengan infomasi-infomasi mengenai dadah yang kurang tepat terutama di wadah media sosial ataupun melalui budaya popular.

Kita harus lebih prihatin dan mengambil peduli tentang kegiatan dan pergaulan anak-anak kita di luar mahupun di media sosial supaya dapat memberi dorongan dan membetulkan fahaman salah daripada infomasi yang didapati mereka.

Saya juga amat bimbang tentang anak-anak muda yang telah berjinak-jinak dengan penyalahgunaan dadah dan tidak sedar bahawa ketagihan dadah bukan hanya merosakkan diri sendiri, malah ia juga akan membawa kesengsaraan kepada keluarga dan masyarakat.

Ramai bekas penagih yang saya temu bual kesal atas perbuatan mereka kerana telah terlepas peluang untuk menyaksikan pencapaian atau peristiwa penting dalam kehidupan keluarga mereka.

Oleh itu, masyarakat kita terutama para belia harus tahu tentang akibat buruk dari penyalahgunaan dadah dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam kegiatan yang tidak bermanfaat itu.

LAWATAN KE PUSAT PEMULIHAN MASYARAKAT (CRC)

Saya telah melawat Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) pada hujung tahun lalu.

Kebanyakan para penghuni pusat pemulihan tersebut terdiri daripada belia di bawah usia 21 tahun yang telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan berisiko sederhana dalam terlibat semula dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah.

Mereka memerlukan bimbingan dan dorongan positif serta sokongan keluarga dan masyarakat untuk kembali pulih.

CRC memberi ruang dan persekitaran yang sesuai untuk pemulihan mereka.

Namun saya amat berbesar hati dengan usaha masyarakat Melayu/Islam kita yang telah menghulurkan bantuan dan memberi sokongan untuk membimbing belia Islam kita di sana.

Mereka termasuk pelajar-pelajar daripada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) yang kerap melawat dan mengadakan aktiviti prososial bersama mereka.

Pada masa yang sama, Masjid Assyafaah yang berdekatan juga menyediakan kelas agama dan melibatkan mereka dalam usaha kemasyarakatan.

Sokongan dan bimbingan daripada masyarakat sebegini dapat menjadi pemangkin semangat bagi belia-belia kita di pusat pemulihan itu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

KISAH ABU

Salah satu belia yang telah saya bertemu bual di CRC adalah Abu (bukan nama sebenar).

Tanpa dorongan dan keprihatinan ibu bapanya, hubungan Abu bersama keluarganya mula renggang.

Kerana dahagakan perhatian dan kasih sayang, Abu telah bergaul dengan rakan-rakan kejiranan yang kurang baik.

Pergaulan bebas bersama mereka mempengaruhinya untuk melakukan jenayah dan penyalahgunaan dadah pada usia 13 tahun.

Abu kini kesal atas kelakuannya dan berharap untuk memperbaiki dirinya dan hubungan keluarganya serta menyambung semula pelajarannya di sekolah.

Kisah Abu mengingatkan kita supaya mengambil peduli akan pergaulan dan kegiatan anak-anak kita, dan meluangkan masa untuk bersama mereka.

USAHA MASYARAKAT

Beberapa usaha telah dilakarkan badan-badan masyarakat Melayu/Islam untuk mendekati belia-belia kita supaya tidak terjerumus dalam kancah jenayah. Sebagai contoh adalah program "Youth Edge" yang dilakarkan 4PM.

Program ini mendekati anak-anak para pesalah dengan memberi dorongan, mendampingi mereka dan melibatkan mereka dalam aktiviti-aktiviti berkumpulan.

Ini dapat memupuk sifat bekerjasama dan menjauhkan diri daripada kegiatan yang tidak bermanfaat.

Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) juga memberi bantuan dan sokongan kewangan dan persekolahan untuk anak-anak daripada keluarga yang tidak berkemampuan, termasuk keluarga para pesalah.

Bantuan ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan pelajaran dan semangat untuk meraikan keputusan cemerlang dalam mata pelajaran mereka.

Usaha-usaha sedemikian adalah penting untuk membantu anak-anak muda kita menjauhkan diri daripada kemungkaran atau terjebak dalam kegiatan jenayah.

Saya amat berterima kasih kepada badan-badan Melayu/Islam yang telah kehadapan untuk memberi sokongan dan bimbingan kepada belia-belia kita.

AKHIR KATA

Anak-anak muda kita adalah masa depan untuk negara ini.

Sebagai masyarakat, kita memainkan peranan untuk memberi sokongan dan bimbingan kepada mereka untuk menerajui kehidupan yang berjaya dan bebas daripada kancah jenayah atau penyalahgunaan dadah.

Kita harus meluangkan masa bersama anak-anak kita terutama mereka yang masih di bangku sekolah.

Banyak kegiatan keluarga yang boleh kita lakukan seperti menonton tayangan gambar bersama, beriadah, bersukan, bermasak bersama dan lain-lain lagi.

Ini dapat mengeratkan hubungan keluarga terutama bersama anak-anak kita dan melindungi mereka daripada penyalahgunaan dadah.

Dengan hubungan keluarga yang kuat, kita dapat berusaha bersama dalam mencegah kemungkaran atau pengaruh yang tidak baik.

Ambillah peluang cuti sekolah atau hujung minggu untuk melakukan kegiatan bersama anak-anak kita.

Semoga usaha kita ini dapat meraih anak-anak yang cemerlang dan menjadi pelapis generasi kita yang berjaya.


 • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).


"Anak-anak muda kita adalah masa depan untuk negara ini. Sebagai masyarakat, kita memainkan peranan untuk memberi sokongan dan bimbingan kepada mereka untuk menerajui kehidupan yang berjaya dan bebas daripada kancah jenayah atau penyalahgunaan dadah. Kita harus meluangkan masa bersama anak-anak kita terutama mereka yang masih di bangku sekolah. Banyak kegiatan keluarga yang boleh kita lakukan seperti menonton tayangan gambar bersama, beriadah, bersukan, bermasak bersama dan lain-lain lagi. Ini dapat mengeratkan hubungan keluarga terutama bersama anak-anak kita dan melindungi mereka daripada penyalahgunaan dadah."
- Penulis

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map