Warga Singapura perlu ambil peduli bahawa negara ini bukan sahaja sedang menghadapi ancaman serangan siber dari luar, bahkan serangan tersebut dilakukan secara berterusan.
Serangan ini satu pencerobohan yang melanggar ‘sempadan’ negara, justeru ia perlu dipertahankan.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, berkata serangan berkenaan disasarkan terhadap prasarana penting negara oleh kumpulan pengintipan, UNC3886.
Pelaku atau penggodamnya pula ditaja dan dikaitkan dengan sebuah negara.
Mereka mempunyai sumber besar dan menggunakan teknik serangan yang dapat mengelak dari dikesan.
Ini dilakukan dengan ‘menyembunyikan’ diri dalam sesebuah rangkaian siber untuk mengintip sebelum mencuri maklumat sensitif dan mengganggu perkhidmatan Singapura.
Jika berjaya, serangan UNC3886 itu mempunyai risiko melemahkan keselamatan negara.
Para pakar berkata kumpulan tersebut dikaitkan dengan China.
Firma keselamatan siber, Mandiant, berkata ia mula mengesan kumpulan pengintipan China itu pada 2022.
UNC3886 dikatakan menyasarkan pengintipan mereka terhadap pertubuhan strategik termasuk pertahanan, teknologi dan sektor perhubungan.
Agensi Keselamatan Siber (CSA) dan agensi relevan kini giat menangani serangan tersebut, selain bekerjasama dengan pemilik prasarana maklumat kritikal untuk membentengi ruang siber negara.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata matlamat ancaman tersebut adalah jelas – menyerang sasaran bernilai tinggi, contohnya prasarana yang menyediakan perkhidmatan penting kepada Singapura dan rakyatnya.
Sebagai hab digital dan data yang menghubungkan dunia, Singapura aset yang berbaloi ‘ditakluki’ bagi mereka yang merancang untuk mengganggu kestabilan global.
Bayangkan jika serangan itu menepati sasaran, ambil contoh rangkaian elektrik negara.
Ia bukan sahaja boleh menyekat bekalan elektrik ke pejabat atau rumah kita, bahkan boleh menular hingga mengganggu perkhidmatan penting lain seperti penjagaan kesihatan dan pengangkutan.
Lebih buruk, ia juga boleh membantutkan kegiatan ekonomi.
Kegiatan perbankan, operasi lapangan terbang dan perindustrian lumpuh, manakala sistem telekomunikasi dan urusan perniagaan terjejas.
Gambaran seperti ini mempunyai implikasi besar.
Ia boleh menjejas teruk ekonomi, kepercayaan dan keyakinan terhadap Singapura.
Sebenarnya kita pernah menghadapi serangan siber ini, bahkan kekerapannya juga dikatakan telah bertambah.
Misalnya, pada 2018, ruang siber Singapura pernah dicerobohi hingga data peribadi sekitar 1.5 juta pesakit digodam, termasuk data Encik Lee Hsien Loong, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.
Banyak lagi kes serupa ini telah berlaku di sini, sama ada melibatkan pihak awam mahupun swasta.
Meskipun agensi-agensi pemerintah kini aktif di barisan hadapan untuk menentang serangan tersebut, namun usaha pemerintah sendirian sahaja tidak mencukupi.
Ia memerlukan bantuan pelbagai pihak.
Maka itu wajar pemerintah mendedahkan identiti pelakunya, walaupun kita tidak perlu tahu negara mana yang menaja kegiatan tersebut.
Bagaimanapun kita perlu sedar dan fahami akan adanya pelaku sedemikian dan akibat yang boleh dicetuskan.
Justeru kita harus menyokong usaha menangani ancaman serangan siber itu agar kejadian lebih dahsyat tidak akan berlaku.
Sebagai individu kita juga harus terus mengamalkan budaya keselamatan semasa di ruang siber dan berhati-hati terhadap penipuan dalam talian.
Didik diri kita dan keluarga tentang ancaman siber itu dan laporkan kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Lebih penting ialah untuk kita sentiasa bersatu dan berwaspada sebagai satu pasukan menghadapi ancaman serangan siber itu demi memastikan masa depan ruang digital Singapura lebih selamat dan utuh.
“
...Kita harus menyokong usaha menangani ancaman serangan siber itu agar kejadian lebih dahsyat tidak akan berlaku. Sebagai individu kita juga harus terus mengamalkan budaya keselamatan semasa di ruang siber dan berhati-hati terhadap penipuan dalam talian. Didik diri kita dan keluarga tentang ancaman siber itu dan laporkan kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa. Lebih penting ialah untuk kita sentiasa bersatu dan berwaspada sebagai satu pasukan menghadapi ancaman serangan siber itu demi memastikan masa depan ruang digital Singapura lebih selamat dan utuh.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg