Biar mati anak, jangan mati adat?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biar mati anak, jangan mati adat?

Adakah ‘tembok’ sosial zaman lampau masih wujud dalam dunia moden hari ini?
Feb 22, 2026 | 5:30 AM

Biar mati anak, jangan mati adat?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Amar Baharin, Nabila Huda,  pementasan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
Zainuddin (lakonan Amar Baharin) dan Hayati (Nabila Huda) semasa pementasan, ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’ di Kuala Lumpur pada 2025. - Foto BM oleh KHALID BABA

Percintaan tidak semestinya bermuara di jenjang pelamin.

Pelbagai badai boleh merubah haluan dua sejoli, namun jika takdir tidak menyebelahi, kasih yang dicanang ‘hingga ke bulan’ sekalipun tetap akan kecundang di tengah jalan.

Bagi dua figura dalam naskhah agung Buya Hamka, kegagalan cinta mereka bukan kerana ketiadaan setia, tetapi kerana benteng adat yang tidak tertembus.

Demikian inti sari roman legenda, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, karya Hamka – seorang ulama, wartawan, ahli politik, dan ahli falsafah yang diangkat sebagai perwira Indonesia.

Baru-baru ini saya terpanggil untuk menyelami naskhah terbitan 1938 ini.

Ia bukan sekadar untuk mempelajari kosa kata Melayu klasik atau gaya bahasa silamnya, malah bagi meninjau sejauh mana isu, nilai, dan sejarah yang dipaparkan masih bernadi dalam masyarakat moden kita hari ini.

Sebenarnya buku novel pemberian teman lama saya itu sudah lama saya simpan dalam almari tetapi sejak awal 2026, saya bertekad membacanya, dan beberapa novel klasik Melayu lain, sebelum ia ‘tenggelam’ dimakan masa.

Keinginan saya membaca novel-novel tersebut bukan sekadar satu kegiatan santai, melainkan sebuah perjalanan intelektual untuk menyelami lubuk hati penulis masa lampau.

Melalui pembacaan ini, diharap saya dapat merenung kembali sejauh mana kerelevanan nilai-nilai tersebut dalam kita mendepani cabaran zaman hari ini yang semakin rencam.

Ternyata membaca novel tersebut tidak menghampakan, bahkan ia seolah-olah membawa saya ke satu alam ‘baru’ yang sangat memberi kesan.

Profesor Dr Abdul Malik Karim Amrullah, atau lebih dikenali sebagai Hamka, merupakan tokoh sasterawan Nusantara berdimensi luas yang berjaya mengadunkan nilai luhur keislaman dengan estetika sastera moden Indonesia secara harmoni.

Sebagai seorang intelektual prolifik, naskhah beliau bukan sekadar menjadi tatapan pencinta sastera, malah berdiri teguh sebagai rujukan dasar penting dalam aspek moral dan sejarah di seluruh rantau Asia Tenggara.

Kekuatan utama Hamka terletak pada gaya bahasa Melayu yang indah dan puitis.

Beliau sering menyulam diksi khas Minangkabau ke dalam penceritaannya – sebuah penghormatan terhadap akar budayanya di Sumatera Barat – sekali gus memberikan tekstur bahasa yang kaya dan autentik.

Walaupun bahasanya sarat dengan metafora, mesej yang ingin disampaikan dalam novelnya tetap bersifat telus dan tajam, khususnya dalam menekankan kepentingan etika serta integriti moral dalam interaksi sosial masyarakat.

Sepanjang hayatnya, Hamka telah melahirkan puluhan karya merangkumi pelbagai genre, daripada cereka sastera hingga ke penulisan esei, sejarah, dan teologi.

Antara naskhah hebat dan luar biasa ialah novel, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah, yang kekal sebagai karya klasik yang diangkat ke layar perak bagi memenuhi selera generasi moden.

Secara tuntasnya, Hamka berjaya merubah paradigma masyarakat terhadap sastera; membuktikan karya yang relevan dengan perkembangan zaman boleh dihasilkan tanpa perlu mencabut akar tunjang keagamaan.

Pertembungan nurani dengan tradisi

Novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck ini merakam kisah cinta tragik antara Zainuddin, pemuda yatim piatu berdarah campuran Makassar-Minang yang miskin, dengan Hayati, gadis sunti Minang asli.

Hubungan mereka terkandas di muara adat Minangkabau yang tegar serta jurang status sosial yang ‘mencucuk mata’.

Meskipun bapa Zainuddin berdarah Minang, sistem matrilineal Minangkabau tidak mengakui garis keturunannya kerana ibunya orang Makassar.

Zainuddin dianggap ‘orang asing’ yang tidak bersuku – stigma yang menghancurkan impiannya untuk bersatu dengan Hayati.

Ironinya, takdir kemudian merubah nasib: Zainuddin bangkit menjadi penulis masyhur yang kaya raya di Tanah Jawa, manakala Hayati terjebak dalam perkahwinan malang bersama Aziz, seorang lelaki berada yang tidak bertanggungjawab.

Tragedi ini memuncak apabila kapal Van der Wijck yang Hayati naiki karam di lepas pantai Brondong pada Oktober 1936.

Kapal mewah tersebut dijadikan bukan sekadar latar sejarah, malah lambang yang digunakan Hamka untuk menggambarkan karamnya harapan dan cinta yang tertindas.

Adakah adat masih relevan?

Secara ringkas, adat merupakan gagasan budaya yang merangkumi nilai, norma, kebiasaan, serta hukum yang menjadi amalan sesebuah masyarakat.

Walaupun setiap etnik mempunyai sistem sosial tersendiri, sejauh manakah adat tersebut mempengaruhi kelangsungan dan kemajuan ahlinya dalam dunia moden amat bergantung pada cara ia disesuaikan.

Pelbagai jenis adat wujud dalam masyarakat – ada yang murni dan ada yang memudaratkan.

Amalan gotong-royong, misalnya, berjaya memupuk kerjasama dan meringankan beban kerja, di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

Namun, kita tidak boleh menafikan adanya adat kolot berasaskan kasta atau diskriminasi yang menyekat potensi dan kebebasan individu  

Hamka menggunakan naskhah ini sebagai wadah untuk mengkritik struktur adat dan kelas sosial yang dianggapnya kaku.

Beliau turut menyoroti kedudukan wanita yang sering kali kehilangan suara dalam menentukan masa depan sendiri akibat tekanan patriarki yang berselindung di sebalik tabir adat.

Persoalannya, adakah ‘tembok’ adat dan sosial yang dihadapi Zainuddin dan Hayati pada era 1930-an dalam sekitar masyarakatnya masih berdiri teguh di abad ke-21?

Hakikatnya, walaupun konteks sosial masa lalu mungkin telah banyak berubah, namun realitinya isu perbezaan darjat dan restu keluarga mungkin masih menjadi duri dalam daging bagi sesetengah pasangan moden hari ini.

Cuma hari ini, ia menjelma dalam bentuk baru – kelas ekonomi, status pendidikan, atau tuntutan hantaran yang membebankan.

Bagaimanapun masyarakat Melayu kini mungkin meletakkan agama sebagai kompas utama, atau mengamalkan adat yang bersendikan syarak.

Namun bayang-bayang adat yang mementingkan kebendaan dan keturunan kadangkala mungkin masih mengatasi nilai kemanusiaan sejagat.

Membaca karya Hamka ini mengingatkan kita selagi manusia meletakkan darjat duniawi lebih tinggi daripada ketulusan hati, maka akan sentiasa ada ‘Kapal Van der Wijck’ yang akan karam di lautan kehidupan.

Laporan berkaitan
Menghidupkan karya Hamka Jul 8, 2024 | 2:54 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg