Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Bijak mengimbangi tuntutan Islam dan tanggungjawab sosial

Mar 20, 2020 | 07:04 PM



PENULARAN wabak virus Covid-19 yang bermula sekitar lewat Disember lalu terbukti bukanlah suatu fenomena yang bersifat sementara atau jangka pendek.


Sehingga hari ini, wabak virus tersebut telah meragut lebih dari 8000 nyawa dengan lebih 200 ribu kes dilaporkan di seluruh dunia.


Walaupun Singapura bernasib baik kerana tiada kes kematian setakat ini, namun angka kes-kes baru yang terdaftar menunjukkan trend yang cukup membimbangkan dengan 47kes terbaru pada 18 Mac (rekod tertinggi untuk sehari), menjadikan jumlah keseluruhan kepada 345 kes.

Kepelbagaian respons kepada ancaman wabak Covid-19


Sebelum ini, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan beberapa asatizah tempatan telah memberikan panduan berdasarkan Al-Quran dan sunnah nabi Muhammad s.a.w. dalam mengharungi suasana getir ini.


Bermula dengan menekankan penjagaan kebersihan peribadi seperti mencuci tangan dan berwuduk, sehinggalah kepada amalan mengucap dan menerima salam dengan isyarat tangan, beristighfar, berdoa dan membaca zikir-zikir harian yang bersumber dari sunnah nabi.


Panduan ini lebih berupa pendekatan spiritual yang mengajak masyarakat Islam setempat bermuhasabah dan mengantungkan harapan kepada Allah.


Apabila penularan wabak menunjukkan tanda-tanda yang terus membimbangkan, pelbagai l angkah susulan diperkenalkan.


Antaranya adalah menerusi satu pendekatan pencegahan yang menuntut setiap individu menjaga jarak sosial (social distancing) untuk mengawal penularan wabak.


Walaupun ianya tidak disasarkan secara eksklusif kepada sesuatu kelompok, segelintir masyarakat dunia masih sukar menerimanya kerana ianya menjejas majlis-majlis keagamaan dan sosial yang dihadiri ramai peserta.


Penularan virus covid-19 yang boleh membawa maut ini boleh berlaku dengan mudah di persekitaran yang padat dengan manusia.


Virus ini juga boleh berjangkit menerusi sentuhan fizikal.


Adalah sesuatu yang mustahil untuk memastikan kedua-dua senario ini tidak berlaku di dalam perhimpunan yang besar seperti di masjid atau acara-acara keagamaan.


Yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Singapura telah memutuskan agar masjid-masjid ditutup dari kegunaan awam sementara ia menjalani kerja-kerja pembersihan yang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Kepentingan pendekatan menjaga jarak sosial ini sebenarnya boleh difahami jika diteliti kembali bimbingan Nabi Muhammad s.a.w.


Imam al-Bukhari dan Muslim pernah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w. pernah bersabda: “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”


Ada dua pengajaran yang boleh diambil daripada hadis tersebut.


Pertama, menjaga diri daripada terdedah kepada bahaya. Dalam hal ini, dengan menjauhi tempat yang terdapat wabak yang boleh membahayakan diri dengan mewujudkan semacam “pemisah” antara kita dengan sesuatu bahaya seperti virus Covid-19 yang tidak mudah dikesan dengan mata kasar.


Kedua, menjaga pergerakan masing-masing untuk membendung penyebaran penyakit, wabak atau apa jua kemudaratan.

Ia dikenali pada hari ini sebagai tanggungjawab sosial.


Inilah semangat rahmatan lil alamin di sebalik arahan Rasulullah s.a.w kepada sesiapa yang terperangkap di kawasan yang terkena wabak taun, (termasuklah mereka yang disyaki dan diyakini mengidap penyakit taun), agar tidak pergi ke kawasan lain.


Secara tidak langsung, Islam sebenarnya mendidik kita menjadi individu yang bertanggungjawab. Kita mesti menjaga kebajikan diri sendiri dan seterusnya kebajikan awam.

Maqasid Syariah


Pemeliharaan nyawa adalah salah satu daripada objektif shariat Islam atau maqasid syariah.


Di dalam konteks yang sedang diperbincangkan, langkah-langkah memelihara nyawa dan menyelamatkan nyawa manusia adalah bertepatan dengan maqasid syariah.


Menurut Ibn Ashur (wafat 1907), seorang pakar dalam lapangan maqasid syariah, kemaslahatan orang ramai perlu diberi keutamaan daripada kemaslahatan individu.


Berdasarkan pengajaran hasith dan maqasid syariah, keengganan untuk menjaga jarak sosial boleh menghambat usaha untuk mengekang, mengawal dan menghentikan penularan virus tersebut.


Sikap ini juga boleh membawa kepada meningkatnya angka kematian. Dan ia sepatutnya dielakkan.


Jika ini berlaku, bererti maslahat khalayak ramai tidak terbela. Perlu difahami bahawa keengganan seperti ini sebenarnya didasari ilmu yang kurang tepat tentang ajaran Islam sebenar.

Kesimpulan


Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah 155 bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.


Sifat sabar perlu difahami dengan pemahaman yang luas.


Hendaklah kita bersabar dan bersangka baik terhadap Allah sekiranya ada di antara kita atau kenalan kita ditimpa musibah ini.


Sekiranya kita terselamat dari ancaman virus Covid-19 ini, bersyukurlah dan bersabarlah kerana keterbatasan melakukan aktiviti harian.


Mungkin, antara aktiviti harian kita ialah melazimi solat fardhu di masjid, menghadiri majlis ilmu atau zikir, berdakwah, bersukan dan sebagainya.


Semua ini tidak dapat kita teruskan kerana situasi hari ini.


Bersabarlah di dalam mengimbangi tuntutan agama dan tanggungjawab sosial di masa-masa yang genting ini.


Kita sewajarnya memilih untuk menjadi sebahagian dari penghurai masalah kerana itu adalah tuntutan shariah.


Jika ini dapat direalisasikan, nescaya khabar gembira sebagaimana janji Allah bakal menanti di penghujung jalan.


Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janjiNya.

- Penulis Felo Penyelidik Bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >