Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Bina identiti Melayu SG, tapis pengaruh luar

Feb 18, 2020 | 05:30 AM



BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan satu pendedahan tentang satu pemikiran yang wujud dalam masyarakat, bahawa seorang Islam tidak harus mendukung perlembangan dan undang-undang negara tetapi wajib mengiktiraf undang-undang syariah sahaja.



Pemikiran tegar sebegini tidak hanya wujud di negara kita, tetapi di negara-negara lain juga. Lebih buruk lagi jika pemahaman shariah disempitkan dengan hanya berlandaskan satu atau dua tafsiran Al-Quran and Hadith, tanpa memperhalusi kepelbagaian tafsiran yang terdapat pada kedua-dua sumber penting dalam Islam ini.



Sepanjang sejarah Islam, ulama-ulama menekankan konteks ayat-ayat yang terdapat dalamnya. Dalam satu lagi kes yang berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terpengaruh dengan fahaman radikal, dan mahu ISIS memenggal kepala Presiden Halimah Yacob dan menganggap Singapura sebuah negara kafir.



Tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran anti-modenisasi dan penafsiran sempit agama boleh menghambat kemajuan masyarakat Melayu-Islam Singapura yang selama ini hidup aman dalam konteks masyarakat berbilang kaum.



Pemikiran sebegini terbahagi kepada dua golongan: ekstrem dan ganas (violent extremism); dan ekstrem tetapi tidak ganas (non-violent extremism).



Golongan pertama inilah yang terdorong untuk berjuang bersama kumpulan-kumpulan radikal seperti ISIS, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI). Bagi mereka, perjuangan untuk menegakkan undang-undang shariah adalah asas penting bagi penubuhan sebuah negara Islam, dan ini hanya boleh dilakukan lewat mengangkat senjata atau peperangan.



Golongan kedua pula, walaupun tidak ganas, tidak kurang bermasalah. Golongan ini akan senantiasa mempunyai prasangka buruk terhadap sistem yang dianggap sekular - yang dinilai sebagai kurang Islamik - dan ini boleh menjejas aktiviti seharian atau pekerjaan mereka.



Mereka akan berasa ragu sama ada pekerjaan yang mereka lakukan setiap hari termasuk dalam amalan Islam atau tidak. Benarkah dengan menjadi warga-negara rakyat yang baik di Singapura ini semestinya mengurangkan status kita sebagai seorang Islam yang baik?



Cinta kepada negara asas



Muslim yang baik sudah menjadi suatu kebiasaan bagi setiap pelajar di sekolah-sekolah nasional untuk menyanyikan lagu kebangsaan 'Majulah Singapura' semasa upacara menaikkan bendera setiap pagi. Kemudian, setiap pelajar disuruh menyatakan ikrar taat-setia kepada negara.



Walaupun ini satu perkara rutin, ia menambahkan rasa cinta kita kepada negara. Mentelah lagi, upacara sebegini tidak melemahkan keagamaan atau iman seseorang, malah sebaliknya, ia menimbulkan rasa syukur kerana dengan sistem sekularisme dan pluralisme yang diamalkan di negara kita ini, kita dapat hidup aman dan damai dan mengamalkan ajaran-ajaran agama kita dengan baik.



Malangnya, kedua-dua ideologi ini dianggap sebagai menentang ajaran Islam, sedangkan ada pelbagai terjemahan terhadap kedua-dua konsep ini. Misalnya, apabila sebut soal sekularisme, ada yang terus melihat situasi di Perancis atau di Turkey. Tentu sekali cara sekularisme yang diamalkan di negara-negara tersebut berdasarkan konteks, sejarah dan demografi masing-masing, berbeza dengan keadaan di Singapura.



Tambahan lagi, pluralisme juga dimomokkan sebagai satu kepercayaan bahawa semua agama itu sama, sedangkan apa yang dimaksudkan adalah semua agama mempunyai hak dan ruang yang adil dan saksama dalam sebuah negara yang rencam seperti di Singapura.



Fahaman sekularisme yang diamalkan di Singapura inilah yang membenarkan penganut-penganut setiap agama diberi ruang untuk mempercayai fahaman agama masing-masing, sambil mengutarakan nilai-nilai sejagat yang dikongsi setiap agama.



Tentu sekali ada kemahuan kita yang harus diberi laluan, tapi kita juga ingat bahawa masyarakat lain juga ada berkompromi dalam banyak hal. Malah Singapura memberikan inspirasi kepada negara-negara rencam lain kerana aktif dalam mempromosikan dialog silang agama.



Tapis pandangan-pandangan dari luar



Dalam suasana kehidupan globalisasi, tentu sekali kita tidak boleh hindar daripada pengaruh dari luar. Sebelum ini, mungkin ramai yang risau akan kemasukkan budaya Barat (Westernization), tetapi sekarang ini kita didedahkan dengan budaya-budaya lain seperti dari Korean Selatan, Jepun dan Timur Tengah. Bagi saya, boleh saja kita mengamalkan fesyen atau gaya hidup luar ini, asalkan ia tidak menjejas kerukunan dalam masyarakat setempat. Kita akur sekarang ini Islamofobia amat berleluasa, jadi perlulah kita mengambil hati masyarakat lain tentang kepercayaan kita, sama juga sepertimana masyarakat lain perlu menilai masyarakat Islam dengan adil.



Ramai yang mungkin perihatin Islam yang diimport dari Timur Tengah bersifat ekstrem. Lantas, kita disarankan untuk belajar agama daripada negara-negara di rantau ini, seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kini, lulusan madrasah Singapura yang melanjutkan pengajian sarjana mereka ke Timur Tengah hampir sama jumlahnya dengan mereka yang memilih untuk belajar di negara-negara jiran. Bagaimanapun, tahap kewaspadaan kita terhadap natijah pembelajaran di Timur Tengah harus juga dilanjutkan kepada graduan-graduan dari rantau ini. Kita perlu menilai pola-pola pemikiran yang berada di negara-negara di rantau ini, dan tidak boleh membuat ukuran berdasarkan slogan-slogan dan retorika sahaja. Sebagai contoh, perkataan yang sering disalah-gunakan adalah Islam "moderat" sedangkan ukuran moderat masih kabur. Malangnya, ramai yang mengaku moderat, tapi adakah seseorang itu moderat jika masih suka mengkafirkan orang lain, atau melabel seorang sebagai sesat?



Tambahan lagi, istilah-istilah lain yang harus dinilai secara terperinci adalah "Islam kemajuan", "Islam Nusantara", "Islam Hadhari", "Islam Wasatiyyah".



Semua slogan ini menekankan nilai-nilai positif, tetapi bagaimana pula perinciannya, atau bagaimana usaha perlaksanaannya? Bagi saya, selain kita belum boleh menghormati perbezaan pandangan, dan hak-hak peribadi individu, selagi itu kita masih belum boleh digelarkan sebagai moderat.



Maka, usahlah kita terperangkap dengan slogan-slogan berbaur politik, tetapi mengukur pelan-pelan bertindak yang lebih konkrit demi mencapai kemajuan dan kemaslahatan masyarakat. Misalnya, jika kita mahukan masyarakat Islam yang lebih maju, kita perlu menyokong usaha untuk membina kepakaran dalam banyak bidang: kejuruteraan, kedoktoran, guaman, geopolitik, sains dan teknologi, dan banyak lagi, dan bukan hanya agamawan sahaja.



Islam di Singapura juga telah melalui beberapa evolusi. Marilah sama-sama kta gali sejarah pengIslaman di negara kita ini. Kadang-kala, kita dapat rasakan bahawa Islam yang diamalkan sebelum tahun-tahun revivalisme Islam sekitar tahun 1970an menunjukkan nenek-moyang kita lebih toleran walaupun mereka kuat beragama. Jangan lupa, mereka juga menghasilkan ulama-ulama tersohor yang menjadi guru pada ulama-ulama sekarang, Lantas, tidak mungkin mereka kurang fahaman agama.



  • Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia.


"Tentu sekali ada kemahuan kita yang harus diberi laluan, tapi kita juga ingat bahawa masyarakat lain juga ada berkompromi dalam banyak hal. Malah Singapura memberikan inspirasi kepada negara-negara rencam lain kerana aktif dalam mempromosikan dialog silang agama."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >