Hampir setiap hari apabila pulang ke rumah, pasti ibu atau ayah akan bertanya soalan tentang sesuatu yang mereka lihat atau baca di Internet dan media sosial.
“Kak (panggilan ibu dan ayah kepada saya), betul ke orang ni dah meninggal?”.
“Kak, betul ke pemerintah nak beri duit kepada rakyat?”.
“Kak, biar betul haiwan ni warna-warni macam ini?”.
Mujur, ibu bapa saya orang yang berfikir dan mempersoalkan apa yang mereka baca dan lihat di media sosial daripada percaya bulat-bulat.
Terutamanya sejak pandemik Covid-19, media sosial menjadi tempat bagi orang ramai ‘korek’ maklumat dan juga berkongsi informasi yang mereka rasa menarik atau penting untuk diketahui keluarga, rakan dan kenalan.
Namun, apakah semua maklumat yang diperolehi atau dikongsi itu benar atau tidak?
Lebih penting, tahukah mereka cara memastikan sama ada maklumat tersebut sahih atau palsu?
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) juga menjadikan langkah mengesan dan menilai jika suatu berita, gambar atau video itu betul atau tidak lebih mencabar.
Bahkan, satu tinjauan oleh Pusat Integriti Maklumat dan Internet Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2022 menunjukkan walaupun sekitar separuh warga Singapura yang ditinjau – 48 hingga 53 peratus – berkata mereka yakin dapat mengesan jika sesuatu maklumat di media sosial itu sahih atau palsu, 69 hingga 76 peratus mengaku telah berkongsi berita palsu tanpa disedari.
Pada awalnya, konsep mengesahkan kesahihan berita atau laporan melalui sumber yang dipercayai amat sukar untuk ibu bapa saya fahamkan.
Bahkan, mereka anggap apa sahaja yang ditemui di laman pencarian Google itu betul kerana pada mereka, Google satu platform rasmi.
Namun, begini saya jelaskan kepada mereka dengan menggunakan analogi pasar:
Apabila ibu dan ayah pergi pasar dan ingin membeli ikan, pastinya bukan hanya ada satu kedai ikan, malah terdapat pelbagai kedai yang juga menjual ikan dalam pasar yang sama.
Jadi apa yang ibu dan ayah selalu lakukan?
Mesti ibu dengan ayah pergi dari kedai ke kedai untuk pilih ikan, lihat dan belek betul-betul untuk pastikan ikannya bersih dan segar, selain harganya berpatutan.
Jika ikannya kurang segar atau harganya terlalu mahal, ibu dan ayah mesti pergi mencari di kedai lain.
Dan apabila sudah jumpa ikan yang segar dan bersih dengan harga yang berpatutan, ibu dan ayah mesti akan beli ikan di kedai itu bukan?
Begitulah juga dengan Google.
Google boleh diibaratkan sebagai pasar – apabila mencari sesuatu di Google, pengguna akan disajikan bermacam maklumat daripada pelbagai sumber.
Oleh itu, seperti membeli ikan di pasar, perlulah pengguna memastikan mereka memilih maklumat untuk dibaca daripada sumber yang boleh dipercayai.
Contoh sumber boleh dipercayai adalah sumber akademik seperti artikel dan buku ilmiah, laman web pemerintah dan organisasi berita yang bereputasi.
Lazimnya, maklumat dan laporan daripada sumber boleh dipercayai ini telah disemak pakar, menjalani semakan atau dihasilkan institusi mapan yang terkenal dengan ketepatan dan objektiviti.
Bagaimana pula jika laporannya daripada laman web alternatif atau daripada laman web yang meragukan?
Tidak semua maklumat di laman web alternatif atau laman web yang tidak dikenali itu palsu.
Pokoknya, jika sesuatu yang dibaca itu nampak terlalu luar biasa, mungkin ada yang tidak kena, dan perlu diperiksa dan dinilai maklumatnya dengan sumber yang boleh dipercayai bagi memastikan ia benar-benar sahih.
Apabila kita tahu sesuatu sumber itu selalu menerbitkan laporan sahih dan boleh dipercayai, ia akan menjadi satu kebiasaan bagi kita untuk berulang kali kembali ke sumber yang sama untuk mendapatkan maklumat.
Sama juga seperti analogi pasar yang diberikan awal tadi – jika kita sudah temui kedai yang kita tahu menjual ikan yang segar pada harga yang berpatutan, pastinya kita akan kembali berulang kali untuk membeli ikan di kedai yang sama kerana kita sudah mempercayai mutu dan harganya.
Namun, apa yang lebih membimbangkan saya adalah kemunculan kandungan yang dijana AI – ia lebih mencabar bagi ibu bapa saya menentukan jika sesuatu gambar atau video itu adalah betul atau dihasilkan teknologi.
Ini walaupun saya telah berkongsi panduan tanda-tanda untuk mengesan jika suatu kandungan itu dijana AI.
Dalam gambar contohnya, jika manusia itu dipaparkan dengan tekstur kulit sungguh licin dan berkilat atau kedudukan anggota badannya kelihatan pelik, atau katak dalam gambar nampak sungguh berwarna-warni dan corak pada tubuhnya luar biasa, ia kemungkinan besar adalah imej janaan AI.
Dalam video pula, jika manusia yang bercakap itu mempunyai pergerakan yang tidak semula jadi dan nada suaranya mendatar seakan robot, tidak seperti manusia biasa yang mempunyai nada naik turun dan menzahirkan perasaan ketika bercakap, ia juga kemungkinan besar dijana AI.
Bayangkan betapa bimbangnya saya apabila menonton video seorang doktor yang memberi nasihat kesihatan, walhal ‘doktor’ yang bercakap itu sebenarnya ‘manusia’ yang dijana AI – dan ia boleh menyebabkan ramai orang terpedaya dan terpengaruh dengan kata-katanya.
Justeru, jika tidak pasti atau tidak tahu apakah kandungan yang dibaca dan ditonton itu betul atau tidak, adalah penting untuk periksa, periksa dan periksa.
Dan jika masih tidak pasti, tanyalah orang di sekeliling atau pihak yang relevan bagi memastikan kesahihan, kerana jika malu bertanya, sesat jalan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg