Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cari keseimbangan hidup, bekerja

Nov 16, 2025 | 5:30 AM
Wartawan bersama rakan sekerja menonton teater Phantom of the Opera pada salah satu malam hari bekerja.
Wartawan bersama rakan sekerja menonton teater Phantom of the Opera pada salah satu malam hari bekerja. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Dalam laporan oleh Reeracoen baru-baru ini, Singapura sekali lagi menduduki di tangga teratas di Asia dalam aspek keseimbangan kerja dan kehidupan.

Apa yang menarik perhatian saya ialah dapatan bahawa pekerja muda, terutamanya Gen Z, semakin mementingkan kesejahteraan diri.

Malah, 72 peratus daripada pekerja Gen Z di Singapura meletakkan keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai faktor lebih penting berbanding gaji ketika memilih majikan.

Pada masa yang sama, saya turut melihat semakin banyak trend TikTok “My 5–9 after my 9–5” (istilah bagi masa selepas waktu bekerja) di FYP (halaman untuk anda) saya.

Ramai berkongsi rutin atau aktiviti selepas kerja seperti bersenam, membaca, memasak, atau keluar makan bersama rakan seolah-olah mengingatkan kita bahawa kehidupan tidak berhenti selepas waktu pejabat.

Gabungan trend ini dengan dapatan kajian tadi membuatkan saya berfikir: mungkinkah generasi muda semakin sedar bahawa hidup tidak seharusnya terbatas pada membina kerjaya?

Sejak saya mula bekerja sepenuh masa pada 2023 sebagai wartawan video Berita Harian, saya sendiri menjadi seorang penyokong kuat idea ini.

Saya selalu percaya bahawa kehidupan kita tidak patut terhenti pada 5 petang.

Kita tidak perlu menunggu hujung minggu semata-mata untuk melakukan perkara yang menyeronokkan.

Jika ada masa dan kemampuan, mengapa tidak bertemu rakan selepas kerja, keluar makan atau sekadar berjalan-jalan untuk mengosongkan fikiran?

Bagi saya, mengisi masa selepas kerja adalah cara untuk mencari kembali diri saya di luar identiti sebagai seorang pekerja.

Ada hari saya keluar menonton wayang secara spontan bersama abang, dan ada masa pula rakan-rakan datang ke rumah hanya untuk berbual. Kadangkala saya juga keluar mencuba kedai makan baru bersama kawan-kawan.

Jujurnya, semua ini kadang-kadang lebih bermakna daripada menunggu hujung minggu yang sibuk. Siapa kata kita perlu “ada alasan” untuk menikmati hari biasa?

Saya juga mula melihat bagaimana orang sekeliling saya mengubah cara mereka menggunakan masa ‘5–9’.

Rakan-rakan dan ahli keluarga saya misalnya, menggunakan hari kerja untuk bersukan dan bermain pickleball bersama. Bukan sahaja ia cara untuk kekal sihat, tetapi ia juga menjadi ruang untuk kami menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja.

Namun, dalam masa yang sama, saya faham bahawa tidak semua orang mampu menikmati ‘5–9’ yang ideal. Bagi sesetengah, pulang ke rumah tepat pada waktunya pun sudah satu kemenangan.

Ada yang perlu menjaga anak atau ibu bapa, ada yang bekerja syif, dan ada yang kekurangan tenaga selepas seharian bekerja. Untuk mereka, “keluar selepas kerja” mungkin bukan satu pilihan, dan itu bukan salah sesiapa. Memiliki masa dan tenaga untuk buat hal sendiri selepas kerja pun sebenarnya bukan sesuatu yang semua orang mampu.

Tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah, ‘5–9’ tidak perlu kelihatan estetik sempurna seperti di TikTok. Ia tidak perlu dipenuh banyak aktiviti atau kelihatan sangat produktif. Ia hanyalah masa untuk diri sendiri, walaupun sekadar membaca dua muka surat buku, makan malam bersama keluarga, atau berjalan kaki sebentar sebelum pulang.

Sebagai anak muda yang masih belajar memahami dunia pekerjaan, saya sedar bahawa keseimbangan hidup bukan sekadar slogan. Ia usaha kecil yang kita lakukan setiap hari untuk memastikan kita tidak hilang dalam kesibukan hidup.

Kerana meskipun kerjaya boleh menjadi sumber kegembiraan, ia bukan keseluruhan cerita kita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg