Batuk berpanjangan jadi petanda barah limfoma
TIDAK ada lagi yang penting melainkan masa yang berbaki di dunia ini. Itulah perasaan Encik Helmi (nama samaran).
Semuanya bermula apabila beliau sering batuk tanpa henti.
Lehernya juga membengkak dan semakin hari beliau semakin susah bernafas, dadanya terasa seperti dihimpit. Beliau juga sentiasa berasa sangat penat.
Namun, setiap pemeriksaan yang dijalaninya - daripada ujian batuk kering kepada hepatitis, malahan HIV - semuanya negatif.
Tetapi pada 2018, keputusan ujian biopsi tisu dan imbasan CT menunjukkan ketumbuhan sebesar hampir 12 sentimeter (sm) antara paru-parunya positif limfoma tahap empat.
Encik Helmi dirujuk kepada pakar hematologi dan selepas berjumpa doktor pakar, beliau terus dimasukkan ke wad.
Bermulalah episod hospital sebagai rumah keduanya. Beliau fokus pada rawatan kemoterapi dan sebagainya serta mengambil keputusan mengubah cara hidup.
Tidak kira bila ajalnya akan tiba, beliau mesti kuatkan semangat. Beliau enggan mengalah tanpa berjuang.
Encik Helmi juga mengamalkan berlari-lari anak selang sehari. Pada mulanya, beliau hanya berjalan pantas kerana ketumbuhan antara paru-parunya itu menghimpit saluran nafasnya.
Selain itu, beliau menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan stres.
Selepas menjalani 16 sesi kemoterapi, ujian imbasan PET menunjukkan masih ada kanser di beberapa bahagian badannya walaupun sudah banyak berkurang.
Laporan ujian tersebut betul-betul mematahkan semangatnya ketika itu. Doktor pakar mencadangkan pembedahan pemindahan sumsum tulang sebagai rawatan susulan.
Setelah sebulan berlalu, beliau mengambi keputusan menjalani pemindahan sumsum dan pulih setelah berbulan-bulan lamanya.
Sikap positif, semangat bantu atasi barah darah
MENJALANI kehidupan lebih ceria walaupun pernah disahkan doktor mempunyai jangka hayat beberapa hari.
Dua tahun sebelum didiagnos kanser, Cik Halimah (nama samaran) sering demam dengan suhu badan mencecah 40 darjah Celsius. Ketika itu beliau sangka hanya demam biasa.
"Apabila ubat habis, demam datang semula sehingga saya mengalami sesak nafas yang teruk. Selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor sahkan saya menghidap kanser darah tahap empat," dedah Cik Halimah, yang jatuh koma selama enam hari.
Ramai menyangka usianya tidak panjang kerana keadaan berikutan tahap oksigen yang semakin menurun. Namun Cik Halimah menunjukkan perubahan positif.
Beliau bertanya kepada pakar mengenai kesan kemoterapi terhadap kanser.
Beliau mengambil risiko untuk tidak melakukan kemoterapi tetapi mendapatkan rawatan alternatif, menjaga pemakanan yang menguatkan antibodi dan meneruskan perubatan moden menurut nasihat doktor.
Hasil gabungan rawatan yang dilakukan secara konsisten, dorongan dan semangat keluarga serta kekuatan diri, anak muda ini kembali sihat dan bertenaga.
Beliau mengakui kekuatan dan semangat penghidap kanser untuk terus berjuang melawan sel kanser banyak bergantung pada emosi serta sokongan keluarga berbanding pemakanan dan ubat-ubatan.
Walaupun belum pulih sepenuhnya, Cik Halimah bersyukur sel kanser berada dalam keadaan normal.
Benjolan pada buah dada disangka bengkak susu
CIK Maria, 57 tahun, hilang semangat meneruskan hidup selepas disahkan menghidap kanser buah dada tahap tiga.
Sejak disahkan menghidap penyakit yang paling digeruni wanita ini pada 2019, ibu lima anak itu berasa tidak ada harapan untuk hidup akibat penderitaan dilalui dan pelbagai keperitan serta kesakitan.
Pada satu tahap, Cik Maria berkata ahli keluarganya, termasuk rakan dan saudara-mara berkumpul di rumahnya seperti untuk menziarahinya buat kali terakhir kerana beliau sudah tenat dan tidak mampu bergerak.
Beliau sedih mengenangkan keadaan itu - hanya terlantar dan memikirkan keadaan anak-anak yang masih bersekolah serta masa depan mereka.
Namun dengan usaha berterusan dan semangat kental, termasuk mengamalkan pemakanan sihat, doktor mengesahkan beliau bebas kanser buah dada enam bulan kemudian.
Tiada kata-kata, selain syukur kepada Allah kerana memakbulkan doanya.
Menurut Cik Maria, pada awalnya dikesan, ada benjolan pada buah dadanya yang disangka bengkak susu kerana menyusukan anaknya.
Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan ia kanser dan sepanjang tempoh sakit itu, beberapa kali beliau dijadualkan menjalani pembedahan, tetapi tidak dilakukan.
Beliau tidak melakukan kemoterapi memandangkan sudah tahap tiga dan bimbang memberi kesan sampingan lain, sebaliknya hanya mengamalkan pemakanan sihat dan mengambil ubat dibekalkan doktor.
Beliau berkata, berkata kesakitan yang dialaminya sukar terangkan dengan kata-kata.
Beliau mula mengubah corak pemakanan sihat, iaitu mengamalkan biji aprikot selain memakan beras perang.
Tidak diberitahu hidap kanser ovari pada usia 12 tahun
Nora (nama samaran) berusia 12 tahun ketika didiagnosis menghidap kanser ovari tetapi tidak diberitahu mengenainya.
Dia hanya dibawa menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan setiap dua minggu.
Menurut Nora, ibu bapanya merahsiakan penyakit itu sehingga dia meminta mereka menceritakan perkara sebenar.
Pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan sista yang besar. Selepas itu, dia terpaksa menjalani enam rawatan kemoterapi yang menyebabkan rambutnya gugur.
Nora mengambil masa kira-kira setahun untuk pulih dan ketinggalan dalam pelajaran.
Tetapi dia selamat dan menjalani kehidupan normal selama tujuh tahun, kecuali dia sering berasa letih.
Beliau belajar dengan tekun dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Tetapi keceriaan Nora kembali merudum apabila beliau didiagnosis dengan sejenis kanser lain pada tahun pertama di universiti. Kali ini kanser tiroid.
Nora berkata beliau mengambil masa untuk mendapatkan kekuatan untuk menjalani rawatan. Beliau hanya menjalani pembedahan untuk membuang kanser.
Beliau tidak pernah meninggalkan ubat-ubatnya dan makan secara sederhana. Beliau gembira kerana tidak berputus asa dan kini selamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg