Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Di sebalik 'Cerita'

SUFIYAN HANAFI,AFIQAH ZAINAL

Jul 18, 2022 | 05:30 AM



MUZIUM merupakan nadi pemeliharaan artifak, dan sekali gus warisan daripada kisah-kisah yang dibawa turun-temurun.



Pelbagai artifak diperolehi dan dipelihara dengan tujuan untuk membentuk atau mengisahkan kembali sesuatu fenomena yang fizikal mahupun yang abstrak.



Kisah-kisah yang terkandung dalam sesebuah objek itu sudah tertentu berbeza dalam sejarah 'kehidupannya', dari saat ia dicipta, sehingga ia digunakan dan akhir sekali, semasa disimpan atau dipamerkan di dalam muzium.



Dalam proses mengilhamkan sebuah pameran, pelbagai pihak pemelihara akan berbanting tulang demi memastikan pengendalian dan penjagaan artifak-artifak agar ia dapat dinikmati oleh generasi-generasi yang akan datang.



Penyelenggaraan sesebuah pameran memerlukan usaha kerjasama yang meluas, dan sering menjangkau lebih daripada perkarangan muzium itu sendiri.



Tugas seorang kurator boleh diibaratkan seperti seorang penglipur lara yang mengumpulkan segala kisah-kisah melalui kaji selidik ataupun temu duga dengan pihak-pihak yang memainkan peranan dalam pameran tersebut.



Mereka juga bertanggungjawab untuk menyusun dan mempersembahkan karya-karya seni kepada para pengunjung pameran.



Rencana ini menelusur peranan oleh rakan-rakan sekerja dari jabatan Pengurusan Koleksi (CM) serta Pengurusan Informasi dan Pengetahuan (KIM) di Pusat Pemuliharaan Warisan (HCC), di Jurong Port Road di mana Koleksi Negara kita ditempatkan.



MENGURUS MAKLUMAT ARTIFAK



Pernahkah anda terfikir bagaimana muzium-muzium menjejaki artifak-artifak yang terkandung dalam Koleksi Negara? Pernahkan anda renungkan bagaimana seorang kurator merancang artifak yang bakal ditampilkan dalam pameran seperti 'Cerita'?



Ini semua tugas seharian Jabatan KIM di HCC. Jabatan ini mempermudahkan proses dokumentasi dan capaian digital untuk Koleksi Negara. Pasukan ini terdiri daripada jurugambar, pengurus sistem dan katalog.



Mereka bersama-sama menguruskan rekod digital artifak dalam Koleksi Negara. Pangkalan data Koleksi Negara akan merakam setiap maklumat, dari masa perolehan artifak hinggalah penyimpanannya, serta semasa artifak itu berpindah ke muzium atau dipinjamkan ke muzium lain di luar negara.



Jabatan KIM HCC menguruskan dokumentasi visual, sistem pengurusan maklumat artifak dan pengkatalogan semua artifak yang diperoleh ke dalam Koleksi Negara.



Apabila sesuatu artifak diperoleh oleh muzium dan diterima oleh HCC, ia akan melalui proses 'accessioning' - ataupun proses pendaftaran, di mana artifak atau karya seni itu diperiksa, diukur, dan ditandakan dengan nombor sebelum dimasukkan ke dalam pangkalan data Koleksi Negara.



Sebahagian daripada proses pendaftaran termasuk pendokumentasian artifak secara visual melalui fotografi digital, yang bermula pada tahun 2001. Adalah penting untuk merakamkan gambar artifak, bukan sahaja untuk tujuan rekod dan dokumentasi, tetapi juga untuk penerbitan dan penggunaan media.



Kebanyakan dokumentasi visual dilakukan di studio fotografi HCC. Tugas jurugambar kami bukanlah sesuatu yang mudah disebabkan oleh kepelbagaian jenis artifak yang kami ada. Jenis objek yang berbeza memerlukan susunan dan tetapan yang khas, bergantung pada reka bentuk, saiz dan bahan artifak tersebut.



Gambar-gambar yang diambil kemudiannya dimuat naik ke dalam pangkalan data Koleksi Negara. Ia juga diterbitkan dalam laman web Roots.sg atau dipaparkan dalam penerbitan muzium bercetak.



Pernahkah anda terfikir bagaimana enjin carian mengeluarkan hasil carian yang berkaitan? Tahukah anda tentang usaha di sebalik tanda pagar dan susunan kandungan dalam garis masa media sosial anda?



Begitu juga, katalog di jabatan KIM bekerja di belakang tabir untuk meningkatkan dan membantu dalam pencarian dan pengambilan artifak dalam pangkalan data kami.



HCC telah memulakan pengkatalogan bahan warisan pada 2014. Proses ini melibatkan peristilahan untuk memberi penerangan tentang artifak dalam pangkalan data digital Koleksi Negara.



Seperti semua khazanah, setiap artifak dan karya seni mempunyai sejarah yang kaya, dari asal usul dan maklumat penting dari segi sejarah.



Maklumat yang luas dan mendalam dari kurator, pengurus koleksi dan konservator akan dinilai oleh pasukan pengkatalogan.



Pasukan ini kemudiannya menyusun dan mengkategorikan data tersebut dalam bentuk istilah atau frasa pendek.



Dalam usaha ini, mereka akan merujuk kepada tesauri tempatan dan antarabangsa, piawaian muzium antarabangsa. Berdasarkan garis panduan pengkatalogan HCC, pegawai katalog akan memilih istilah yang paling sesuai untuk ditanda merentas pelbagai bidang untuk menerangkan artifak dalam sistem, seperti jenis objek, bahan, teknik pembuatan dan bidang khusus.



Penggunaan istilah yang tepat akan memastikan pengambilan semula data yang berkaitan dengan betul.



Cuba ambil contoh Pencetak Manual Adana (2006-00306) dari koleksi Muzium Negara Singapura yang dipamerkan dalam pameran 'Cerita' di galeri Mereka.



Penandaan istilah seperti "pencetak" untuk jenis objek, "logam" dan "kayu" untuk bahan, dan "alat" serta "penerbitan" sebagai bidang khusus, akan mengemaskinikan sebuah catatan tentang artifak tersebut.



Ciri-ciri artifak, seperti bahan asal dari mana ia diperbuat, peranannya sebagai sebuah alat penerbitan yang memikul kisah tradisi kraf tangan di Nusantara.



Penggunaan dan penandaan yang seragam bagi istilah sedemikian memudahkan pencarian dan pengambilan artifak ini bersamaan pencetak atau alat penerbitan lain yang serupa dalam koleksi.



Penandaan istilah juga merangkumi boleh dilihat dari laman warisan Roots.sg Lembaga Warisan Negara (NHB). Sebagai contoh, mereka yang mencari "Zubir Said" di lelaman Roots.sg akan disambut dengan pelbagai hasil pencarian, dari artifak piano Zubir Said yang dipamerkan di galeri tetap TWM, ke artikel 'Zubir Said dan Golden Age of Singapore Cinema'.



Oleh itu, pegawai katalog di KIM membantu dalam menyusun, menyeragamkan dan menstruktur maklumat yang diberikan oleh institusi pengumpul, untuk memastikan maklumat artifak kekal boleh diakses dalam alam maya untuk kegunaan dalaman serta orang awam.



MENGURUSKAN KOLEKSI NEGARA KITA



Jabatan pengurusan koleksi memainkan peranan penting dalam memastikan artifak-artifak dari sesebuah pameran disiapkan dan diperkemas secara teratur sebelum dihantar ke muzium.



Tugas seorang pengurus koleksi tidak hanya tertumpu pada pengendalian akses. Beliau juga menguruskan pelbagai artifak dalam Koleksi Negara, dari proses dokumentasi, penyimpanan serta pemeliharaan artifak-artifak tersebut.



Dalam fasa awal pencetusan pameran, para kurator akan menyerahkan senarai artifak-artifak kepada HCC untuk diteliti.



HCC akan juga menilai kesesuaiannya untuk pameran tersebut. Pengurus koleksi bertanggungjawab untuk pengambilan dan peralihan artifak. Tetapi, sebelum itu, beliau akan berunding dengan pegawai pemulihara, tentang apa-apa isu berkaitan dengan artifak tersebut.



Proses penyediaan artifak memerlukan penyelarasan dengan jabatan-jabatan lain di dalam HCC. Oleh itu, pengurus koleksi tersebut bertindak sebagai pengurus projek yang memastikan ahli-ahli pasukannya mematuhi garis masa yang telah ditetapkan.



Selain jabatan KIM, CM juga bekerja rapat dengan rakan-rakan dari Jabatan Pemuliharaan, di mana artifak-artifak menjalani rawatan serta kerja persediaan demi memastikan ianya selamat untuk dihantar dan dipamerkan.



Pengurus koleksi tersebut akan menjejaki setiap pergerakan artifak, termasuk peralihan keluar dari kawasan penyimpanan dan pemindahan ke makmal untuk kerja-kerja pemuliharaan.



Sebaik sahaja pemilihan kurator tersebut telah disahkan, artifak-artifak tersebut akan diserahkan kepada para konservator yang berkenaan untuk dirawat.



Terdapat lima jabatan pemuliharaan di HCC iaitu, objek, kertas, lukisan, tekstil serta sains pemuliharaan. Mereka diasingkan berdasarkan pengkhususan bahan. Jabatan Sains pemuliharaan pula memberi tumpuan kepada penyelidikan ke dalam sifat-sifat saintifik dalam bahan-bahan yang membentuk sesebuah objek.



Jabatan tersebut juga mengkaji kesesuaian bahan-bahan atau kimia yang digunakan untuk merawat pelbagai artifak serta karya seni di dalam Koleksi Negara.



Akhir sekali, apabila artifak telah dirawat, ia akan diserahkan kepada jurugambar sebelum diserahkan kembali kepada pengurus koleksi untuk dirapikan. Setelah itu, proses penghantaran akan dimulakan.



Sebelum dipindahkan ke muzium, artifak akan dibungkus dengan bantuan pengendali seni di bawah pengawasan teliti oleh pengurus koleksi tersebut. Ini adalah penting kerana pengurus koleksi perlu mengambil kira secara menyeluruh pelbagai isu yang terdapat pada artifak-artifak tersebut.



Selain kaedah pembungkusan yang sesuai, pemilihan bahan pembungkusan yang betul adalah penting untuk mencegah sebarang bentuk kemalangan yang boleh mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan pada artifak.



Apabila merapikan artifak untuk pengangkutan, adalah penting untuk menyediakan:



- Sokongan penuh untuk setiap objek



- Perlindungan daripada sebarang getaran dan gegaran



- Perlindungan daripada perubahan persekitaran dan iklim secara mendadak



- Perlindungan daripada sinaran cahaya dan ultra ungu



Adalah penting untuk memastikan bahan pembungkusan harus mempunyai ciri-ciri berikut:



- Melindungi permukaan artifak - ia seharusnya melindungi artifak daripada bahan pencemar atau sentuhan manusia. Bahan tersebut harus lembut, bebas asid dan tidak ada kesan tindak balas bahan untuk mencegah kerosakan pada permukaan artifak.



- Direka mengikut reka bentuk dan mampu untuk melindungi artifak - ini untuk memastikan bahawa bahan boleh menyerap segala gegaran secara langsung kepada artifak tersebut.



- Insulasi - ini menghalang objek daripada kerosakan yang disebabkan oleh perubahan suhu yang mendadak.



- Penampan atau penyerap lembapan - jika bahan pembungkus dapat membantu menampan objek terhadap turun naik dalam kelembapan bandingan, ini akan membantu untuk mengelakkan kerosakan pada objek daripada disebabkan oleh perubahan tersebut.



Di sepanjang proses ini, pengurus koleksi senantiasa memastikan keselamatan artifak dari saat ia diambil dari kawasan penyimpanan masing hingga ia dibungkus untuk penghantaran.



Berikut adalah beberapa langkah pencegahan yang harus diamati semasa mengendalikan artifak:



- Hormati setiap karya seni seolah-olah ia adalah bahan yang paling penting dalam koleksi.



- Gunakan sarung tangan untuk mengendalikan pelbagai karya seni. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang minyak atau kotoran dari jari-jemari kita daripada yang mungkin akan menyebabkan kerosakan pada permukaan artifak. Tambahan pula, sarung tangan melindungi kita daripada sebarang bahan berbahaya yang mungkin digunakan untuk menghasilkan atau merawat artifak sebelum ini.



- Fahami artifak yang ingin dialihkan dan periksa dengan teliti struktur artifak tersebut memahami terutama sekali kawasan-kawasan yang rapuh.



- Jangan tergesa-gesa dan bergerak secara perlahan ketika mengalihkan atau membawa sesebuah objek.



Jika dilihat dari sudut lain, peranan seorang pengurus koleksi seolah-olah suara objek itu sendiri. Ini kerana mereka perlu mengumpulkan pelbagai maklumat sebelum mereka boleh membuat keputusan termaklum mengenai cara artifak itu dikendalikan, dibungkus dan dipamerkan,



MEMELIHARA DAN MEMPERSEMBAHKAN KEPELBAGAIAN CERITA



Pameran 'Cerita' di TWM mengetengahkan perkongsian kisah-kisah dan peranan pencerita melalui tinjauan dari lensa artifak terpilih dari rangkaian kerjasama TWM sedekad lalu.



Lebih-lebih lagi, rencana ini mengetengahkan HCC sebagai institusi utama dalam menyokong muzium sebelum mendirikan sebuah pameran. Pelbagai jabatan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan kita, sama ada melalui pengendalian, penyimpanan dan pengurusan maklumat artifak yang betul untuk memastikan akses ke dalam rekod kekal.



Pihak muzium kemudiannya mempersembahkannya dalam bentuk fizikal di ruang galeri ataupun di alam maya. 'Cerita' dibuka dari 29 Januari hingga 31 Oktober 2022 (muzium ditutup pada setiap hari Isnin).



Pelawat tempatan dan antarabangsa boleh juga membuat lawatan secara maya melalui laman web TWM di http://www.malayheritage.gov.sg.




► Afiqah pengurus katalog dan Sufiyan pula pengurus koleksi di HCC.




“Pameran ‘Cerita’ di Taman Warisan Melayu (TWM) mengetengahkan perkongsian kisah-kisah dan peranan pencerita melalui tinjauan dari lensa artifak terpilih dari rangkaian kerjasama TWM sedekad lalu. Lebih-lebih lagi, rencana ini mengetengahkan HCC (Pusat Pemuliharaan Warisan) sebagai institusi utama dalam menyokong muzium sebelum mendirikan sebuah pameran. Pelbagai jabatan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan kita, sama ada melalui pengendalian, penyimpanan dan pengurusan maklumat artifak yang betul untuk memastikan akses ke dalam rekod kekal.”
– Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >