Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Dulu bantu bapa di kedai kopi, kini peguam korporat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

UNDANG-UNDANG & ANDA

Dulu bantu bapa di kedai kopi, kini peguam korporat

* Kohe Hasan tidak pernah lupa asal usul hidup mencabar semasa bantu bapa jual burger tidak lama dulu * Kini beliau rakan kongsi wanita pertama di pejabat Singapura Reed Smith
* Tugasnya mewakili syarikat-syarikat Fortune 500, syarikat berbilang negara (MNC) dan syarikat serantau
Jun 21, 2020 | 05:30 AM



Dalam mengharungi krisis Covid-19, warga setempat pastinya menghadapi tekanan akibat penutupan syarikat mahupun pemberhentian pekerja. Kesukaran dihadapi itu kadangkala mencetuskan pertikaian yang tidak dapat dielakkan. Satu ruangan undang-undang baru, Undang-Undang dan Anda, diperkenalkan di BERITA MINGGU yang membolehkan orang ramai mendapat penjelasan mengenai isu-isu itu dari sudut guaman. Dalam siri pertama ini, kami menampilkan seorang peguam korporat, Cik Kohe Hasan, yang juga rakan kongsi firma guaman Amerika Syarikat, Reed Smith LLP. Ruangan ini diadakan sekali setiap dua minggu.




DAHULU beliau membantu bapanya membuat burger Ramly di kedai kopi, kini beliau merupakan peguam korporat yang menyediakan khidmat guaman serantau.



Pengalaman Cik Kohe Hasan membantu di kedai kopi milik bapanya di Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTM) di Tanjong Pagar banyak membuka matanya.



Ia mengajarnya erti kerja keras dan pergorbanan yang dilakukan bapanya, Encik Mahmoodul Hasan, 77 tahun, dalam membesarkan beliau dan dua beradiknya yang lain setelah ibu mereka meninggal dunia sekitar 13 tahun lalu.



Penat-lelah membantu bapanya tidak pun membuat Cik Kohe hilang tumpuan dalam pelajarannya.



Bahkan, bekas pelajar Maktab Rendah Temasek itu berjaya menjadi antara pelajar terbaik di sekolahnya dengan mendapat gred A bagi empat mata pelajarannya dalam Peperiksaan GCE Peringkat 'A' dan selanjutnya mengikuti ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Kini, peguam itu merupakan rakan kongsi syarikat guaman Amerika Syarikat, Reed Smith. Beliau juga merupakan rakan kongsi wanita pertama di pejabat Singapura Reed Smith.



Firma guaman antarabangsa itu dikenali dalam bidang tenaga dan sumber semula jadi serta perkapalan dan luar pesisir.



Tugasnya banyak tertumpu dalam menyediakan khidmat guaman bagi mewakili syarikat-syarikat Fortune 500, syarikat berbilang negara (MNC) dan syarikat serantau apabila terdapat pertikaian korporat yang berlaku di negara-negara serantau.



Ia membawanya untuk mewakili pelanggan di negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.



"Sebelum Covid-19, tugas saya membawa saya ke luar negara hampir setiap minggu. Di Kemboja, misalnya, saya mewakili sebuah keluarga berpengaruh di sana," ujar Cik Kohe.



"Peniaga wanita itu akan menelefon saya dan saya akan terbang untuk minum kopi bersamanya sebelum terbang semula ke Singapura. Walaupun beliau tidak dapat berbahasa Inggeris, kami berkomunikasi melalui pergerakan tangan dengan bantuan penolong peribadinya yang mengalih-bahasakan apa yang ingin disampaikan.



"Ia agak lucu tetapi perbezaan bahasa itu tidak menghalang beliau mengambil saya sebagai peguam bagi mewakili kepentingannya,'' tambah peguam berusia 39 tahun itu.



Dengan tugasnya bersifat serantau, beliau juga perlu mahir dalam mengetahui undang-undang negara serantau.



Tahun lalu, Cik Kohe dinamakan sebagai antara 40 karyawan guaman bawah usia 40 tahun cemerlang di Asia.



Senarai itu diterbitkan penerbitan guaman terkemuka, Asian Legal Business.



Cik Kohe dikenal pasti dan dimasukkan dalam senarai tersebut bersama 39 karyawan guaman cemerlang lain dari pelbagai negara termasuk Jepun, Hongkong, Indonesia, India, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Korea Selatan.



Mereka telah menyumbang kepada antara perjanjian serta penyelesaian pertikaian paling penting sepanjang tahun lalu selain diiktiraf rakan sekerja, atasan dan klien mereka.



Menyingkap antara projek yang memberikan kesan, beliau mengongsi pengalaman terlibat dalam projek kuasa besar di Kemboja.



Menerusi projek itu, pembekal elektrik nasional negara itu, Electricite Du Cambodge (EDC), menandatangani perjanjian dengan dua penyedia kuasa bebas di Laos.



Hasilnya, ini akan memenuhi sekitar 40 peratus keperluan elektrik bagi Kemboja menjelang 2029.



"Ini amat memuaskan bagi saya kerana usaha ini mempunyai kesan bermakna pada jutaan orang di Kemboja," ujarnya.



Sebagai seorang peguam Muslim, Cik Kohe berkata beliau berharap pengiktirafan yang diberikan kepadanya dapat menjadi sumber inspirasi bagi lebih ramai peguam lain di sini melibatkan diri dalam projek prasarana rentas sempadan.



"Terdapat banyak peluang seperti ini di rantau ini dan saya harap lebih ramai peguam Muslim akan turut terlibat dengannya."



Dalam usaha menyumbang semula kepada masyarakat, Cik Kohe juga aktif sebagai anggota lembaga Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) yang diberi tugas memprofesionalkan operasi dan memastikan mereka mengikut perlembagaan.



"Saya mengenali Pak Farid Khan (Presiden DPPMS) dan melihat kesungguhan beliau membawa pembaharuan dalam Dewan dan membantu anggota kami. Apabila saya diminta menyalur tenaga, saya bersetuju,'' ujarnya.



Beliau mendapati terdapat peniaga yang berhadapan dengan isu tidak dapat membayar sewa lebih-lebih lagi semasa penularan Covid-19 ini.



Ada pula peniaga yang membentuk perniagaan persendirian (sole proprietorship) yang mendapati hartanya boleh dirampas jika berlaku masalah dalam perniagaan mereka.



"Sejak kecil, saya lihat cabaran yang diharungi bapa saya semasa menjalankan perniagaan di KTM. Justeru, walaupun bekerja dalam bidang guaman korporat, naluri saya masih kuat untuk membantu bisnes-bisnes kecil dan sederhana, apatah lagi, bisnes-bisnes itu kini hebat tergugat akibat penularan Covid-19.



"Melalui ruangan undang-undang yang baru yang akan saya sumbangkan di Berita Minggu, saya harap dapat memberi sedikit bimbingan kepada bisnes-bisnes ini,'' kata Cik Kohe.




REBUT DAN MANFAATKAN PELUANG DI RANTAU INI



Terdapat banyak peluang seperti ini di rantau ini dan saya harap lebih ramai peguam Muslim akan turut terlibat dengannya.



MAHU HULUR BANTUAN KEPADA BISNES KECIL, SEDERHANA



Sejak kecil, saya lihat cabaran yang diharungi bapa saya semasa menjalankan perniagaan di KTM. Justeru, walaupun bekerja dalam bidang guaman korporat, naluri saya masih kuat untuk membantu bisnes-bisnes kecil dan sederhana, apatah lagi, bisnes-bisnes itu kini hebat tergugat akibat penularan Covid-19. Melalui ruangan undang-undang yang baru yang akan saya sumbangkan di Berita Minggu, saya harap dapat memberi sedikit bimbingan kepada bisnes-bisnes ini.
- Peguam, Cik Kohe Hasan.




BIODATA



Nama: Kohe Hasan

Umur: 39 tahun

Pendidikan: Sarjana Muda ijazah Undang-Undang, Universiti Nasional Singapura (NUS)



Jawatan:



  • Peguam dan rakan kongsi Reed Smith LLP di Singapura

  • Pengarah Resource Law LLC, firma guaman bersekutu Reed Smith. Cik Kohe bertanggungjawab membentuknya pada Jun 2016.

Pengalaman dan pencapaian:



  • Pengalaman 15 tahun dalam bidang guaman dan pengantaraan, terutama pertikaian dalam bidang dagangan antarabangsa, komoditi dan pengangkutan.

  • Wakili syarikat minyak, syarikat Fortune 500, individu ultra bernilai tinggi dan syarikat berkaitan pemerintah di negara-negara serantau.

  • Diiktiraf sebagai antara 40 peguam paling berpengaruh di Asia di bawah 40 tahun pada 2019.

  • Pernah menulis beberapa buku termasuk buku bertajuk 'Arbitration in Singapore: A Practical Guide' yang digunakan peguam.

Kerja-Kerja Sukarela:



  • Anggota Lembaga Pengarah Kesatuan Antarabangsa Menentang Penyakit Tuberkulosis dan Penyakit Paru-Paru Asia Pasifik.

  • Anggota Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

  • Anggota Lembaga Pengarah syarikat pemaju hartanah disenaraikan di Bursa Singapura (SGX), Hong Lai Huat Group

  • Pengarah Bebas (Bukan Eksekutif) Maldives Housing Finance Corporation PLC (dilantik oleh Bank Pembangunan Asia).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >